Daya tahan masyarakat perlu kepercayaan dan kerjasama rakyat: SM Teo
Menteri Kanan Teo Chee Hean menegaskan bahawa daya tahan sesebuah masyarakat memerlukan kepercayaan dan kerjasama rakyatnya untuk menghuraikan masalah.
Ini apatah lagi sedang dunia berdepan dengan pelbagai cabaran dan konflik.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran dua inisiatif oleh Pasir Ris-Punggol yang bertujuan menggalak keharmonian sosial dan meningkat tahap kewaspadaan masyarakat.
"Anda boleh melihat persengketaan dan konflik yang berlaku di banyak tempat di dunia. Dan di Singapura, kita patut menganggap diri kita sebagai bertuah kerana kita sudah membina kepercayaan dalam kalangan jiran. Kita boleh bekerjasama jika ada masalah, kita menghuraikannya secara bersama," kata Encik Teo.
Salah satu inisiatif yang diperkenalkan adalah Galeri Harmoni dalam Kepelbagaian. Program itu membantu penduduk memupuk persefahaman antara agama.
Inisiatif kedua pula adalah usaha untuk melengkapkan para penduduk kawasan Pasir Ris-Punggol dengan kemahiran untuk mengesan tanda-tanda radikalisasi lalu segera bertindak.
Bagi penduduk yang ingin melakukan lebih banyak lagi, mereka diajak menyertai Pasukan Tindak Balas Kecemasan Masyarakat, yang bertindak semasa dan selepas berlakunya krisis.
"Daya tahan masyarakat sangat penting kerana masyarakat dapat memperoleh pengetahuan dan maklumat tentang apa yang terjadi di kawasan kita, serta dapat memberikan bantuan jika diperlukan," ulas sukarelawan C2E dan CERT, Latifah Suradi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.