Skip to main content

Singapura

Deliveroo bakal berhentikan hampir 10% tenaga kerja global

Anggaran Waktu Membaca:
Deliveroo bakal berhentikan hampir 10% tenaga kerja global

(Gambar: Facebook/Deliveroo Riders Singapore)

SINGAPURA: Deliveroo akan memberhentikan sebahagian daripada kakitangannya di merata dunia dengan peranan di kesemua tahap syarikat itu terjejas.

Dalam satu memo dalaman kepada pekerja yang dilihat Mediacorp, pengasas dan Ketua Eksekutif Deliveroo Will Shu berkata sekitar 9 peratus tenaga kerja syarikat tersebut dengan kira-kira 350 tugas dipotong, meskipun angka sebenar kakitangan yang diberhentikan kerja dianggarkan sekitar 300, setelah ditempatkan semula dalam pekerjaan lain.

Encik Shu menyifatkan pengumuman tersebut sebagai satu keputusan yang "sangat sukar" dibuat dengan berkongsi cabaran syarikat tersebut untuk "mengimbangi pertumbuhan yang berterusan dan mencapai keuntungan".

Meskipun beliau tidak menyatakan bagaimana pemberhentian kerja yang dirancang itu akan menjejas kakitangannya di Singapura, beliau menarik perhatian "kadar inflasi yang mencapai paras rekod, kadar faedah yang kian meningkat, krisis tenaga dan kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi" di United Kingdom, di mana terletaknya ibu pejabat Deliveroo.

Menurutnya jumlah kakitangan Deliveroo meningkat pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebagai respons kepada lonjakan permintaan bagi penghantaran makanan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

"Sebaliknya, kami kini berdepan dengan tekanan ekonomi yang serius dan tidak dijangka. Kami juga baru-baru ini keluar daripada pasaran, bermakna kami tidak memerlukan tenaga kerja dengan jumlah serupa untuk menyokong operasi kami," ujar Encik Shu.

Pemberhentian kerja berkenaan adalah yang terbaru dalam siri pemberhentian kerja melibatkan pekerja bidang teknologi, termasuk langkah mengurangkan pekerja oleh Foodpanda dan Chope.

Grab, firma pengangkutan dan penghantaran makanan terbesar di Asia Tenggara, menyatakan pada September 2022 bahawa syarikat tersebut tidak menjangkakan pemberhentian kerja secara besar-besaran, tetapi sebaliknya akan melaksanakan langkah-langkah potongan kos.

Mediacorp sudah menghubungi Deliveroo Singapore untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk jumlah keseluruhan pekerja yang terjejas pemberhentian tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita