Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DBS, UOB gantung sementara kadar faedah tetap pinjaman rumah

Anggaran Waktu Membaca:
DBS, UOB gantung sementara kadar faedah tetap pinjaman rumah

Gambar: iStock

Diterbitkan : 23 Sep 2022 05:19PM Dikemas Kini : 23 Sep 2022 07:34PM
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya dua bank di Singapura - DBS dan UOB, menggantung sementara tawaran kadar faedah tetap  pinjaman rumah setakat Jumaat (23 Sep).

DBS, pemberi pinjaman terbesar di Singapura padamkan tawaran pinjaman pada kadar faedah tetap dari laman web bank tersebut.

Mediacorp difahamkan bahawa bank itu sedang menyemak semula kadar pinjaman yang ditawarkan.

Menjawab pertanyaan, UOB menyatakan, pihaknya sedang menyemak tawaran kadar faedah tetap dan tidak lagi menawarkan pakej kadar tetap dua tahun dan tiga tahun.

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas pada Rabu (21 Sep), kenaikan ketiga pada tahun ini selepas Jun dan Julai.

Beberapa bank lain sudah membuat semakan pada kadar pinjaman rumah mereka tahun ini, sedang bank pusat global menaikkan kadar dalam usaha mengekang peningkatan inflasi.

Pakej kadar faedah tetap menyaksikan penyesuaian yang lebih besar. Beberapa bank asing menggantung pilihan kadar faedah tetap pada awal tahun ekoran kos dana yang meningkat.

DBS sebelum ini menawarkan pinjaman gadai janji dua tahun dan tiga tahun yang menetapkan kadar tetap 2.75 peratus setahun.

Ia juga masih menawarkan pinjaman rumah pada kadar terapung yang dikaitkan dengan Kadar Purata Semalaman Singapura (SORA) atau kadar purata simpanan tetap enam bulan bank itu. Jumlah pinjaman tidak berubah sejak semakan terakhirnya pada Jun.

Begitu juga dengan UOB yang terus menawarkan pakej kadar faedah terapung dikaitkan dengan SORA berkompaun tiga bulan, dengan tambahan margin 1 peratus, yang terikat bagi tempoh dua tahun. Ia juga menawarkan promosi yang mana pelanggan baru dapat menikmati pakej kadar terapung dengan margin lebih rendah 0.7 peratus pada dua tahun pertama.

Bank OCBC pula terus menawarkan pakej kadar faedah tetap dua tahun sebanyak 2.98 peratus setahun selain pakej kadar terapung yang dikaitkan dengan SORA kompaun satu bulan atau tiga bulan dengan tambahan margin 0.98 peratus.

“Kami menyemak harga gadai janji dengan kerap dan memastikan pakej harga kami kekal kompetitif. Memandangkan kadar faedah kini kian meningkat, kami menasihatkan pengguna untuk menyemak kemampuan mereka sebelum membeli rumah,” kata ketua pinjaman pengguna bank itu, Phang Lah Hwa.
 

Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan