Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dedikasi Siti Nur Ain Mohamad Ismail diiktiraf, dinobatkan juara Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Semasa pandemik COVID-19, Siti Nur Ain Mohamad Ismail memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada anggota pasukan Perintah Kuarantin di Rumah.

Pasukan itu melakukan lawatan dari rumah ke rumah dan dormitori untuk menghantar perintah kuarantin serta kit-kit pemantauan suhu badan.

Ketua Jururawat Berdaftar dengan pengalaman selama 12 tahun di Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) itu bukan sekadar memenuhi tugas harian.

Cik Siti, 37 tahun, juga mengetuai projek yang membawa perubahan besar.

Salah satu pencapaian utamanya adalah pelaksanaan pendigitalan rekod kesihatan, menggantikan sistem berasaskan kertas kepada sistem digital.

"Sebagai seorang jururawat yang bekerja di Lembaga Penggalakan Kesihatan atau HPB, tugas utama saya adalah untuk memastikan kesihatan kanak-kanak terjaga seperti memberi imunisasi atau melakukan pemeriksaan awal. Projek yang memberi impak yang besar untuk diri saya adalah menukarkan rekod kertas ke sistem digital. Ini sangat selamat dan ia mudah untuk perawat merujuk balik kes kes atau nota daripada untuk di masa hadapan," ujar Cik Siti kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Selain itu, beliau turut menerajui inisiatif untuk meningkatkan mutu penjagaan pesakit dengan memperbaharui proses kerja bagi pemeriksaan elektrokardiogram (ECG).

Atas dedikasi dan sumbangan luar biasanya, Cik Siti telah dinobatkan sebagai juara edisi ke-18 Anugerah Tan Chin Tuan tahun ini.

Beliau menerima pingat emas dan hadiah wang tunai sebanyak S$3,500.

Majlis penyampaian anugerah berlangsung hari ini (21 Nov) di Pusat Inovasi Penjagaan Kesihatan (CHI), Jalan Tan Tock Seng, dengan penaung Persatuan Jururawat Singapura Puan Jane Ittogi hadir sebagai tetamu kehormat.

Cik Siti berkata: "Saya tidak pernah terfikir untuk mendapat anugerah ini. Namun saya amat bangga kerana ia menunjukkan kerja keras dan keikhlasan. Saya membantu selama berkhidmat sebagai jururawat dan saya amat berterima kasih kepada keluarga saya dan juga rakan kerja saya dan rakan di luar yang mendorong saya untuk lakukan yang terbaik ke arah ini."

Naib juara Anugerah Tan Chin Tuan tahun ini dimenangi oleh Cik Sheetha D/O Sinnathamby dari Pusat Barah Nasional Singapura, sementara tempat ketiga disandang oleh Cik Ang Poo Yong dari Hospital Besar Changi.

Selain itu, sembilan lagi jururawat turut diiktiraf dengan Anugerah Merit atas dedikasi dan sumbangan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan