Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Denda bagi lelaki calarkan kereta diletak di lot biasanya di NUS

Pang Kok Wai mengaku bersalah atas satu tuduhan kelakuan nakal mencalarkan kereta di NUS.

Anggaran Waktu Membaca:
Denda bagi lelaki calarkan kereta diletak di lot biasanya di NUS

Petikan skrin dari Google Street View bagi 'Car Park 10' di NUS.

SINGAPURA: Seorang lelaki didenda S$2,000 oleh mahkamah pada Isnin (19 Sep) kerana menggunakan kunci untuk mencalarkan kereta yang diletakkan di petak tempat letak kenderaan kegemarannya di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Pang Kok Wai, 48 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan kelakuan nakal dengan tuduhan serupa kedua dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu Pang bekerja sebagai pengendali kren pada ketika itu.

Pada pagi 9 Mac lalu, dia memandu ke 'Car Park 10' di NUS di Lower Kent Ridge Road. Dia bekerja di kawasan itu dan kerap meletakkan kereta di sana tetapi mendapati tempat letak kenderaan tersebut sudah penuh.

Dengan rasa kecewa, dia memandu pergi dan meletakkan kereta di kawasan yang lebih jauh. Dia kemudian berjalan kembali ke tempat letak kenderaan itu beberapa minit kemudian dan ternampak sebuah kereta diletakkan di lot 234, iaitu lot yang biasa diletakkan keretanya.

Pang kemudian mengeluarkan kunci rumahnya dan menggunakannya untuk mencalarkan kereta tersebut sebelum berjalan ke tempat kerjanya.

Mangsa kembali ke keretanya pada lewat hari itu selepas menghadiri kursus di NUS dan mendapati keretanya dicalar dari pintu depan ke belakang.

Beliau menghantar keretanya untuk dibaiki dan membayar S$428 bagi kerosakan itu. Mangsa berkenaan kemudian membuat aduan polis dan Pang dikenal pasti sebagai dalangnya. Dia membayar mangsa kos penuh yang perlu ditanggung bagi kerosakan itu.

Siasatan mendedahkan dia juga mencalarkan satu lagi kereta yang diletakkan di lot sama beberapa hari sebelum itu, pada 1 Mac 2022.

Pihak pendakwa meminta denda sekurang-kurangnya S$2,000 hingga S$3,000 memandangkan Pang tidak pernah disabitkan kesalahan sebelum ini.

Atas kesalahan berkelakuan nakal, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan