Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dedah statistik komposisi kaum banduan dalam penjara, boleh burukkan stereotaip, jelas Shanmugam

Mendedahkan statistik mengenai komposisi kaum dalam kalangan banduan dan pesalah boleh memburukkan lagi stereotaip, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (4 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Jul 2022 06:37PM Dikemas Kini : 05 Jul 2022 12:43AM
SINGAPURA: Mendedahkan statistik mengenai komposisi kaum dalam kalangan banduan dan pesalah boleh memburukkan lagi stereotaip, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (4 Jul).

Berucap di Parlimen, Encik Shanmugam berkata Pemerintah "sangat berhati-hati" untuk mendedahkan secara terbuka data sedemikian.

Encik Shanmugam menjawab sedemikian kepada soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Christopher de Souza (PAP-Holland-Bukit Timah) yang bertanya mengapa data mengenai komposisi kaum dalam kalangan banduan di penjara dan pesalah jenayah tidak didedahkan secara terbuka kepada awam.

“Hakikatnya adalah kaum minoriti diwakili secara tidak seimbang dalam kalangan banduan di dalam penjara dan statistik jenayah," kata Encik Shanmugam.

"Pemerintah bersikap berhati-hati untuk mendedahkan secara terbuka data sedemikian dengan pecahan kaum kerana ia mungkin memburukkan stereotaip perkauman. Saya secara khusus menyebut 'memburukkan' kerana ia bukannya seolah-olah stereotaip ini tidak wujud. Ia wujud. Keprihatinan kami adalah menerbitkan data itu akan memburukkan lagi stereotaip tersebut.

"Jadi jika Pemerintah mengeluarkan data mengenai komposisi kaum dalam kalangan banduan di penjara dan pesalah jenayah secara berkala, kami benar-benar berisiko mengeruhkan lagi stereotaip."

Lama-kelamaan, ini akan menjejaskan usaha untuk membina "hubungan harmoni" dalam kalangan kaum dan menjadikannya lebih sukar untuk mencapai keharmonian kaum, jelas Encik Shanmugam.

Beliau menarik perhatian Pemerintah sudahpun berunding dengan banyak kumpulan dan pemimpin masyarakat untuk mendapatkan pandangan mereka tentang sama ada statistik berasaskan kaum dalam kalangan banduan di penjara dan pesalah jenayah harus didedahkan secara terbuka kepada awam.

“Pandangan sebulat suara adalah ia tidak memberi manfaat kepada masyarakat kita dan masyarakat Singapura selain akan menggalak stereotaip dan menggugat hubungan masyarakat," kata beliau.

“Secara keseluruhannya, pemimpin masyarakat sudah jelas. Mereka berkata kita tidak seharusnya melihat kepada pecahan kaum kerana ia tidak akan mengambil kira faktor-faktor penyumbang lain yang mungkin menyebabkan individu berkenaan untuk melakukan jenayah. Ia juga akan menjejas peningkatan yang dilakukan oleh masyarakat masing-masing dan kami mengambil pandangan ini dengan agak serius."

Encik Shanmugam menerangkan sebarang keputusan Pemerintah perlu dibuat dengan berpandukan apa yang menjadi kepentingan masyarakat awam, termasuk menilai maklumat apa yang harus didedahkan secara terbuka.

PERTIMBANG IMPLIKASI

Pemerintah pernah mengeluarkan beberapa statistik berasaskan kaum, kata Encik Shanmugam.

Ia melakukan demikan dalam banci penduduk, meliputi petunjuk utama yang dibahagikan mengikut pecahan kaum, menurut beliau.

“Melalui rangka kerja M³, sebuah inisiatif oleh Menteri Masagos (Zulkifli), kami juga sudah mengeluarkan statistik khusus berhubung masyarakat Melayu, seperti jumlah graduan Melayu daripada institut pengajian tinggi, jumlah karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) Melayu serta kadar mengulangi jenayah dalam kalangan banduan Melayu," tambah beliau.

Beliau menarik perhatian pemerintah juga mengeluarkan statistik berasaskan kaum mengenai penyalahgunaan dadah dan bahan sedut menerusi laporan tahunan Biro Narkotik Pusat (CNA).

“Mengapa kami, misalnya, mendedahkan statistik sedemikian? Kami melakukan begitu untuk menggerakkan masyarakat agar mengambil tindakan secara berkesan," jelas beliau.

"Dengan bekerjasama dengan masyarakat, kami akan dapat melaksakanakan campur tangan yang lebih sesuai untuk masyarakat berbeza-beza."

Encik Shanmugam memberi contoh kempen Dadah Itu Haram dan Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu-Islam sebagai cara bagaimana Pemerintah berganding bahu dengan masyarakat Melayu serta CNB dan Jabatan Penjara Singapura (SPS) untuk memerangi penyalahgunaan dadah serta mencegah kesalahan daripada berulang.

Usaha itu sudahpun membuahkan "hasil yang positif", tambah beliau sambil menambah bahawa Pemerintah akan mengekalkan status quo semasa.
 
Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa