Skip to main content

Singapura

Denda bukan satu-satunya cara pastikan pengendali pengangkutan jalankan tugas: Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow

Anggaran Waktu Membaca:
Denda bukan satu-satunya cara pastikan pengendali pengangkutan jalankan tugas: Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow bercakap kepada mediapada 11 Jun 2025. (Gambar: CNA/Faith Ho)

SINGAPURA: Denda bukan satu-satunya cara untuk memastikan pengendali pengangkutan awam melaksanakan tugas mereka, kata pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow.

Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan media pada awal Jun, di mana beliau turut memberikan pandangannya mengenai isu-isu hangat pengangkutan yang mendominasi tajuk berita sejak beliau mengambil alih peranan itu bulan lalu.

Salah satu isu adalah pengumuman pada 3 Jun bahawa pengendali pengangkutan SMRT akan didenda S$3 juta atas gangguan selama enam hari di sepanjang Laluan East-West pada September 2024.

Mengulas secara umum mengenai penggunaan denda sebagai hukuman kepada pengendali pengangkutan awam atas kelemahan dalam perkhidmatan, Encik Siow berkata sistem itu digunakan sebagai cara untuk mengurangkan sumber kewangan syarikat pengangkutan awam. Ini akan menjejas keuntungan syarikat, dan seterusnya, "apa yang boleh dibayar kepada pekerja dan apa yang boleh dilakukan oleh syarikat itu sendiri".

Namun, selain denda kewangan, ia adalah tentang "bekerjasama dengan mereka sebagai sebahagian daripada keseluruhan sistem, memastikan kepentingan dan motivasi mereka sejajar secara keseluruhan dengan matlamat jangka panjang; dengan matlamat yang lebih besar untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai sistem pengangkutan yang baik di Singapura," kata Encik Siow.

Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan awal bulan ini bahawa sebagai pemilik aset, ia sudah memperkukuh pengawasannya terhadap pengurusan aset pengendali, termasuk prosedur dalaman untuk menyesuaikan jadual penyenggaraan, antara langkah-langkah lain yang diambil.

Encik Siow berkata beliau tidak boleh mengulas mengenai insiden khusus pada September, kerana ia masih tidak diketahui sama ada SMRT akan mengemukakan rayuan terhadap denda tersebut.

Beliau secara berasingan menyatakan bahawa kestabilan kereta api sudah meningkat selama bertahun-tahun, daripada 67,000 km purata antara kegagalan (MKBF) pada 2012, kepada 2 juta MKBF hari ini. MKBF adalah ukuran kejuruteraan yang diterima umum untuk kestabilan kereta api.

"Ini tidak bermakna ia sempurna... Saya rasa gangguan akan berlaku dari semasa ke semasa, tidak dapat dielakkan, dan di sinilah pentingnya rangkaian kereta api untuk menjadi berdaya tahan," katanya.

Satu ciri penting rangkaian yang berdaya tahan adalah untuk penumpang mempunyai laluan alternatif sekiranya perkhidmatan kereta api di landasan tertentu terganggu. Di sinilah Laluan Circle dan Laluan Rentas Pulau masa depan adalah "sangat kritikal", katanya.

Laluan-laluan ini memotong banyak laluan lain, memastikan bahawa jika satu laluan tergendala, penumpang boleh beralih ke laluan lain untuk sampai ke destinasi mereka.

"(Perjalanan) agak lebih panjang, tetapi ia tidak membawa masalah besar," kata Encik Siow.

WAKTU KERJA PEMANDU PHV

Encik Siow juga ditanya sama ada lebih banyak boleh dilakukan untuk menguruskan waktu kerja pemandu kenderaan sewa privet (PHV), selepas kematian Gavin Neo, 49 tahun, bulan lalu akibat angin ahmar. Pemandu Grab itu diketahui bekerja sehingga 15 jam sehari untuk menyara dua anak remajanya.

Encik Siow berkata sama ada insentif peringkat tertinggi untuk pemandu PHV patut wujud di platform 'e-hailing' seperti Grab adalah "sesuatu yang patut ditanya kepada mereka".

"Saya rasa mereka mempunyai sistem insentif tertentu, dan ada peringkat pencapaian yang sangat tinggi... Pemahaman saya adalah pemandu yang berada di peringkat itu jumlah sangat kecil," kata Encik Siow.

"Persoalannya, adakah mereka benar-benar memerlukannya sama sekali jika sangat sedikit orang di peringkat itu."

Pemandu yang ditemu bual oleh Mediacorp sebelum ini berkata bahawa walaupun sistem insentif beberapa syarikat 'e-hailing' boleh mendorong mereka untuk mendapatkan lebih banyak wang, ia juga boleh membawa kesan yang tidak diingini iaitu mendorong mereka bekerja terlalu keras dan seterusnya mengakibatkan masalah kesihatan atau kemalangan.

Grab sudah memberitahu Mediacorp bahawa program insentifnya adalah dalam garis panduan yang ditetapkan oleh perikatan Majlis Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (WSH Council); dan secara purata, jumlah waktu yang dihabiskan oleh pemandunya adalah dalam garis panduan tersebut. Majlis itu menggalakkan pemandu untuk menghadkan syif mereka tidak lebih daripada 12 jam.

Berikutan kematian Encik Neo, Ahli Parlimen Yeo Wan Ling, yang merupakan penasihat kepada Persatuan Kenderaan Sewa Privet Kebangsaan (NPHVA) dan Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA), menggesa pengendali platform untuk mengambil langkah untuk meningkatkan kehidupan dan mata pencarian pekerja platform dengan mencipta insentif yang adil.

"Elakkan skim yang memberi insentif kepada pekerja platform untuk bekerja berjam-jam lamanya untuk mendapatkan ganjaran," katanya. "Benarkan tempoh rehat yang munasabah untuk pekerja mengelakkan keletihan."

Mengenai sama ada LTA akan campur tangan untuk mengawal selia waktu kerja pemandu PHV dengan lebih baik, Encik Siow berkata ini boleh berlaku jika ia adalah masalah keselamatan.

"Maksudnya, jika kita mendapati kadar kemalangan PHV jauh lebih tinggi daripada kenderaan persendirian, maka sudah tentu kita perlu campur tangan," katanya.

Sekalipun demikian, ini "tidak benar-benar berlaku" berdasarkan data semasa, tambahnya.

Encik Siow juga menyatakan bahawa kesatuan sekerja juga tidak meminta diadakan peraturan waktu kerja.

"Kerana saya rasa mereka mengakui bahawa pemandu PHV sendiri mempunyai pandangan yang berbeza tentang ... berapa jam yang sesuai untuk memandu," katanya.

Kementerian Pengangkutan memberitahu Mediacorp bahawa pemandu teksi dan kereta sewa privet menjalani latihan mengenai bahaya kesihatan pekerjaan sebagai sebahagian daripada kursus lesen vokasional mereka, yang mengesyorkan mereka berehat seketika selepas setiap dua jam memandu.

Ia menambah bahawa semua pengendali teksi dan platform 'e-hailing' mempunyai garis panduan untuk pemandu mendapat rehat yang mencukupi, dan mengingatkan mereka sama ada melalui terminal data mudah alih teksi atau aplikasi 'e-hailing' untuk berehat selepas syif yang panjang.

"Beberapa pengendali juga sudah menggunakan pelbagai bentuk teknologi bantuan pemandu dan sistem antikeletihan untuk menggalakkan pemanduan selamat," tambah seorang jurucakap kementerian.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita