Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dee Kosh mengaku bersalah atas kesalahan seksual terhadap 2 budak lelaki bawah umur

Anggaran Waktu Membaca:
Dee Kosh mengaku bersalah atas kesalahan seksual terhadap 2 budak lelaki bawah umur

(Gambar: Aaron Low/TODAY)

Diterbitkan : 30 May 2022 03:54PM Dikemas Kini : 30 May 2022 03:56PM

SINGAPURA: Bekas juruhebah radio, Dee Kosh, pada Isnin (30 Mei) mengaku bersalah atas kesalahan seksual yang melibatkan dua budak lelaki bawah umur. 

Personaliti YouTube yang namanya tertera sebagai Darryl Ian Koshy dalam dokumen mahkamah, mengaku bersalah kerana cuba mendapatkan seorang anak muda melakukan perbuatan tidak senonoh dan berkomunikasi dengan seorang budak bawah umur untuk mendapatkan layanan seks. 

Dia juga mengaku bersalah atas tuduhan ketiga, iaitu membuat filem lucah. Lagi empat tuduhan turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman. 

Hakim mengarahkan Kosh, 33 tahun, untuk menjalani pemeriksaan psikiatrik di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi menilai sama ada dia mengalami penyakit fidofilia dan berisiko melakukan kesalahan serupa pada masa akan datang. 

Kosh terkenal di YouTube dan adalah seorang juruhebah di stesen radio Power 98, jawatan yang dipegangnya semasa melakukan kesalahan-kesalahan itu.

MANGSA TAKUT BUAT ADUAN 

Tiada seorang pun daripada mangsa-mangsanya yang melaporkan kesalahan-kesalahan itu kepada pihak polis sejurus selepas ia berlaku.

"Masing-masing bertanggapan hanya mereka saja yang ditawarkan upah oleh tertuduh untuk layanan seks dan takut menanggung padahnya jika mereka menentang tertuduh yang dianggap sebagai selebriti dengan ramai pengikut," hujah Timbalan Pendakwa Raya Lim Ying Min. 

Dakwaan-dakwaan salah laku seksual Kosh mula tular online pada Ogos 2020 apabila seorang lelaki memuat naik hantaran di Instagram yang mendakwa bahawa dia diganggu secara seksual oleh Kosh. 

Sejurus selepas itu, ramai lagi mangsa yang tampil dan mengongsi pengalaman mereka dengan Kosh melalui media sosial. 

Kosh yang pada awalnya menafikan segala dakwaan, kemudian menyentuh tentang dakwaan-dakwaan tersebut di media sosial dan mengakui terdapat beberapa kebenaran pada dakwaan-dakwaan tersebut. 

Kosh diberkas pada 5 Oktober 2020. Sejumlah peranti elektroniknya dirampas dan sebanyak 25 video lucah ditemui pada unit pemprosesan pusat (CPU) komputer dan telefon bimbit. 

Power 98 sebelum itu menyatakan bahawa Kosh sudah digantung kerja sejak didakwa pada Ogos tahun lalu. 

Sebelum itu, Kosh diletakkan di bawah cuti tanpa gaji sedang siasatan terhadapnya dijalankan. 

Jika didapati bersalah di bawah  Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA) kerana melakukan eksploitasi seksual ke atas budak bawah umur, Kosh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sekiranya didapati bersalah kerana berurusan dengan tujuan untuk mendapatkan layanan seks daripada budak bawah umur, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda. 

Hukuman terhadap kesalahan membuat filem lucah adalah hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda antara S$20,000 dengan S$40,000. Hukuman bagi kesalahan memiliki filem lucah adalah hukuman penjara maksimum selama enam bulan, denda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan