Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dekat tempat kerja; bentuk flat fleksibel antara saranan 50 tahun ke hadapan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jun 2022 02:43PM Dikemas Kini : 06 Jun 2022 09:05PM

SINGAPURA: Sepanjang lima dekad akan datang, tempat kerja mungkin terletak lebih dekat dengan rumah, dengan lebih banyak bangunan serba guna didirikan di pusat bandar serta kawasan lain. 

Ruang-ruang komersil dan pejabat juga mungkin boleh disewakan buat tempoh lebih singkat di kawasan-kawasan tertentu untuk membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan pantas kepada keperluan yang pesat berubah-ubah. 

Ini adalah antara konsep yang dicadangkan untuk pembangunaan masa hadapan Singapura, didedahkan di sebuah pameran awam baru yang dilancarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (6 Jun). 

Dengan tajuk "Space for Our Dreams", pameran tersebut akan berlangsung sehingga 4 Ogos. Ia memaparkan konsep dan strategi perancangan bagi memacu pembangunan Singapura sepanjang tempoh 50 tahun mendatang dan selanjutnya.

RUANG KERJA LEBIH FLEKSIBEL

URA menyatakan ia akan merancang untuk mewujudkan lebih banyak ruang kerja yang menarik lagi fleksibel bagi menyokong inovasi selain keperluan baru untuk perniagaan dan pekerja dalam ekonomi masa hadapan. 

URA sedang meneroka konsep "vertical zoning" atau konsep zon menegak dalam estet perindustrian di mana kegunaan yang berbeza tetapi saling melengkapi boleh disepadukan dalam sebuah bangunan yang sama. 

Pihak berkuasa juga sedang meneroka tempat-tempat yang sesuai di estet perindustrian, seperti di Kolam Ayer dan Yishun, untuk menampung kegunaan bukan industri seperti ruang kerja bersama, kedai runcit serta ruang makanan dan minuman.

Ini akan membantu menyediakan kelonggaran untuk model perniagaan baru selain menyokong perkembangan perindustrian yang lebih rancak.

PERUMAHAN YANG LEBIH INKLUSIF

Ketika menggariskan strategi-strategi untuk menyediakan lebih banyak rumah bagi keperluan baru, URA menyatakan ia merancang untuk menawarkan lebih banyak reka bentuk perumahan yang boleh memenuhi keperluan keluarga yang berbeza saiz dan keperluan. Ini juga boleh disesuaikan untuk menampung perubahan dalam gaya hidup.

Ini bermakna menyediakan lebih banyak flat dengan reka bentuk lebih fleksibel agar pemilik boleh mengubah ruang di dalamnya mengikut keperluan masing-masing. 

Lebih banyak rumah juga akan dibina lebih dekat dengan kemudahan utama seperti nadi pengangkutan awam dan pekerjaan serta kemudahan penjagaan kesihatan.

Hasil semakan terkini akan dijadikan sebagai panduan bagi semakan Pelan Induk seterusnya pada 2024.

URA menyatakan dalam mengkaji semula strategi penggunaan tanah buat jangka panjang di Singapura, ia sudahpun mendampingi lebih 15,000 orang termasuk anggota masyarakat awam, perniagaan, karyawan dan ahli akademik untuk mendapatkan maklum balas serta buah fikiran mereka.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan