Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Denda lebih berat bagi syarikat yang gagal jaga keselamatan tempat kerja mulai 14 Jun

Syarikat yang mempunyai prestasi keselamatan dan kesihatan yang teruk di tempat kerja akan dikenakan hukuman lebih berat bermula Selasa (14 Jun) selepas jumlah kematian meningkat tahun ini, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Jun 2022 09:15PM Dikemas Kini : 13 Jun 2022 09:22PM
SINGAPURA: Syarikat yang mempunyai prestasi keselamatan dan kesihatan yang teruk di tempat kerja akan dikenakan hukuman lebih berat bermula Selasa (14 Jun) selepas jumlah kematian meningkat tahun ini, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Denda bagi kesalahan yang dikesan semasa pemeriksaan MOM akan naik seganda kepada S$2,000 berbanding S$1,000 secara purata, sehingga denda maksimum sebanyak S$5,000.

Syarikat yang dikenakan perintah berhenti kerja atau mempunyai kes kecederaan teruk perlu mendapatkan juruaudit luar untuk menjalankan semakan menyeluruh proses kerja mereka.

"Kita harus atasi masalahnya dari puncanya sebelum kes maut berlaku," kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad selepas melakukan pemeriksaan keselamatan di tapak kerja pada Isnin (13 Jun).

Sebanyak 26 kematian di tempat kerja dilaporkan setakat ini tahun ini, mengatasi 23 kes yang dicatatkan dalam enam bulan pertama 2021.

"Kami sedang memerhati dengan teliti jumlah kecederaan teruk, iaitu lebih 200 dalam empat bulan pertama 2022. Jumlahnya sama dengan yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu dan sebelum COVID," kata Encik Zaqy.

Kemalangan yang dilaporkan kebanyakannya berlaku dalam sektor pengilangan, binaan dan limbungan kapal marin, dengan 65 peratus kes kematian dan kecederaan teruk melibatkan pekerja dari perusahaan kecil dan sederhana, jelas MOM.

PENGUATKUASAAN DIPERTINGKAT

Kementerian Tenaga Manusia meningkatkan tahap penguatkuasaan, dengan menambah pemeriksaan sebanyak seganda pada suku ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Lebih 1,400 pemeriksaan dijalankan sejak April dan hampir 3,300 tindakan penguatkuasaan dikeluarkan, kata Encik Zaqy.

"Tumpuan diberikan di tempat kerja bagi ketinggian, penggunaan mesin dan keselamatan kenderaan, memandangkan ia adalah punca utama kemalangan sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan teruk tahun ini," kata beliau.

Dalam salah satu pemeriksaan pada Isnin, pegawai MOM mendapati beberapa kelemahan di syarikat Goh Seng Lai, yang menyediakan khidmat mendirikan khemah dan pentas bagi acara.

Kelemahan itu termasuk menggunakan pengendali forklift tidak berlesen dan kurang disediakan penghadang bagi tingkat dengan ketinggian lebih 2 meter, serta wayar yang terdedah dari papan litar.

Syarikat itu sudah diberikan arahan untuk berhenti kerja.

Pengarahnya Goh Keng Boon berkata syarikat itu mengalami masa sukar sejak pandemik dan kini dalam proses mencari lokasi baru.

Encik Zaqy berkata pihak berkuasa akan meletakkan lebih banyak tanggungjawab ke atas pengurusan syarikat dengan mempercepatkan pelaksanaan Amalan Kod yang Diluluskan (ACOP) bagi Tugas WSH Pengarah Syarikat.

Bulan lalu, MOM, Majlis WSH, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan rakan-rakan industri menggesa syarikat supaya melaksanakan tempoh rehat di tengah-tengah "jumlah kematian di tempat kerja yang membimbangkan" di pelbagai industri.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan