Denda merokok di luar kawasan ditetapkan Orchard Road dikuatkuasa hari ini
Denda sudah mula dikenakan mulai hari ini (1 Apr) bagi mereka yang merokok di luar Kawasan Dibolehkan Merokok (DSA) di Orchard Road.
Pelekat untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang inisiatif Zon Bebas Rokok di Orchard Road. (Gambar: BERITAmediacorp)
SINGAPURA: Denda sudah mula dikenakan mulai hari ini (1 Apr) bagi mereka yang merokok di luar Kawasan Dibolehkan Merokok (DSA) di Orchard Road.
Langkah itu dikuatkuasakan setelah amaran diberikan dalam tempoh tiga bulan sebelumnya, sebagai usaha menjadikan kawasan beli-belah itu bebas asap rokok.
Pihak BERITAmediacorp berpeluang mengikuti para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melakukan rondaan di Orchard Road siang tadi.
Meskipun majoriti perokok didapati menghisap rokok di DSA, terdapat segilintir yang melanggar peraturan itu.
Menurut NEA, denda yang boleh dikenakan adalah antara S$200 hingga S$1,000.
BERITAmediacorp melihat sendiri beberapa daripada mereka dikenakan denda kerana menghisap rokok di luar kawasan DSA walaupun berada berdekatan dengan DSA.
Bagi mengukuhkan lagi usaha ini, pelbagai usaha sudah dijalankan untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang peraturan itu.
Sebagai contoh, pelekat-pelekat ditampal di beberapa kawasan pejalan kaki merata Orchard Road.
Pelekat itu juga dilengkapi dengan kod QR yang boleh diimbas untuk para pengunjung mendapatkan maklumat penuh tentang inisiatif Zon Bebas Rokok Orchard Road.
Para perokok yang ditemui juga tahu tentang tindakan yang akan dikenakan mulai hari ini dan ramai daripada mereka menyokong usaha itu.
"Biasanya mereka kalau hisap rokok, mereka buang sebarangan sini sana buat tempat semua kotor. Macam ini kalau mereka hisap di sini, selepas itu mereka buang di dalam sini. Lagi senang," kata seorang pesara Encik Soliano Mauricio.
Seorang pelancong yang ditemui berkata: "Saya rasa usaha ini adalah satu idea yang baik malah saya rasa perlu dilakukan di seluruh Singapura, terutama sekali di kawasan pelancong."
Zon Bebas Merokok Orchard Road meliputi kawasan di pusat beli-belah Tanglin Mall hingga Plaza Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.