Dedikasi Elena Mohamed Ayob diiktiraf dengan Anugerah Presiden bagi Kejururawatan 2024
SINGAPURA: Sepanjang hampir tiga dekad berkhidmat dalam sektor jagaan kesihatan, pelbagai cabaran dihadapi Cik Elena Mohamed Ayob, 45 tahun.
Ini termasuk berhadapan dengan pelbagai ragam pesakit.
Semasa dunia dilanda pandemik tiga tahun lalu pula, Cik Elena Mohamed Ayob diberi tanggungjawab baharu untuk menggalas peranan sebagai Timbalan Pengarah Kejururawatan di Hospital Besar Singapura (SGH).
Antara cabaran utama yang dihadapinya ketika itu ialah kekurangan kakitangan apabila ramai jururawat meninggalkan kerjaya waktu COVID-19.
(Gambar: Nur Arina Ahmad Anis)
Ini membuatkannya bertekad untuk merubah trend itu.
Lantaran itu, pelbagai inisiatif yang diterajuinya bagi mempertingkatkan kesejahteraan para jururawat.
Antara pencapaiannya termasuk menggandakan jumlah anggota kumpulan sokong rakan sekerja di SGH daripada 50 kepada 115 individu.
Di bawah program tersebut, beliau membantu para jururawat untuk saling menyokong bagi mengharungi situasi mencabar.
Sebagai ketua program penyokong rakan sekerja, Cik Elena sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan rakan sekerja, bukan sahaja para jururawat.
PENTINGNYA JAGA KESEJAHTERAAN PARA JURURAWAT
Beliau menekankan bahawa kesejahteraan para jururawat amat penting kerana ia akan mendorong mereka untuk memberikan yang terbaik kepada para pesakit serta mutu penjagaan yang lebih tinggi.
"Program ini bertujuan untuk menyediakan sekumpulan jururawat yang terlatih untuk memberikan sokongan kepada rakan sekerja mereka yang menghadapi krisis peribadi atau di tempat kerja. Ia sangat penting kerana ini seiring dengan objektif strategik kami untuk membina satu sekitaran yang positif," kongsinya kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
Dengan kerjasama pasukannya di SGH dan sokongan Kementerian Kesihatan, Cik Elena berjaya mengurangkan kadar peletakan jawatan jururawat di SGH dalam masa dua tahun iaitu daripada 8.1 peratus pada 2021 kepada 6.7 peratus tahun lalu.
DIBERI PENGIKTIRAFAN ANUGERAH PRESIDEN BAGI KEJURURAWATAN
Berkat dedikasinya, beliau menjadi antara lima jururawat yang menerima Anugerah Presiden bagi Jururawat tahun ini.
Ia merupakan pengiktirafan tertinggi dalam bidang kejururawatan di negara ini.
"Ini sangat bermakna untuk saya kerana ia adalah pengiktirafan untuk segala kerja keras dan dedikasi saya kepada karier jururawat saya selama ini. Saya juga berharap bahawa saya boleh dijadikan inspirasi untuk jururawat generasi muda untuk selalu melakukan yang terbaik untuk para pesakit mereka," ujar Cik Elena.
Baginya, pengiktirafan tersebut mendorongnya untuk meneruskan perjuangannya dalam mempertingkatkan lagi kesejahteraan para jururawat.
Penerima Anugerah Presiden bagi Jururawat tahun ini menerima piala dan sijil serta wang tunai S$10,000.
Wang itu bagi tujuan pembangunan diri dari segi kerjaya mahupun peribadi.
Lagi empat penerima tahun ini ialah:
1) Dr Chan Ee Yuee
Timbalan Pengarah Kejururawatan Hospital Tan Tock Seng
2) Cik Doris Koh Sok Hian
Penolong Pengarah Kejururawatan Institut Kesihatan Mental (IMH)
3) Dr Tan Hongyun
Penolong Pengarah Kejururawatan, Woodlands Health
4) Cik Yeap Theng Hui Stephanie
Ketua Jururawat Hospital Masyarakat SingHealth
Sejak diperkenalkan pada 2000, seramai 98 jururawat sudah diberi pengiktirafan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.