Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DBS, UOB dan OCBC naikkan kadar faedah tetap pinjaman rumah setinggi 3.85%

Anggaran Waktu Membaca:
DBS, UOB dan OCBC naikkan kadar faedah tetap pinjaman rumah setinggi 3.85%
Diterbitkan : 04 Oct 2022 01:44PM Dikemas Kini : 05 Oct 2022 12:52AM

SINGAPURA: Bank DBS, UOB dan OCBC pada Selasa (4 Okt) menaikkan kadar faedah tetap pinjaman rumah kepada sehingga 3.85 peratus, paras tertinggi yang belum dicapai sejak beberapa tahun ini.

Kenaikan kadar faedah itu berlaku di tengah-tengah sekitaran kadar faedah yang semakin meningkat menyusuli langkah Lembaga Simpanan Federal Amerika baru-baru ini.

DBS, peminjam terbesar Singapura, mengorak langkah pertama dengan menaikkan kadar bagi pakej kadar faedah tetapnya kepada 3.5 peratus setahun pada pagi Selasa.

Menurut laman bank tersebut pemilik rumah boleh memilih antara empat pakej kadar faedah tetap, selama dua, tiga, empat dan lima tahun, semuanya pada kadar 3.5 peratus setahun.

Ini adalah 0.75 mata peratusan lebih tinggi daripada pakej kadar faedah tetap yang ditawarkan DBS sebelum ini pada 2.75 peratus setahun.

DBS kali terakhir melakukan penyesuaian pada kadar pinjaman rumah pada hujung bulan Jun. 

DBS juga memperkenalkan pakej pinjaman rumah baru minggu lalu, membolehkan pemilik baru dan sedia ada flat HDB yang berpendapatan kurang daripada S$2,500 sebulan untuk mengambil gadai janji dengan POSB pada kadar 2.6 peratus setahun. Kadar ini serupa dengan pinjaman perumahan HDB.

Bank UOB pula memberitahu Mediacorp pada Selasa petang bahawa pakej kadar faedah tetap pinjaman perumahan bank itu bagi dua tahun dan tiga tahun masing-masing dinaikkan kepada 3.75 peratus setahun dan 3.85 peratus setahun.

Ia berbanding 2.98 peratus dan 3.08 peratus sebelum ini.

Sejajar dengan kedua-dua bank itu, OCBC mengumumkan  akan menyesuaikan pakej kadar faedah tetap pinjaman perumahan kepada 3.5 peratus, naik daripada 2.98 peratus.

OCBC juga akan memperkenalkan semula kadar tetap gadai janji satu tahun sebanyak 3.35 peratus, bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk tempoh pinjaman lebih pendek.

Buat masa ini, ketiga-tiga bank membiarkan tawaran kadar terapung mereka tidak berubah pada penanda aras Purata Kadar Semalaman Singapura (SORA).

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan