David Yong dari rancangan Netflix 'Super Rich In Korea' ditawar ikat jamin S$1 juta, dikenakan tuduhan baharu

Gambar: dynimm/Instagram
SINGAPURA: Ahli perniagaan rakyat Singapura David Yong dikenakan tuduhan baharu memalsukan kenyataan kewangan pada Khamis (15 Ogos) dan ditawarkan ikat jamin berjumlah S$1 juta.
Yong, ketua pegawai eksekutif perniagaan berbilang negara dan syarikat induk Evergreen Group Holdings, kini berdepan empat tuduhan secara keseluruhannya yang berkait dengan dokumen yang dipalsukan.
Tuduhan terbaharu itu menuduh ahli perniagaan berusia 37 tahun terbabit menghasut Thung Sai Fun antara Oktober 2022 dengan Februari 2023 untuk memalsukan beberapa butiran baris dalam kenyataan kewangan Evergreen Assets Management bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2022, yang membawa kepada keuntungan sebelum cukai yang dilaporkan kira-kira S$8 juta.
Ini dilakukan dengan niat untuk menipu, menurut kertas pertuduhan itu.
Yong dihadapkan ke mahkamah dari tempat dia ditahan reman, dengan memakai sehelai kemeja polo berwarna merah dan kelihatan tidak bercukur serta pucat.
Untuk diikat jamin, dia perlu memberikan jaminan sebanyak S$1 juta oleh seorang penjamin, atau setengah juta oleh dua penjamin, di samping mematuhi syarat jaminan.
Ini termasuk 'e-tagging', mematuhi waktu perintah berkurung dan melaporkan kepada pegawai penyiasat setiap minggu.
Yong akan kembali dihadapkan ke mahkamah bagi sidang praperbicaraan pada September nanti.
Jika sabit kesalahan bersubahat bagi pemalsuan dokumen, dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
LATAR BELAKANG KES
Yong menggelar dirinya sebagai sebahagian daripada "Singapore's top 1 per cent super rich" ("1 peratus teratas paling kaya di Singapura") dalam rancangan Netflix tersebut, yang memaparkan gaya hidup mewah individu-individu kaya yang menubuhkan pangkalan di Korea.
Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pada awal Ogos lalu bahawa Jabatan Ehwal Komersil (CAD) sedang menyiasat kegiatan perniagaan Evergreen Group Holdings atas dakwaan penipuan kerana disyaki dana pelabur disalahgunakan.
Beberapa syarikat di bawah Evergreen Group Holdings mengumpulkan dana melalui pengeluaran nota janji hutang yang menjanjikan faedah tahunan sebanyak 10 peratus.
Nota janji hutang itu - yang mana satu pihak berjanji untuk membayar sejumlah wang kepada pihak lain - mungkin dikeluarkan bertentangan dengan Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan, tambah mereka.
Syarikat-syarikat di bawah nama tersebut merangkumi Evergreen Grp Holdings, Evergreen GH - yang sebelum ini dikenali sebagai Evergreen Assets Management (Singapore), serta Everventures.
Menurut laman Evergreen Group Holdings, syarikat tersebut ditubuhkan pada tahun 1990-an dan kini sudah bertapak di Singapura, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Kemboja, Vietnam dan Malaysia.
Ia bermula sebagai sebuah syarikat kayu dan kini terlibat dalam industri kewangan, automotif, hartanah dan gaya hidup.
Seorang lagi lelaki berusia 37 tahun ditangkap bersama Yong, tetapi dia masih belum didakwa atau dinamakan kepada khalayak umum.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.