Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Denda lebih berat terhadap akaun ActiveSG guna 'bot' untuk buat tempahan

Anggaran Waktu Membaca:
Denda lebih berat terhadap akaun ActiveSG guna 'bot' untuk buat tempahan

(Gambar: Facebook/ActiveSG Circle)

SINGAPURA: Akaun-akaun ActiveSG yang didapati menggunakan bot untuk menempah kemudahan sukan akan berdepan dengan hukuman lebih berat mulai 1 Julai.

Bagi pesalah kali pertama, akaun mereka akan digantung selama sehingga enam bulan, manakala kesalahan kali kedua akan menyebabkan akaun mereka dibatalkan, menurut ketua ActiveSG Tan Hock Leong dalam kiriman emel kepada para ahlinya pada Selasa (20 Jun).

Buat masa ini, akaun-akaun yang didapati mempunyai corak tempahan yang mencurigakan akan digantung selama tiga bulan bagi kesalahan kali pertama, dan 12 bulan bagi kesalahan berulang.

Sejak 2021, lebih 200 akaun ActiveSG digantung kerana disyaki menggunakan bot untuk menempah kemudahan sukan dan lebih 600 tempahan dibatalkan disebabkan oleh "penjualan semula".

Perangkaan itu juga diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo dalam jawapan bertulisnya di parlimen pada bulan Mac. Beliau berkata pemerintah sedia maklum tentang penggunaan bot untuk menempah slot di laman web.

Sebilangan orang juga menjual semula slot tempahan mereka bagi mengaut keuntungan.

Penggunaan bot dan penjualan semula slot "akan menjejas peluang orang lain untuk bersukan selain mengenakan kos tambahan secara tidak adil dengan mengambil kesempatan daripada orang lain", jelas beliau.

Pemeriksaan juga dilakukan secara kerap ke atas semua tempahan dan corak tempahan yang tidak teratur akan disiasat, menurutnya.

Pihak berkuasa turut mengimbas platform media sosial bagi memeriksa kegiatan penjualan semula yang melibatkan kemudahan ActiveSG.

Isu menggunakan bot untuk menempah kemudahan sukan mula mendapat perhatian semasa pandemik COVID-19, selepas Singapore Island Country Club menyatakan sistem tempahan onlinenya terjejas dengan sebilangan akaun yang menggunakan bot atau program khas untuk mendapatkan slot masa popular untuk bermain golf.

Terdapat beberapa laporan yang juga menyatakan wujud pemintaan yang meningkat secara mendadak bagi tempahan awam untuk gelanggang badminton, dengan sebilangan orang menggunakan bot untuk cuba mempermainkan sistem dan ada juga yang membeli slot dari penjual semula daripada platform seperti Carousell dan Facebook.

Dalam jawapannya di parlimen pada bulan Mac, Cik Teo berkata SportSG meningkatkan langkah-langkah penguatkuasaan, yang memerlukan seseorang yang menempah slot itu untuk hadir dan menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menggunakan kemudahan tersebut.

Jika tidak, tempahan itu akan dibatalkan.

Pemeriksaan rambang juga dilakukan di lapangan, menurut notis di aplikasi ActiveSG sebelum seseorang itu dapat meneruskan dengan tempahan itu.

Encik Tan menggesa anggota ActiveSG supaya menempah kemudahan hanya bagi kegunaan peribadi, demi memastikan "sistem tempahan yang adil dan saksama".
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan