Skip to main content

Singapura

Defisit tahunan HDB susut kepada S$6.34 bilion bagi FY2024

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Selasa (11 Nov) melaporkan defisit bersih sebanyak S$6.34 bilion bagi tahun kewangan 2024.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Nov 2025 02:51PM Dikemas Kini : 15 Nov 2025 11:20PM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Selasa (11 Nov) melaporkan defisit bersih sebanyak S$6.34 bilion bagi tahun kewangan 2024.

Defisit bersih tahunan sebelum geran pemerintah bagi tahun kewangan 2024 itu menunjukkan kemerosotan daripada jumlah tertinggi S$6.78 bilion pada tahun sebelumnya.

“HDB menanggung defisit besar setiap tahun kerana jumlah hasil jualan flat adalah lebih rendah berbanding keseluruhan kos pembangunan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan geran perumahan yang diagihkan,” menurut lembaga itu dalam satu kenyataan media.

Daripada jumlah defisit tahun kewangan 2024 itu, S$5.51 bilion ditanggung untuk segmen pemilikan rumah, manakala S$532 juta lagi dibelanjakan untuk program peningkatan.

Segmen pemilikan rumah merangkumi pembangunan dan penjualan flat, serta pengagihan geran perumahan kepada isi rumah yang layak bagi flat baharu dan flat jualan semula.

PEMILIKAN RUMAH

Defisit bagi segmen pemilikan rumah sebahagian besarnya berpunca daripada kerugian kasar hasil jualan flat, kerugian dijangka bagi flat yang sedang dibangunkan serta pengagihan geran perumahan daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

HDB menanggung kerugian kasar lebih tinggi sebanyak S$1.77 bilion bagi 14,900 flat yang selesai dijual – dengan kunci diserahkan kepada para pembeli – pada tahun kewangan 2024, berbanding S$1.37 bilion pada tahun kewangan 2023.

Lembaga itu turut mencatat peruntukan S$2.69 bilion bagi “kerugian dijangka” untuk flat-flat yang masih dalam proses pembangunan pada tahun kewangan 2024. HDB memulakan pembangunan bagi kira-kira 23,600 flat pada tahun tersebut.

“Apabila HDB memulakan pembangunan projek perumahan baharu, peruntukan dibuat bagi kerugian yang dijangka kerana flat HDB dijual pada harga subsidi yang lebih rendah daripada kos pembangunannya,” menurut HDB.

“Peruntukan ini dikemas kini sepanjang tempoh pembinaan projek, selaras dengan perubahan kos.”

Apabila proses penjualan selesai dan kunci diserahkan kepada para pembeli, peruntukan bagi kerugian yang dijangka itu akan dilepaskan, dan kerugian sebenar daripada jualan tersebut akan dicatatkan.

Pada tahun kewangan 2024, HDB mengagihkan jumlah geran lebih rendah bagi para pembeli flat jualan semula dan kondominium eksekutif yang layak.

Sebanyak S$881 juta diagihkan pada tahun kewangan 2024, berbanding S$999 juta pada tahun sebelumnya.

“Secara berasingan, HDB terus menambah baik dan memperindah flat sewa bagi rakyat Singapura berpendapatan rendah dan mereka yang memerlukan bantuan perumahan pada tahun kewangan 2024,” menurut lembaga itu.

HDB membelanjakan sekitar S$159 juta untuk menyediakan flat sewa untuk para penyewa yang layak di bawah pelbagai skim perumahan sewa – merosot sedikit daripada S$160 juta yang dibelanjakan pada tahun kewangan 2023.

KERJA-KERJA PENAMBAHBAIKAN

Bagi memastikan bandar-bandar HDB “terus memenuhi keperluan penduduk yang sentiasa berkembang”, lembaga itu memaklumkan bahawa ia memperbaharui kawasan perumahan dan flat secara berkala melalui program yang dibiayai sepenuhnya atau diberi subsidi besar oleh pemerintah.

Pada tahun kewangan 2024, HDB membelanjakan S$532 juta bagi program penambahbaikan seperti Program Peningkatan Rumah (HIP), Program Pembaharuan Kejiranan, dan Program Peningkatan Lif.

Jumlah itu meningkat 34 peratus berbanding S$396 juta yang dibelanjakan pada tahun kewangan 2023.

“Peningkatan ini disebabkan oleh lebih banyak projek HIP yang mencapai fasa puncak pembinaan pada tahun kewangan 2024, apabila perbelanjaan biasanya berada pada tahap tertinggi,” menurut HDB.

Perbelanjaan bagi fungsi tambahan perumahan pada tahun kewangan 2024 turut meningkat sebanyak 28 peratus kepada S$570 juta, berbanding S$446 juta pada tahun kewangan 2023.

Antara fungsi tambahan perumahan termasuk pentadbiran pajakan, penyediaan dan pengurusan kemudahan seperti tempat letak kereta di estet-estet perumahan, serta perancangan dan pentadbiran pembinaan.

HDB memaklumkan bahawa peningkatan perbelanjaan itu berpunca terutamanya daripada perbelanjaan lebih tinggi bagi Program Peningkatan Beban Elektrik dengan lebih banyak blok HDB dinaik taraf untuk memenuhi keperluan tenaga elektrik para penduduk yang semakin meningkat.

“HDB kekal komited untuk memastikan perumahan awam terus dimampui dan mudah diakses,” tambah lembaga itu.

HDB menegaskan bahawa flat baharu dijual dengan diskaun pasaran yang besar, selain pelbagai geran perumahan yang disediakan untuk pembeli kali pertama bagi flat baharu dan jualan semula.

“Hasilnya, sembilan daripada 10 keluarga pembeli kali pertama yang menerima kunci flat BTO mereka pada 2024 dapat membayar pinjaman perumahan HDB menggunakan CPF mereka, dengan sedikit atau tanpa bayaran tunai,” kata HDB.

Bagi memenuhi permintaan perumahan, HDB akan melancarkan kira-kira 55,000 flat baharu dari 2025 hingga 2027. Daripada jumlah tersebut, 4,000 flat dengan tempoh menunggu lebih singkat akan ditawarkan setiap tahun pada 2026 dan 2027.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengurangkan masa menunggu dan memperluas pilihan perumahan bagi pembeli rumah yang mempunyai keperluan lebih mendesak,” menurut lembaga tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif HDB, Tan Meng Dui, berkata: “Defisit besar kami bagi tahun kewangan 2024 mencerminkan komitmen teguh kami untuk menyediakan kediaman yang berkualiti dan dimampui rakyat Singapura.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita