Skip to main content

Singapura

Demokrasi berparlimen SG perlukan integriti, keberanian dan ‘individu tepat’

Demokrasi berparlimen Singapura tidak boleh dilindungi oleh undang-undang semata-mata - ia memerlukan integriti, keberanian dan “individu yang tepat” untuk memegang jawatan, kata Ketua Dewan Indranee Rajah pada Jumaat (27 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:
Demokrasi berparlimen SG perlukan integriti, keberanian dan ‘individu tepat’
Ketua Dewan Indranee Rajah berucap di parlimen pada 27 Februari 2026. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Demokrasi berparlimen Singapura tidak boleh dilindungi oleh undang-undang semata-mata - ia memerlukan integriti, keberanian dan “individu yang tepat” untuk memegang jawatan, kata Ketua Dewan Indranee Rajah pada Jumaat (27 Feb).

Berucap di parlimen, beliau merujuk kepada peristiwa-peristiwa terbaharu di persada global yang mewujudkan tanggapan bahawa demokrasi kini terancam, selain memberi amaran bahawa Singapura tidak kebal daripada perkara tersebut.

“Di beberapa negara lain, yang sekian lama dianggap sebagai demokrasi terkemuka, terdapat tanggapan bahawa sistem kini sedang melemah, kepercayaan telah terhakis, dan institusi yang dahulunya dihormati menjadi tidak berkesan, terjejas atau malah diserang secara langsung,” kata beliau.

Cik Indranee mengenal pasti polarisasi, populisme, persaingan politik serta politik bagi tujuan menunjuk-nunjuk sebagai gejala kemerosotan demokrasi – trend yang dapat dilihat di dalam dan di luar parlimen di seluruh dunia.

“Kita boleh bersyukur bahawa demokrasi berparlimen kita tidak berada dalam keadaan yang begitu genting. Ini bukan kerana kita kebal terhadap bahaya sedemikian, kita juga terdedah kepada perangkap politik ini seperti mana-mana masyarakat lain,” kata beliau.

Singapura setakat ini berjaya mengelakkan perangkap tersebut kerana negara ini, khususnya pemerintah berturut-turut Parti Tindakan Rakyat (PAP), mengekalkan piawaian tinggi dan asas-asas yang penting, kata beliau.

“Namun ini tidak bermakna ia tidak boleh berlaku kepada kita pada masa hadapan, dan ia hanya memerlukan perkara kecil sahaja sebelum kita berdepan jalan yang salah,” tegas Cik Indranee.

Undang-undang yang wajar dan penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang merupakan asas yang diperlukan, kata beliau, namun ia tidak mencukupi dengan sendirinya.

“Demokrasi hanya boleh terjamin apabila para anggota parlimen, yang diamanahkan dengan demokrasi itu, bertindak secara terhormat dan berintegriti, dan apabila berlakunya kesilapan, mempunyai keberanian dan dengan rendah diri memikul tanggungjawab terhadap perkara di bawah tanggungjawab dan tingkah laku peribadi mereka.”

Negara memerlukan anggota parlimen yang mempunyai “kecekapan, komitmen dan hati nurani di kedua-dua pihak Dewan”.

“Dalam pemerintah, kita memerlukan individu yang cekap yang memahami asas tadbir urus dan mampu menggalas tugas yang sukar untuk mentadbir negara,” kata Cik Indranee.

“Bagi pihak pembangkang, kita memerlukan individu yang cekap yang memahami isu, mengemukakan soalan yang tepat dan memastikan bukan sahaja pemerintah, malah diri mereka sendiri, mematuhi piawaian yang tinggi dari segi integriti dan kebertanggungjawaban.

“Kita memerlukan anggota parlimen yang komited, kekal berpegang pada perjuangan dan mampu mendahulukan negara daripada parti.”

PERTUKARAN PANDANGAN BERHUBUNG TEMPOH ‘BERTENANG’

Perbahasan pada Jumaat turut menyaksikan pertukaran pandangan antara Cik Indranee dan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) He Ting Ru (WP-Sengkang), yang mencadangkan pengenalan “tempoh bertenang” untuk membezakan dengan lebih jelas peranan yang berpihak kepada sesebuah parti (partisan) dan bersikap neutral (non-partisan) - termasuk bagi kakitangan awam yang memasuki politik serta pemegang jawatan politik yang meninggalkan jawatan mereka.

Tanpa perlindungan sedemikian, Cik He mencadangkan bahawa rakyat Singapura mungkin mempersoalkan sama ada seseorang itu “sedang menguji peranan lain atau jawatan berbeza setiap kali mereka bangun untuk berucap”, yang berpotensi mewujudkan tanggapan berhubung konflik kepentingan.

Menjawab senario hipotetikal yang dikemukakan Cik He - meletakkan jawatan daripada WP dan menjadi Anggota Parlimen Dilantik (NMP) pada keesokan harinya - Cik Indranee berkata perkara yang penting ialah pendedahan awal berhubung peranan dan tanggungjawab seseorang.

“Anda telah mengisytiharkan kepada umum bahawa anda tidak lagi berpihak kepada sesebuah parti, anda telah memikul tanggungjawab untuk bersikap neutral, dan selagi anda melaksanakan tugas itu dengan baik, tiada apa yang salah,” kata beliau.

Prinsip yang sama digunakan dalam keadaan yang berlawanan, tambah beliau.

Sesiapa yang beralih daripada peranan neutral ke politik yang berpihak kepada sesebuah parti harus terlebih dahulu meletakkan jawatan dan mengisytiharkan niat mereka secara terbuka.

“Dengan cara itu, ia telus, adil, dan inilah yang telah kita lakukan dalam sistem kita dan ia telah berjalan dengan baik bagi kita,” kata Cik Indranee.

Cik He kemudian merujuk kepada peraturan tadbir urus korporat yang mengenakan tempoh bertenang selama tiga tahun sebelum mantan eksekutif boleh dipertimbangkan sebagai pengarah bebas, sambil mencadangkan rangka kerja serupa digunakan di parlimen.

Cik Indranee berkata perbandingan itu tidak tepat, sambil menyatakan bahawa kod yang dirujuk Cik He mentadbir urus para pengarah syarikat, sedangkan parlimen beroperasi di bawah rangka kerjanya sendiri di mana tingkah laku yang wajar daripada para anggota menjadi pertimbangan utama.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita