Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dedah identiti individu boleh jadi satu jenayah; apa sebenarnya dianggap doxxing?

'Mata-mata' dunia siber menjalankan 'tugas' mereka dengan cekap apabila sebuah video dramatik, menampilkan seorang wanita mencabut plat nombor sebuah kereta di Linkedua, menjadi tular pada bulan lalu.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Dedah identiti individu boleh jadi satu jenayah; apa sebenarnya dianggap doxxing?

Selepas video menunjukkan seorang wanita menanggalkan nombor plat sebuah kereta di Linkedua menjadi tular, maklumat peribadi tentang diri dan keluarganya dimuatnaikkan online. (Petikan video: SG Road Vigilante – SGRV/Facebook)

SINGAPURA: 'Mata-mata' dunia siber menjalankan 'tugas' mereka dengan cekap apabila sebuah video dramatik, menampilkan seorang wanita mencabut plat nombor sebuah kereta di Linkedua, menjadi tular pada bulan lalu.

Mereka berjaya menyelongkar maklumat tentang nama wanita itu dan suaminya serta tempat kerja mereka. Mereka juga mendapat tahu siapa nama anak pasangan berkenaan dan menerbitkan semua maklumat tersebut online, menjadikannya boleh diakses oleh sesiapa saja sehingga setakat Jumaat (5 Ogos).

Pemburuan identiti seumpama itu, dalam bahasa sehari-hari sebagai "CSI", bukan sesuatu perkara luar biasa.

Namun, para peguam berkata para pelaku di sebalik penerbitan maklumat sedemikan mungkin terlibat dalam doxxing - satu bentuk gangguan online yang salah di sisi undang-undang Singapura sedari Januari 2020.

Satu aduan sudahpun difailkan berhubung perbuatan dipercayai doxxing itu terhadap wanita berkenaan dan keluarganya, menurut seorang jurucakap Pasukan Polis Singapura (SPF).

Doxxing merujuk kepada penerbitan maklumat yang membawa kepada pengenalpastian seorang individu ataupun seseorang yang terkait dengannya. Ia juga bertujuan untuk menimbulkan gangguan, ancaman atau mencetuskan keganasan terhadap mereka, jelas para peguam kepada Mediacorp.

Doxxing juga boleh dilakukan sekiranya ia diketahui atau terdapat sebab munasabah untuk mempercayai bahawa maklumat itu mungkin memudahkan keganasan untuk dilancarkan, terang peguam Sanjiv Vaswani dari Vaswani Law Chambers.

Selain butiran peribadi biasa seperti nama, tarikh lahir, alamat kediaman, alamat emel, nombor telefon dan nombor kad pengenalan individu, maklumat identiti diri lain temasuk tempat kerja atau sekolahnya, tandatangan atau latar belakang keluarga orang yang disasarkan itu.

APA ITU DOXXING?

Tulisan yang disertakan dalam sebuah catatan atau komen di media sosial boleh diambil kira sebagai doxxing, menurut peguam.

Peguam Adrian Wee dari Characterist LLC berkata catatan itu boleh diambil kira sebagai menghasut keganasan jika ia mengandungi tulisan yang berbunyi seperti: "Semua orang, lihat orang ini. Kita patut ajar dia".

Cara bagaimana sebuah video disunting juga memainkan peranan, kata Encik Wee, juga seorang pensyarah sambilan di Sekolah Perniagaan Lee Kong Chian Universiti Pengurusan Singapura (SMU). Beliau memberi contoh video yang memaparkan emoji atau tanda bergambar.

“Jika ada emoji yang melambangkan seorang lelaki memukul seorang lelaki lain… maka itu berpotensi dilihat sebagai menghasut keganasan,” kata beliau.

Peguam Joyce Khoo dari Quahe Woo & Palmer berkata seseorang melakukan doxxing jika, sebagai contoh, dia melihat seseorang memakai kemeja-T sekolah, mencari maklumat peribadi individu berkenaan seperti gambar atau butiran kontaknya dan kemudian menerbitkan maklumat yang ditemuinya online untuk mengganggu, mengancam atau memudahkan keganasan.

“Ia akan secara tidak langsung membawa kepada pengenalpastian individu berkenaan dan kemudian, mungkin menimbulkan semua gangguan ini, dengan orang ramai cuba menjejaki individu tersebut di Facebok atau Instagram,” terang beliau.

Satu “persoalan menarik” timbul dalam keadaan di mana sebuah syarikat membuat kenyataan media selepas catatan melibatkan pekerjanya terlibat dalam tingkah laku buruk di tempat awam menjadi tular online, kata Encik Vaswani.

“Apabila ada gesaan untuk keganasan terhadap seseorang online dan sekalipun mengetahui perkara ini, syarikat mengenal pasti bahawa individu itu adalah pekerjanya, maka syarikat itu mungkin dipertanggungjawabkan kerana melakukan doxing.”

Polis menyiasat kurang 60 kes yang dipercayai doxing pada setiap tahun antara 2020 dengan 2021, menurut jurucakap SPF.

Dari Januari hingga April 2022, jumlah itu lebih rendah daripada 10 kes.

Hukuman bagi menerbitkan maklumat peribadi untuk mencetuskan gangguan, rasa cemas atau tekanan adalah denda sehingga S$5,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan.

Apabila maklumat diterbitkan dengan tujuan untuk menyebabkan ketakutan terhadap keganasan atau memudahkan keganasan, atau apabila pelaku mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa ia akan menyebabkan perkara sebegitu, pesalah boleh didenda sehingga S$5,000 dan dipenjara sehingga 12 bulan.

ADAKAH VIDEO TULAR DIANGGAP DOXXING?

Video yang dirakamkan di tempat awam dan dibentangkan secara fakta tidak dianggap sebagai doxxing, jelas para peguam.

“Ia adalah okey bagi seseorang untuk memuat naik sebuah video online di mana terdapat beberapa maklumat atau jika ada bukti bahawa pergaduhan sedang berlaku di khalayak awam dan ia adalah bagi pihak-pihak menyaksikan bahawa ini adalah rentetan fakta tentang apa sebenarnya yang berlaku,” terang Encik Vaswani.

Butiran seperti nombor plat kenderaan yang dipaparkan dalam banyak video tular, termasuk tengkarah jalan raya di Linkedua, lazimnya tidak diambil kira sebagai pengenal pasti, menurut para peguam.

Nombor plat kenderaan tidak mendedahkan maklumat peribadi dan ia boleh dilihat oleh mana-mana anggota awam sekalipun tanpa perlu adanya video, terang Encik Wee.

Meskipun nombor plat kenderaan merujuk kepada pemilik berdaftar yang tertentu, maklumat tersebut biasanya tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti siapa pemandunya kerana butiran itu tidak disediakan kepada masyarakat umum, kata beliau.

Mentelah lagi, tambah Encik Wee, pemilik berdaftar itu juga mungkin bukan pemandunya.

BOLEHKAH MEME DIANGGAP SEBAGAI DOXXING?

Penerbitan meme dilihat timbul pesat menyusuli video wanita dalam insiden di Linkedua, namun adakah ia dianggap sebagai doxxing?

Meme boleh dihasilkan dalam bentuk gambar, video dan teks - lazimnya disuntik dengan unsur lawak jenaka - yang meniru aksi atau perbuatan rujukan dan disebarkan dengan meluas oleh pengguna Internet, lazimnya dengan sedikit variasi.

Meskipun sudah muncul sejak awal tahun-tahun 2000, meme masih agak baru dalam konteks penerbitan tanpa ditapis di Singapura, kata Encik Vaswani.

Beliau menarik perhatian meme boleh bersifat ringan pada dasarnya, misalnya, ketika membandingkan seseorang dengan seorang adiwira.

Bagaimanapun kata Encik Vaswani, bagi sesetengah kes, meme boleh melampaui batas dan mencetuskan gangguan.

Beliau memberi contoh meme yang membuat perbandingan ciri wajah seseorang dengan haiwan.

"Hujah boleh dibuat bahawa ia adalah niat penulis untuk mencerca subjek meme tersebut," katanya.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan