Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Denda lebih berat bagi pengayuh basikal yang langgar kesalahan trafik

Mulai 1 Januari 2022, para pengayuh basikal yang didapati melakukan kesalahan trafik seperti melanggar lampu merah akan dikenakan denda lebih berat iaitu naik seganda kepada S$150. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai 1 Januari 2022, para pengayuh basikal yang didapati melakukan kesalahan trafik seperti melanggar lampu merah akan dikenakan denda lebih berat iaitu naik seganda kepada S$150.

Bagi kesalahan lebih serius, mereka boleh didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan saman hingga S$1,000 berserta atau penjara hingga tiga bulan bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan seterusnya, mereka boleh disaman hingga S$2,000 berserta atau penjara hingga enam bulan.

Bagi para pengayuh basikal yang ingin berbasikal secara berkumpulan di lorong bas pada waktu-waktu operasi atau di jalan-jalan raya yang hanya mempunyai satu lorong jalan, mereka hanya boleh melakukannya dalam sebaris dan jumlah pengayuh tidak boleh melebihi lima orang.

10 PENGAYUH BASIKAL DIBENARKAN DALAM 2 BARIS

Bagi jalan raya yang mempunyai lebih banyak lorong pula, sehingga 10 pengayuh basikal dibenarkan dalam dua baris; setiap baris tidak melebihi lima pengayuh basikal.

Jika melanggar peraturan tersebut, para pengayuh basikal boleh dikenakan denda yang lebih berat mulai awal tahun depan.

Menteri Negara Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menekankan antara kebimbangan jika berbasikal dalam kumpulan yang terlalu besar.

"Kadang-kadang kalau terlampau besar bilangan mereka yang ada dalam kumpulan itu mungkin mereka juga berasa tidak selamat kerana ia terlampau besar kalau seorang daripada mereka kehilangan keseimbangan ia boleh menjejas ramai dalam mereka berbasikal.

"Justeru ini akan meningkatkan tahap keselamatan kepada mereka iaitu penunggang basikal dan juga pengguna jalan raya yang lain termasuk pemandu kenderaan," ujar Dr Faishal dalam satu sesi wawancara secara maya hari ini (20 Okt).

JUMLAH PENGAYUH BASIKAL KIAN MENINGKAT

Peraturan-peraturan baru itu merupakan antara saranan Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) yang diterima Kementerian Pengangkutan.

Saranan AMAP tersebut dianggap bertepatan dengan masanya memandangkan jumlah pengayuh basikal kian meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Dr Faishal mengulas mengenai pentingnya langkah bagi mengehadkan jumlah pengayuh basikal secara berkumpulan.

"Daripada pendekatan yang kita lakarkan kita dapat melihat dan mendengar ramai di kalangan mereka yang kami bertemu, berbual mengatakan bahawa dengan peningkatan dari segi penggunaan basikal secara berkumpulan kadang-kadang saiznya terlampau besar dan ia menjejas keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

"Justeru kami dapat melihat bagaimana kalau kita melakarkan inisiatif untuk mengurangkan dan memberikan satu keseimbangan dalam bilangan mereka yang boleh berbasikal bersama," ujar Dr Faishal lagi.

SETIAP KUMPULAN PENGAYUH DISARAN JAGA JARAK 30 METER

AMAP juga menyarankan agar setiap kumpulan pengayuh basikal menjaga jarak kira-kira dua tiang lampu atau 30 meter antara kumpulan.

Para pemandu dan penunggang motosikal juga disarankan untuk menjaga jarak 1.5 meter apabila memandu lalu para pengayuh basikal di jalan raya.

Pemerintah bersama-sama rakan kerjanya akan terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peraturan-peraturan baru ini.

"Yang penting bagaimana kita boleh meningkatkan kesedaran, mendapatkan semua di kalangan masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing, menjalankan tanggungjawab demi keselamatan kita bersama," tambah Dr Faishal.

Menurut pihak berkuasa, seramai 500 pengayuh basikal sudah dikenakan denda bagi kesalahan trafik tahun ini.

Meskipun begitu, cadangan seperti pendaftaran basikal dan lesen bagi para pengayuh basikal tidak diperkenalkan.

Ini dek kurang bukti dalam kes-kes kajian dari dalam dan luar negara yang menunjukkan bahawa langkah sedemikian berkesan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dan mencegah pengayuh basikal daripada melanggar peraturan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan