Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dedikasi ahli farmasi Imran Shah & pakar jantung Dr Razakjr jadikan sistem perubatan S'pura antara yang terbaik di dunia

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sepanjang empat tahun bertugas sebagai seorang ahli farmasi di jabatan onkologi atau kajian barah di Hospital Universiti Nasional (NUH), Imran Shah Rahman Shah bukan sahaja berdepan dengan ratusan ubat dan kimia tapi juga bermacam-macam fiil pesakit.

"Kadang-kadang, ada pesakit yang menunggu lama sangat sehingga dia memarahi saya. Ada pesakit (pula) melontar Kad Pengenalan (IC) pada saya kerana dia sudah menunggu lama untuk ubatnya." kongsi Imran.

Meski berasa sedih dan sedikit gentar setiap kali berdepan dengan pesakit yang pemarah sebegitu, Imran cuba memahami perasaan mereka dan tabah.

"Saya selalu mengingati bahawa mereka ada penyakit yang amat serius iaitu barah, dan saya mencuba apa (sahaja) yang saya boleh lakukan untuk menolong mereka dalam perjalanan rawatan mereka," kongsi Imran kepada BERITAmediacorp.



Bagaimanapun, kepuasan dirasakan beliau apabila melihat pesakitnya tersenyum dan sedar bahawa beliau memainkan peranan dalam proses penyembuhan mereka.

Ini antara yang mendorong para pegawai yang bertugas di hospital seperti Imran dalam menyumbang kepada usaha menjadikan khidmat perubatan di Singapura antara yang terbaik di dunia.

DEDIKASI AHLI FARMASI ANTARA FAKTOR KEHEBATAN SISTEM KESIHATAN S'PURA

Selain berada di depan kaunter memberikan ubat, banyak lagi kerja di belakang tabir yang perlu dilakukan Imran.

"Saya bukan sahaja mengambil ubat, selepas itu memberi kepada makcik. Makcik ini ubat makcik tetapi saya perlu memastikan jumlah ubat ini betul dan cara mengambil ubat ini betul," ujar Imran yang menegaskan kepentingan untuk menerangkan kesan-kesan sampingan kepada para pesakit dan apa perlu mereka lakukan jika mengalaminya.

Di jabatan onkologi, ahli farmasinya mengendalikan lebih 100 jenis ubat setiap hari.

Selain itu, Imran juga membantu dalam mengendalikan sesi kemoterapi. Ini memandangkan bagi para pesakit barah, tidak semua boleh diberikan ubat yang sama atau melalui cara yang serupa.



"Saya suka bekerja di NUH kerana di sini, pelbagai pakar bekerjasama. Bukan sahaja doktor tetapi jururawat, ahli farmasi dan juga para pegawai klinik. Kita semua bekerjasama untuk memastikan para pesakit mendapat rawatan yang terbaik," ujar Imran.

Sepanjang bertugas di sini, pelbagai juga kisah lucu dan menarik yang dialami beliau termasuk apabila berinteraksi dengan para pesakit antarabangsa.

"Ada sekali pesakit dari luar negara, yang (terletak) dekat dengan kita memasukkan S$100 dalam kocek saya apabila saya memberinya ubat tapi saya berkata maaf, saya tidak boleh mengambil duit ini," kongsi Imran kepada BERITAmediacorp.

"Mereka berasa bahawa kalau mereka memberi saya duit sedikit, 'duit kopi' katanya, saya akan merawat mereka dengan lebih baik tetapi di Singapura, sistem kita menugaskan saya untuk merawat pesakit saya semua dengan sama (rata)," tambah beliau lagi.

Dedikasi dan kesungguhan para petugas sistem perubatan seperti Imran bukan sahaja menjadikan sistem perubatan negara terbaik bagi rakyatnya malah juga menarik perhatian warga dunia.

S'PURA KEDUA TERBAIK DI DUNIA

Selain dapat dimanfaatkan rakyatnya sendiri, sistem perubatan Singapura yang canggih lagi cekap turut memikat pesakit luar negara untuk mendapatkan rawatan di sini dan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Menurut laporan HealthCare Asia, hasil pendapatan daripada sektor pelancongan perubatan pada 2017 bernilai S$1 bilion.



Kewibawaannya juga diakui di peringkat antarabangsa Persatuan Pelancongan Perubatan Antarabangsa meletakkan Singapura di tangga kedua dalam Indeks Pelancongan Perubatan.

Ia juga menerima sekitar 500,000 pelancong perubatan setiap tahun dengan kira-kira setengah daripada jumlah itu datang dari Indonesia.

Antara rawatan yang sering didapatkan di sini termasuk rawatan untuk penyakit barah serta pembedahan jantung.

30% PESAKIT DR ABDUL RAZAKJR DATANG DARI LUAR NEGARA

Salah seorang pakar jantung di negara ini yang sering dicari pelancong perubatan ialah Dr Abdul Razakjr, Pengarah Perubatan di Specialist Care Group.

Menurut beliau, sekitar 30 peratus pesakitnya merupakan pesakit dari luar negara, yang berasal dari kira-kira 30 negara di "seluruh pelosok dunia".

Ini termasuk mereka yang datang dari negara-negara Eropah, Kanada, Australia dan sejauh Amerika Syarikat.

"Kenapa mereka memilih kita (kerana) kita sudah terbukti dan dari segi kejayaan rawatan yang diberikan sangat tinggi dan dari segi etika juga sangat tinggi di sini," kata Dr Razakjr.



Sejak sempadan negara dibuka semula, pusat khidmat pakar ini menerima lebih ramai pesakit luar negara dan ramai dalam kalangan mereka memberikan maklum balas yang positif.

"Kadangkala maklum balas itu diberikan dari segi lisan. Ada yang membawa hadiah-hadiah seperti dia memasakkan kita makanan daripada Indonesia seumpamanya. Ada yang memasak (waktu) pagi dan terbang masuk ke sini (Singapura) dan menghantarkan masakan itu waktu petang," luah Dr Razakjr kepada BERITAMediacorp.

Bagi pakar jantung ini, yang berpengalaman lebih 27 tahun dalam bidang perubatan, ekosistem kukuh yang memerlukan kerjasama antara para pegawai perubatan, kakitangan hospital dan klinik serta pemerintah adalah penting bagi Singapura mencapai kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan yang terbaik di dunia.



"Kakitangan Singapura gigih mempelajari ilmu-ilmu baru, dan ekonomi berasaskan pengetahuan ini sangat menolong kerana pemikiran orang kita adalah mereka terus memperbaiki diri mereka," ujar Dr Razakjr.

"Ini menolong kerana kita mahu membuktikan kepada dunia apa yang anda boleh lakukan, kami boleh lakukan dengan lebih baik lagi," tambah beliau lagi.

Tidak kira apa jua peranan yang dimainkan, sumbangan mereka menjadikan khidmat perubatan di Singapura antara yang terbaik di dunia, menjadikan negara ini lebih istimewa.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan