Skip to main content

Singapura

Dekan baru Fakulti Undang-Undang NUS lepaskan jawatan 2 minggu setelah dilantik

Dekan baru Fakulti Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) melepaskan jawatan itu, dua minggu selepas pelantikannya diumumkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dekan baru Fakulti Undang-Undang NUS lepaskan jawatan 2 minggu setelah dilantik

(Gambar: NUS)

Diterbitkan : 31 Mar 2021 04:25PM Dikemas Kini : 31 Mar 2021 06:22PM

SINGAPURA: Dekan baru Fakulti Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) melepaskan jawatan itu, dua minggu selepas pelantikannya diumumkan.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu (31 Mac), NUS menyatakan Profesor Hans Tjio memutuskan untuk mengundurkan diri atas "sebab-sebab perubatan".

Prof Tjio, 55 tahun, diumumkan sebagai dekan baru fakulti undang-undang pada 12 Mac. Beliau memaklumkan kepada NUS tentang "keputusan sukar" untuk melepaskan jawatan itu pada 26 Mac, menurut NUS dalam kenyataan tersebut.

Beliau sebelum ini dijadual mengambil alih sebagai dekan pada Julai tahun ini.

Prof Tjio adalah Profesor Undang-Undang CJ Koh di fakulti undang-undang dan pengarah Pusat EW Barker bagi Undang-Undang dan Perniagaan.

Beliau juga merupakan konsultan kepada TSMP Law Corporation, di mana beliau memberi nasihat berhubung isu-isu termasuk pematuhan undang-undang keselamatan dan mata wang kripto.

"Dengan penuh rasa kesal saya mengundurkan diri daripada pelantikan sebagai dekan fakulti undang-undang. Saya amat menghargai keyakinan dan sokongan yang diberikan oleh pihak universiti, jawatankuasa pelantikan dekan undang-undang dan rakan kerja semasa proses mengenal pasti dan melantik dekan baru," katanya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan NUS kerana menerima keputusannya itu, beliau berkata: "Ia adalah satu keputusan yang sukar namun sesuatu yang saya rasa penting atas sebab-sebab perubatan."

"Prof Tjio akan terus menggalas tanggungjawabnya dalam pengajaran, kajian dan pendampingan dengan industri dan kerjaya undang-undang," menurut NUS dalam satu kenyataan media.

Dekan fakulti undang-undang pada masa ini, Profesor Simon Chesterman, akan terus memegang jawatan sebagai dekan dan NUS akan "melaksanakan usaha global" bagi mencari penggantinya dalam tempoh tahun pertama penggal baru.

Ini adalah penggal keempat Prof Chesterman sebagai dekan ke-14 fakulti undang-undang NUS. Beliau pertama kali dilantik pada Januari 2012 dan akan berkhidmat sebagai dekan sehingga Jun 2023.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita