DBS Newton Green dibuka semula; bank pertama di S'pura jana tenaga guna panel suria
(Gambar: Matthew Mohan/CNA)
SINGAPURA: Bank DBS pada Isnin (18 Jul) membuka secara rasmi bangunan tanpa sisa di Newton - yang pertama di Singapura oleh sesebuah bank di sini.
Bangunan setinggi empat tingkat dan berusia 30 tahun itu telah dipasang dengan panel solar lebih 1,000 meter persegi pada bahagian bumbungnya, dengan sistem penghawa dingin, kipas ekzos dan tiang lampu yang menggunakan kuasa suria dan bahagian luar bangunan itu diperbuat daripada buluh untuk meneduhi bangunan tersebut.
Selain itu, 10 peratus daripada keluasan lantai bangunan tersebut yang sebelum ini berhawa dingin sudah ditukar kepada ruang pengudaraan semula jadi.
Bangunan Tanpa Menggunakan Tenaga adalah bangunan yang hanya menggunakan tenaga sebanyak mana tenaga dihasilkannya.
Kerja-kerja pemasangan bagi DBS Newton Green, yang menempatkan lebih 400 pekerja, dimulakan pada pertengahan 2021 dan menelan belanja lebih S$5 juta, menurut bank tersebut dalam kenyataan medianya.
Sebahagian kos itu ditampung menggunakan geran yang diberikan oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) di bawah Kelompok Inovasi Bangunan Hijau (GBIC) bagi menyokong penyepaduan inovasi hijau untuk seluruh bangunan tersebut.
Sebelum kerja-kerja pemasangan itu dimulakan, bangunan tersebut menggunakan sekitar 845,000 kWh setiap tahun, menurut DBS.
Ini bersamaan dengan penggunaan tenaga tahunan kira-kira 200 flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Singapura.
"Kami perlu memasang panel sedemikian pada lebih banyak bangunan lama untuk meningkatkan piawai kemampanan bangunan-bangunan lama. Ini lebih mencabar daripada mereka sebuah bangunan hijau yang baru. Bangunan asal mungkin tidak direka sedemikian rupa dengan aspek-aspek kemampanan, menjadikan kerja-kerja pemasangan itu lebih rumit dan berkemungkinan lebih mahal," kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.
Encik Lee turut menghadiri majlis untuk membuka bangunan itu secara rasmi pada Isnin (18 Jul).
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada DBS dan rakan-rakannya kerana mengubah bangunan ini menjadi Bangunan Tanpa Menggunakan Tenaga yang pertama oleh sebuah bank di sini.
"Kerjasama antara sektor privet, awam dan masyarakat penting, sedang kita berusaha untuk membina Bandar dalam Taman yang lebih mampan."
DBS Newton Green sudahpun ditauliahkan oleh BCA sebagai bangunan Anugerah Tanda Hijau Platinum. Ia turut diberikan Cap Reka Bentuk Baik Singapura 2022 bagi Reka Bentuk Mampan oleh Design Business Chamber of Singapore.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS Piyush Gupta berkata, pilihan untuk memasang panel suria pada bangunan tersebut daripada membangunkan semula sesuatu adalah satu pilihan yang "mudah dan jelas".
"Kami melihat DBS Newton Green sebagai sesuatu yang melambangkan pejabat pada masa akan datang. Ia adalah tapak ujian teknologi mampan yang inovatif yang boleh diperhebatkan bukan sahaja bagi pejabat-pejabat lain, tetapi juga untuk pertubuhan-pertubuhan lain yang ingin mengurangkan jejak karbon masing-masing," ujarnya.
"Kami percaya ia akan menyumbang secara positif kepada cita-cita Singapura untuk menjadi sebuah hab serantau bagi membangunkan huraian-huraian mampan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.