Skip to main content

Singapura

Daya tahan kewangan kunci utama hadapi ketidaktentuan: Heng Swee Keat

Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata satu isu utama yang dibincangkan para menteri kewangan di Sidang Puncak G20 adalah tentang bagaimana untuk membangunkan sistem kewangan yang berdaya tahan di peringkat nasional, rantau dan global.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Dec 2018 08:53PM Dikemas Kini : 02 Dec 2018 10:30PM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata satu isu utama yang dibincangkan para menteri kewangan di Sidang Puncak G20 adalah tentang bagaimana untuk membangunkan sistem kewangan yang berdaya tahan di peringkat nasional, rantau dan global.

Peraturan dan penyeliaan kewangan kini sudah bertambah baik sejak krisis kewangan global yang terakhir.

Namun Encik Heng berkata lebih banyak jaringan keselamatan boleh dilaksanakan di peringkat nasional, rantau dan global.

"Di peringkat nasional, ada perbincangan tentang bagaimana setiap negara perlu memastikan ia tidak ada pinjaman yang jauh melebihi keupayaannya untuk membayar semula," kata Encik Heng.

Di peringkat serantau, Encik Heng menarik perhatian bahawa negara-negara ASEAN Campur Tiga yang termasuk China, Jepun dan Korea Selatan, mempunyai jaringan keselamatan seperti Inisiatif Chiang Mai.

Inisiatif itu bertujuan menangani masalah aliran tunai jangka pendek di rantau ini sekiranya berlaku sesuatu krisis.

Encik Heng menambah ASEAN sedang berusaha untuk mengukuhkan program itu.

Para menteri kewangan yang hadir di Sidang Puncak Pemimpin G20 juga menyokong usaha untuk membangunkan jaringan keselamatan global melalui Tabung Kewangan Antarabangsa.

Dalam pada itu, Encik Heng juga menekankan perlunya untuk membangunkan sistem kewangan bagi menyokong perubahan struktur.

Untuk mencapai tujuan itu, Encik Heng berkata negara-negara perlu meningkatkan keupayaan tenaga kerja masing-masing bagi ekonomi digital.

Beliau menambah bahawa terdapat minat terhadap sistem pendidikan Singapura dan usaha negara ini dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan golongan dewasa melalui SkillsFuture.

Sumber : CNA/RU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita