Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DBS, OCBC naikkan kadar faedah pinjaman rumah hingga 4.3%

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bank DBS dan OCBC pada Selasa (15 Nov) menaikkan kadar faedah tetap pinjaman rumah kepada sehingga 4.3 peratus.

Peminjam terbesar Singapura, DBS, menawarkan empat pakej kadar faedah tetap pada 4.25 peratus setahun, antara dua hingga lima tahun.

Pakej kadar faedah tetap OCBC satu tahun dan dua tahun kini ditetapkan pada 4.3 peratus setiap tahun, masing-masing naik daripada 3.35 peratus dan 3.5 peratus sebelum ini.

Awal bulan ini, Bank Simpanan Federal Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah pinjaman sebanyak 0.75 mata peratusan, iaitu kenaikan kali keempat berturut-turut dan juga kenaikan keenam pada tahun ini bagi membendung inflasi tinggi.

Inflasi teras Singapura naik kepada 5.3 peratus pada September, menuju ke paras tertinggi dalam 14 tahun. Kali terakhir tiga bank tempatan menyesuaikan kadar pinjaman rumah mereka ialah pada Oktober.

KADAR FAEDAH TERAPUNG

Sementara itu, kadar faedah terapung DBS tidak berubah pada kompaun Purata Kadar Semalaman Singapura (SORA) tiga bulan dan margin pinjaman sebanyak 1 peratus setahun.

Kompaun SORA tiga bulan meningkat daripada 0.1949 pada awal tahun ini kepada 2.6633, setakat 14 November.

Sementara itu, bank tersebut juga membuat perubahan kepada "pinjaman hibrid". Orang ramai kini boleh memilih bagi sehingga 70 peratus jumlah pinjaman rumah mereka dikenakan kadar tetap, dan bakinya mengikut pakej kadar terapung. Sebelum ini jumlahnya ialah sehingga 50 peratus.

Kadar faedah terapung OCBC juga kekal tidak berubah, dengan kadar SORA kompaun tiga bulan dan margin pinjaman pada 0.98 peratus untuk tahun pertama dan kedua, sebelum margin pinjaman naik kepada 1 peratus pada tahun ketiga.

Pakej terapung akan menjadi "lebih menarik" bagi pelanggan yang mahukan fleksibiliti dalam bayaran mereka, kata ketua pinjaman rumah OCBC Maryanne Phua.

Seorang jurucakap DBS berkata: "Tanpa mengira trend kadar faedah atau pilihan pakej pinjaman perumahan, kami menasihatkan peminjam untuk mengetepikan dana yang mencukupi sekiranya berlaku kenaikan kadar faedah selanjutnya atau sebarang kesulitan yang tidak diduga."

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan