Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Daya tarikan baru di Taman Orkid Nasional bantu pulihara, kaji orkid

 Singapura sedang memainkan peranan dalam pemuliharaan bunga orkid, dengan pelancaran sebuah ruang untuk melindungi, mengkaji dan mempamerkan orkid.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Apr 2021 05:35PM Dikemas Kini : 03 Apr 2021 09:21PM

SINGAPURA: Singapura sedang memainkan peranan dalam pemuliharaan bunga orkid, dengan pelancaran sebuah ruang untuk melindungi, mengkaji dan mempamerkan orkid.

Ia sebahagian peningkatan kepada Taman Orkid Nasional yang mengambil masa hampir empat tahun untuk disiapkan dengan belanja S$35 juta.

Kerja-kerja pembaharuan itu sepatutnya siap pada 2019, namun menurut NParks ia tergendala kerana rumitnya pembinaannya dan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee melancarkan Tropical Montane Orchidetum yang terletak di dalam Kebun Bunga Singapura.

Tarikan itu menggabungkan tiga bangunan pameran sedia ada untuk menghasilkan taman dengan ciri pergunungan tropika, bertemakan hutan.

Ini sekali gus menambah jumlah orkid dan jenis tumbuhan sebanyak separuh.

Ini termasuk bunga-bunga orkid terancam yang hanya boleh ditemui di kawasan hutan di daerah tinggi.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee mengulas mengenai usaha Singapura memulihara tumbuhan asli.

"Ini adalah contoh baik bagaimana kita boleh melibatkan diri dan memainkan peranan dalam usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi global.

"Ini selaras dengan usaha kita untuk memulihara tumbuhan asli dan spesies haiwan yang penting dengan kerjasama masyarakat dan kumpulan-kumpulan pecinta alam, sebagai sebahagian daripada visi Bandar dalam Alam Semula jadi kita," menurut Encik Desmond Lee.

Dengan sekitar 4,500 jenis orkid berwarna warni yang dipamerkan, ia merupakan koleksi paling pelbagai di satu-satu lokasi.

Sebuah rumah kaca menjadi kemuncak tempat pameran menempatkan tumbuh-tumbuhan yang biasanya hanya di ketinggian lebih 1,000 meter.

Di dalam rumah kaca itu terdapat 100 spesies orkid, hibrid dan juga nenas yang berasal dari Neotropik di wilayah tropika Amerika.

Tidak jauh dari situ, pengunjung berpeluang melihat spesies orkid yang unik dan jarang kelihatan.

Di kemuncak 'gunung' tersebut, bunga-bunga orkid yang lazimnya dijumpai di kawasan tinggi pergunungan seperti Australasia dan Afrotopik tumbuh dengan mekar.

Satu sistem mengawal suhu membantu mengekalkan suhu antara 16 hingga 23 darjah selsius - memastikan ia kekal mekar sepanjang tahun.

Bangunan itu juga menjimatkan tenaga.

Permukaan luarnya menggunakan kaca berprestasi tinggi untuk membolehkan sinaran matahari masuk tetapi menyekat bahang panas.

Ia menghasilkan sekitar 30 peratus sumber daya tenaganya daripada panel-panel suria.

Kemudahan itu juga memainkan peranan lebih besar dan penting - sedang perubahan iklim dan pembangunan bandar terus mengancam spesies yang jarang ditemui.

Rakyat Singapura boleh masuk percuma sehingga Ahad depan.

Selepas itu, orang dewasa perlu membayar S$5, manakala warga emas dan kanak-kanak dikenakan bayaran S$1. 

Sumber : CNA/SY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan