Skip to main content

Singapura

Denda maksimum pelanggaran keselamatan di tempat kerja naik kepada S$50,000 mulai 1 Jun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 May 2024 05:27PM Dikemas Kini : 27 May 2024 10:07PM
SINGAPURA: Denda maksimum bagi pelanggaran keselamatan di tempat kerja akan naik daripada S$20,000 kepada S$50,000 mulai 1 Jun, umum Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (27 Mei).

Mulai bulan depan, tapak binaan dengan kontrak berjumlah S$5 juta atau lebih diwajibkan memasang kamera pengawasan di tempat-tempat berisiko tinggi.

Jumlah yang dinaikkan itu bertindak sebagai "pencegahan lebih tegas" terhadap kesalahan di bawah Perundangan Subsidiari
Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA), yang mungkin mengakibatkan kematian, kecederaan parah atau serius, tambah MOM.

Antara kesalahan berkaitan termasuk gagal menyediakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan tidak memberi amaran terhadap perkara berbahaya yang mungkin menyebabkan kecederaan serius.

"Denda maksimum yang dinaikkan adalah langkah proaktif terhadap memperkukuhkan pemilikan dan tanggungjawab ke atas WSH, terutama sekali di antara kepimpinan kanan syarikat yang bertanggungjawab untuk membentuk budaya keselamatan di tempat kerja," tambah MOM.

PENGAWASAN VIDEO

Meskipun terdapat penambahbaikan, MOM menyatakan sektor binaan kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada jumlah kecederaan parah dan yang menyebabkan kematian berbanding sektor lain pada 2023.

Untuk memperbaiki lagi sektor tersebut, kesemua tapak binaan dengan kontrak bernilai S$5 juta atau lebih diwajibkan memasang sistem pengawasan video (VSS) di tempat kerja, di mana aktiviti berisiko tinggi dijalankan.

"Dengan adanya pemantauan jarak jauh dan rakaman video, VSS bertindak sebagai penghalang terhadap sebarang tingkah laku tidak selamat di tempat kerja, menawarkan latihan berharga kepada syarikat, dan menyediakan maklumat bagi siasatan insiden berkait keselamatan atau yang hampir berlaku," umum MOM.

"Langkah ini akan memupuk pendekatan proaktif kepada pengurusan WSH, dan menggalak budaya mencegah kemalangan di tempat kerja."

Langkah yang diperketatkan itu dilaksanakan selepas Singapura mencatat jumlah terendah bagi kematian dan kecederaan parah di tempat kerja tahun lalu.

Kadar kematian di tempat kerja jatuh di bawah 1 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2023, iaitu kali pertama ia berada di bawah paras tersebut selain pada 2020 di mana pekerjaan terjejas akibat pandemik COVID-19.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita