Skip to main content

Singapura

Daya imun terhadap demam selesema, selesema biasa mungkin lebih rendah dek sekatan COVID-19

Satu kajian mendapati bahawa penduduk Singapura mungkin lebih mudah menghidap penyakit demam selesema musiman dan selesema biasa apabila sekatan COVID-19 mula dilonggarkan secara lanjut.

Anggaran Waktu Membaca:
Daya imun terhadap demam selesema, selesema biasa mungkin lebih rendah dek sekatan COVID-19
Gambar Hiasan. (Gambar: iStock)
Diterbitkan : 12 Nov 2021 08:23AM Dikemas Kini : 12 Nov 2021 08:30AM

SINGAPURA: Satu kajian mendapati bahawa penduduk Singapura mungkin lebih mudah menghidap penyakit demam selesema musiman dan selesema biasa apabila sekatan COVID-19 mula dilonggarkan secara lanjut.

Ini setelah pemakaian pelitup, jarak selamat dan sekatan perjalanan selama selama setahun, yang mungkin mengurangkan berlakunya penyakit-penyakit itu dan daya imun penduduk terhadapnya.

Bagaimanapun, para pengkaji berkata ia tidak pasti sama ada kelonggaran sekatan mungkin akan mencetuskan penularan selesema biasa apabila virus-virus itu kembali ke masyarakat.

Para pakar menyarankan orang ramai supaya mendapatkan vaksinasi selesema di samping vaksin COVID-19.

Ketua perunding khidmat mikrobiologi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) Dr Matthias G Maiwald dan seorang lagi penulis kajian itu, berkata bahawa jangkitan selesema biasa walaupun ia tidak selesa, adalah penting untuk mengekalkan tahap daya keimunan.

"Ia bukanlah semuanya teruk kerana jangkitan selesema biasa kononnya membantu melatih daya imun kita," katanya di satu taklimat media pada Khamis (11 Nov).

"Dan jika tiada latihan bagi daya imun itu pada 2020 atau 2021, terdapat kemungkinan sistem imun kita kurang bersedia berdepan jangkitan berulang."

Dr Maiwald merupakan salah seorang pengkaji daripada Hospital Besar Singapura (SGH), KKH dan Institut Genom Singapura yang mengkaji data lebih daripada 42,000 ujian tindak balas berantai polimerase bagi virus pernafasan yang dilakukan di tiga hospital pada 2019 dan 2020.

Mereka mengumpul jumlah ujian mingguan dan keputusan positif bagi pelbagai virus untuk menilai trend dalam jangkitan virus pernafasan semasa pandemik COVID-19 di Singapura.

Kajian itu mendapati aktiviti selesema berada di puncaknya pada Disember 2019 dan Januari 2020, dengan hampir 30 kes bagi setiap 100 sampel.

Mereka juga menyaksikan kemerosotan dalam jangkitan selesema pada Februari dan Mac tahun lalu, apabila tahap DORSCON di Singapura dinaikkan ke jingga, dengan hanya sekitar dua kes bagi setiap 100 sampel.

Dalam mengisytiharkan tahap DORSCON berwarna jingga, Pemerintah memperkenalkan pelbagai langkah sekatan dan saranan seperti pemeriksaan suhu badan, menggantung aktiviti luar sekolah dan nasihat untuk membatalkan acara-acara berskala besar.

Kemerosotan ketara dalam jumlah kes jangkitan selesema berlaku semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan pada April dan Mei tahun lalu, sehinggakan demam selesema A/B - iaitu punca selesama musiman - hampir tiada sepanjang tempoh baki 2020.

Sekatan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan sebahagian besarnya mengehadkan kebanyakan individu, selain daripada pekerja barisan hadapan supaya duduk di rumah.

Singapura lazimnya mempunyai dua musim selesema - dari Disember hingga Januari dan Mei hingga Julai - di mana ia seringkali berlaku pada yang sama dengan musim cuti persekolahan apabila keluarga-keluarga bercuti ke luar negara.

Para pengkaji berkata meskipun selesema musiman kekal rendah, sesetengah virus selesema muncul lebih awal meskipun dengan pemakaian pelitup secara berterusan.

Ini dapat dilihat dalam kes jangkitan enterovirus dan rhinovirus - iaitu punca utama selesema dalam kalangan kanak-kanak - yang muncul semula pada fasa kedua pembukaan semula ekonomi susuli tempoh pemutus jangkitan, pada separuh kedua 2020.

Dr Wan Wei Yee, seorang perunding kanan di jabatan mikrobiologi SGH berkata ini mungkin dikaitkan dengan kanak-kanak kurang peka terhadap peraturan kesihatan dan kebersihan.

"Mereka suka menyentuh segala-galanya, setiap permukaan, mereka memasukkan barang-barangan ke dalam mulut, mereka memeluk orang lain. Tingkah laku ini serta langkah sosial yang dilonggarkan, mungkin menyumbang kepada kemunculan semula ini," katanya.

Justeru para pengkaji menggesa orang ramai, termasuk individu yang pulih daripada COVID-19 supaya mendapatkan vaksin selesema sebelum musim selesema bermula, selain daripada vaksin COVID-19.

"Jika anda pernah dijangkiti COVID-19, ia tidak memberikan perlindungan yang sama terhadap virus selesema biasa. Situasi dengan virus selesema biasa ini adalah khusus disebabkan jumlahnya yang banyak, jadi anda mungkin hanya terlindung daripada selesema biasa yang pernah anda alami," kata Dr Maiwald.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita