Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Daya bingkas, mampu berdikari penting tetapi dunia bertambah buruk jika negara bersikap keterlaluan, kata Lawrence Wong

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (13 Nov) berkata daya bingkas dan mampu berdikari adalah ciri-ciri penting sebuah negara tetapi menambah bahawa dunia akan bertambah buruk jika negara-negara bersikap keterlaluan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (13 Nov) berkata daya bingkas dan mampu berdikari adalah ciri-ciri penting sebuah negara tetapi menambah bahawa dunia akan bertambah buruk jika negara-negara bersikap keterlaluan.

Di majlis jamuan malam untuk peserta Persidangan Asia Pasifik (APK) Perniagaan Jerman yang ke-17, Encik Wong menarik perhatian bahawa sebahagian daripada keinginan untuk mempunyai daya tahan lebih tinggi adalah tentang mempunyai rangkaian yang lebih boleh dipercayai.

lawrence wong
(Gambar: CNA)


Ini, terang Encik Wong, bermakna mematuhi sepenuhnya semua peraturan dan tanggungjawab antarabangsa.

"Apabila pandemik melanda, kami tidak pernah melakukan sebarang kawalan eksport dari Singapura. Kami memastikan pelabuhan kami terbuka. Kami membenarkan barangan dihantar menerusi Singapura sekalipun apabila kami sendiri berdepan kekurangan. Saya rasa itulah cara bagaimana kami membina kredibilti kami, reputasi kami sebagai pusat yang boleh dipercayai dalam rangkaian ini," tambah beliau.

Encik Wong berkata demikian dalam satu perbincangan tidak rasmi di mana beliau menjawab pelbagai soalan daripada seorang moderator.

China menjadi antara topik di mana Encik Wong diminta untuk memberikan pandangan beliau, khususnya dalam isu teknologi dan perdagangan.

Encik Wong menekankan hubungan perdagangan dan rantaian bekalan yang dijalin antara negara-negara Asia Tenggara dengan China dan bahawa negara-negara tidak seharusnya diletakkan pada satu kedudukan untuk memilih antara Beijing dengan Washington.

"Akhirnya, sudah tentu bagaimana Amerika Syarikat (AS) dan China menguruskan hubungan mereka adalah penting dan ia akan membentuk nada bagi ehwal sejagat. Saya rasa satu perkara baik adalah kepimpinan di kedua-dua pihak tidak mahu berlakunya pertembungan antara kedua-dua negara. Mereka menyedari terlalu banyak yang dipertaruhkan dan semuanya akan hilang."

Presiden Joe Biden dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, dijangka bertemu secara empat mata di sidang puncak G20 akan datang di Bali. Ia sesuatu yang Encik Wong harapkan akan membantu kedua-dua pihak untuk menubuhkan satu "modus viviendi" atau kesepakatan sementara baru tentang bagaimana untuk melangkah ke hadapan.

SASARAN IKLIM

Di acara itu, pembawa acara juga mengemukakan isu-isu berhubung sasaran iklim - sasaran yang sering didengar untuk mencapai sifar pelepasan gas karbon menjelang 2050 - dan beliau ingin tahu jika Singapura mempunyai huraian "lebih inovatif dan lebih asli".

"Kami akan memastikan ia menjadi kenyataan," jawab Encik Wong.

"Kami bukan antara yang pertama (bertekad untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050) kerana kami mengambil banyak masa untuk mengkaji haluan bagi mengecapi sifar bersih buat Singapura dan ia lebih sukar bagi kami. Bayangkan kami tidak mempunyai keupayaan untuk meningkatkan bekalan tenaga boleh diperbaharui di bandar kecil kami. Kami boleh memasang panel suria di atas semua bumbung dan tanah yang ada di Singapura. Namun, ia masih tidak mencukupi," jelas Encik Wong.

Encik Wong juga menggariskan tiga cara yang diambil Singapura untuk membuat peralihan hijau sesuatu yang berfaedah, dan bukan satu beban, buat perniagaan.

Pertama, dengan mengejar peluang dalam ruang rendah karbon seperti kecekapan tenaga, kenderaan elektrik dan huraian penyejukan.

Beliau kemudian menekankan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab pengangkutan dan kemungkinan menggunakan bahan api mesra alam dalam sektor penerbangan serta maritim.

Akhir sekali, Encik Wong menyentuh tentang ruang pembiayaan hijau dan permintaan yang kian meningkat daripada projek di sekitar rantau ini untuk pembiayaan peralihan.

SG, JERMAN PERDALAM HUBUNGAN EKONOMI

Kemampanan juga menjadi antara isu utama dalam satu perjanjian yang dimeterai antara Singapura dengan Jerman.

Rangka Kerja Kemampanan dan Inovasi Jerman-Singapura akan "menyusun dan memperdalam kerjasama ekonomi di peringkat antara pemerintah, antara pemerintah dengan perniagaan serta sesama perniagaan," menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura dalam kenyataan media pada Ahad.

Kerjasama ini akan dilakukan di sektor-sektor seperti pengilangan lanjutan, mobiliti dan teknologi hijau.

Rangka kerja itu juga akan memudahkan kerjasama dalam bidang-bidang seperti pemadanan perniagaan, rangkaian dan latihan di tempat kerja, menurut MTI.

Perjanjian itu dimeterai oleh Naib Canselor Jerman Robert Habeck dan Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Singapura S Iswaran, yang menekankan kepentingan lebih luas perjanjian tersebut.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan