Skip to main content

Singapura

Denda lebih berat bagi kesalahan beri makan hidupan liar secara haram tidak tangani isu teras: AP

Sebilangan Anggota Parlimen menyuarakan kebimbangan di parlimen pada Khamis (7 Mei) bahawa denda lebih berat ke atas mereka yang memberi makan hidupan liar secara haram, mungkin tidak menangani isu yang lebih mendalam.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 May 2026 09:02PM Dikemas Kini : 24 May 2026 09:08PM
  • Anggota Parlimen Singapura membincangkan denda lebih berat terhadap individu yang memberi makan hidupan liar secara haram, terutamanya melibatkan warga emas dan mereka dengan masalah kognitif.
  • Denda maksimum dinaikkan sehingga S$10,000 untuk kesalahan pertama dan S$20,000 untuk kesalahan berikutnya, dengan hukuman penjara bagi pesalah berulang, berkuat kuasa separuh kedua tahun ini.
  • Beberapa Anggota Parlimen mencadangkan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat dan sokongan psikologi, serta pendekatan bersepadu melibatkan pendidikan dan kerjasama agensi sosial.
  • NParks dan agensi berkaitan akan terus mendekati pesalah warga emas, menawarkan aktiviti alternatif dan meningkatkan kesedaran tentang kesan negatif memberi makan hidupan liar.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebilangan Anggota Parlimen menyuarakan kebimbangan di parlimen pada Khamis (7 Mei) bahawa denda lebih berat ke atas mereka yang memberi makan hidupan liar secara haram, mungkin tidak menangani isu yang lebih mendalam.

Ini kerana pesalah lazimnya adalah warga emas serta mereka yang mungkin mengalami masalah kognitif.

Denda maksimum kini naik seganda menjadi S$10,000 bagi pesalah kali pertama dan S$20,000 bagi kesalahan berikutnya.

Pesalah berulang juga boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan.

Hukuman lebih berat itu dijangka berkuat kuasa pada separuh kedua tahun ini.

"Bolehkah pemerintah pertimbangkan bentuk denda alternatif untuk pesalah berulang, seperti Perintah Khidmat Masyarakat, selain sokongan psikologi dan sosial?

"Ini penting kerana memberi makan secara haram sering mencerminkan isu lebih mendalam dan gejala kesunyian warga senja. Bagi ramai warga emas, memberi makan burung memberi tujuan, jalinan dan maruah," kata AP GRC Bishan-Toa Payoh, Elysa Chen.

AP GRC East Coast, Hazlina Halim pula berkata: "Persiapan juga harus dipertingkat, supaya kesan ke atas warga emas dan mereka yang berkeperluan kognitif dapat ditangani."

"Saya mengesyorkan pendekatan yang bersepadu - pelibatan awal pendidikan dan kesedaran serta kerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial atau SSA amatlah penting. Umpamanya kes yang melibatkan warga tua atau orang kurang upaya boleh dirujuk menerusi lawatan rumah, kaunseling mahupun sokongan mengenal pasti aktiviti alternatif," tambah beliau.

Menjawab soalan-soalan di Parlimen, Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Dr Syed Harun Alhabsyi memberi jaminan, selain denda lebih berat, mahkamah juga mempunyai pilihan hukuman lain bagi kesalahan berulang.

Ini termasuk perintah berasaskan masyarakat, seperti perintah rawatan wajib.

Beliau menambah bahawa denda yang sesuai perlu untuk menghalang tingkah laku yang salah tetapi pendekatan itu bukan semata-mata untuk menghukum.

"NParks akan meneruskan usaha pendidikan awam dan bekerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Majlis Bandaran dan agensi-agensi lain untuk mendekati pesalah warga emas dan mereka dengan keperluan kesihatan mental atau psikologi.

"Bagi memahami keperluan dan motivasi asas mereka yang mendorong tingkah laku sedemikian, serta menangani salah tanggapan dan meningkatkan kesedaran tentang kesan negatif memberi makan burung.

"NParks menawarkan kepada mereka yang ada keperluan kesihatan mental, aktiviti berasaskan alam semula jadi seperti berkebun dan melihat burung sebagai alternatif kepada memberi makan," kata Dr Syed Harun.
Sumber : CNA/IQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita