Skip to main content

Singapura

Denda lebih S$7 juta sepanjang 10 bulan pertama 2025 kerana elak bayar cukai di pusat pemeriksaan SG

Anggaran Waktu Membaca:
Denda lebih S$7 juta sepanjang 10 bulan pertama 2025 kerana elak bayar cukai di pusat pemeriksaan SG
Umpan memancing dan barangan mewah yang tidak diisytiharkan oleh pelancong. (Gambar: Kastam Singapura)
Diterbitkan : 01 Dec 2025 03:17PM Dikemas Kini : 01 Dec 2025 03:25PM
  • Denda lebih daripada S$7.1 juta dikenakan selepas 23,742 pelancong ditangkap kerana mengelakkan duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di pusat-pusat pemeriksaan udara, darat dan laut dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2025, menurut Kastam Singapura pada Isnin (1 Dis).
  • Jumlah pesalah yang dikenakan denda maksimum S$5,000 kerana membuat perisytiharan yang salah atau tidak lengkap kepada Kastam Singapura juga melonjak kepada 142 orang dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
  • "Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pesalah, termasuk mengenakan hukuman paling berat ke atas mereka yang sengaja melanggar undang-undang kita."
  • Mereka yang sengaja mengelak duti kastam atau duti eksais, atau cuba berbuat demikian, boleh didenda sehingga 20 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielakkan jika disabit kesalahan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Denda lebih daripada S$7.1 juta dikenakan selepas 23,742 pelancong ditangkap kerana mengelakkan duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di pusat-pusat pemeriksaan udara, darat dan laut dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2025, menurut Kastam Singapura pada Isnin (1 Dis).

Ini menandakan satu peningkatan mendadak daripada tempoh yang sama pada 2024 dan 2023, apabila 13,099 dan 7,139 pelancong ditangkap dan didenda masing-masing sebanyak S$3.47 juta dan S$2.3 juta.

Jumlah pesalah yang dikenakan denda maksimum S$5,000 kerana membuat perisytiharan yang salah atau tidak lengkap kepada Kastam Singapura juga melonjak kepada 142 orang dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, berbanding 46 dan 51 orang dalam tempoh yang sama pada 2024 dan 2023.

Mengelak duti atau GST di pusat pemeriksaan adalah satu kesalahan yang serius, tegas Kastam Singapura, sambil menambah bahawa pendapatan yang dikutip adalah milik Singapura dan menyokong persaingan yang adil untuk syarikat-syarikat tempatan yang mematuhi tanggugjawab dan peraturan cukai.

"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pesalah, termasuk mengenakan hukuman paling berat ke atas mereka yang sengaja melanggar undang-undang kita."

Kastam Singapura turut menarik perhatian bahawa, seperti tahun-tahun sebelumnya, pelanggaran biasanya melibatkan barangan komersial seperti alat ganti jentera, pakaian dan aksesori, produk-produk pengguna seperti produk jagaan kulit, dan rokok serta arak.

Dalam satu kes, seorang pelawat wanita yang tiba dari Bangkok pada 17 Oktober telah dikenakan denda maksimum S$5,000 kerana gagal mengisytiharkan barangan mewah baharu, termasuk beg, dompet dan tiga barang kemas.

Dalam satu lagi kejadian, seorang pelancong lelaki telah ditangkap di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 9 Oktober kerana gagal mengisytiharkan 11 bungkusan kemeja-T yang dihantarnya kepada syarikat-syarikat di Singapura dan didenda S$2,990.

Secara berasingan, seorang lagi pelawat lelaki telah didenda S$1,130 selepas ditangkap di Pusat Kapal Pesiaran Singapura pada 31 Julai dengan 544 keping pelbagai jenis umpan memancing untuk tujuan komersial.

"Semua barang yang dibawa masuk ke Singapura oleh para pelawat dan pelancong, termasuk pelawat asing dan penduduk, tertakluk kepada GST, tanpa mengira sebarang cukai penjualan atau cukai nilai tambah asing yang telah dibayar," menurut Kastam Singapura.

Mereka yang sengaja mengelak duti kastam atau duti eksais, atau cuba berbuat demikian, boleh didenda sehingga 20 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielakkan jika disabit kesalahan. Mereka juga boleh dihukum penjara sehingga dua tahun.

"Oleh itu, tanggungjawab terletak pada setiap pelawat dan pelancong untuk mengisytiharkan dan membayar duti dan/atau GST secara jujur ​​dan tepat untuk semua barang yang melebihi kelayakan pelepasan import GST dan pelepasan bebas duti mereka," menurut Kastam Singapura.

Para pelancong boleh berbuat demikian secara digital melalui aplikasi Customs@SG atau menggunakan kios yang disedaiakan di pusat-pusat pemeriksaan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita