Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Data TraceTogether digunakan polis 'dihadkan bagi kesalahan amat serius', kata Shanmugam

Data dari aplikasi mudah alih atau token TraceTogether akan digunakan oleh polis dalam "kesalahan yang sangat serius", kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Selasa (5 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Jan 2021 06:34PM Dikemas Kini : 05 Jan 2021 09:06PM

SINGAPURA: Data dari aplikasi mudah alih atau token TraceTogether akan digunakan oleh polis dalam "kesalahan yang sangat serius", kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Selasa (5 Jan).

Sejauh ini, data TraceTogether digunakan sekali sahaja oleh polis, dalam siasatan kes pembunuhan, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi inisiatif Negara Bijak Vivian Balakrishnan.

Penjelasan itu dibuat selepas Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan menjawab satu soalan parlimen mengenai isu berkenaan pada Isnin (4 Jan). Encik Tan berkata polis diberi kuasa untuk memperolehi data TraceTogether di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Kenyataan Encik Tan itu menimbulkan orang ramai, dengan ramai yang menarik perhatian bahawa semasa sistem TraceTogether itu diperkenalkan, Dr Balakrishnan berkata data tersebut hanya akan digunakan bagi tujuan penjejakan kontak.

Berucap di Parlimen pada Selasa, Dr Balakrishnan berkata bahawa tidak terlintas di fikiran beliau mengenai CPC apabila beliau memberikan jaminan sebelum ini, sambil menambah bahawa beliau tidak dapat tidur malam selepas mendapat tahun tentang penggunaan data TraceTogether di bawah CPC beberapa minggu lalu.

"Secara terus terang, dan saya rasa anggota parlimen kenal saya dengan baik, dan saya selalu bercakap terus terang. Saya tidak terfikir tentang CPC apabila saya bercakap tentang penggunaan TraceTogether sebelum ini," katanya.

Menurutnya, selepas mendapat tahu tentang penggunaan data TraceTogether di bawah CPC, beliau pertimbangkan untuk memujuk Parlimen supaya mengubah undang-undang, namun beliau kemudian memutuskan bahawa mereka perlu mengekalkan kedudukan selepas berunding dengan rakan-rakan kerja di dalam dan luar Parlimen.

"Saya mencapai kesimpulan bahawa buat masa ini, kami sedang melakukan yang terbaik. Kami dapat memastikan keselamatan Singapura.

"Kami dapat meneruskan dan menangani krisis yang dihadapi sekarang ini. Dan selagi Pemerintah dapat mengekalkan reputasi kami bagi keterbukaan, ketelusan dan diyakini, saya rasa kami masih berada di landasan yang betul," katanya.

Menurutnya lagi, penggunaan CPC tidak unik kepada data TraceTogether.

"Berapa lagi data sulit yang lain, misalnya, rekod telefon atau perbankan yang mungkin dilindungi oleh undang-undang privasi khusus juga tertakluk di bawah peruntukan CPC yang sama."

Ketua Pembangkang Pritam Singh kemudian bertanya bilakah polis boleh menggunakan data TraceTogether.

Menjawab soalan itu, Encik Shanmugam berkata pendekatan polis selama ini adalah penggunaan data sedemikian "dihadkan bagi kesalahan sangat serius".

"Meskipun keperluan itu belum lagi tertakluk dalam undang-undang, ia akan dipertimbangkan secara teliti oleh pihak polis dan budi bicara akan dilaksanakan dalam mendapatkan maklumat tersebut," katanya.

Dr Balakrishnan berkata beliau percaya rakyat Singapura dapat memahami sebab polis diberi kuasa meluas di bawah CFC kerana mungkin berlaku kes jenayah serius, seperti pembunuhan dan pengganasan, di mana penggunaan data dalam siasatan polis mungkin perlu bagi kepentingan orang awam.

"Polis harus diberi kuasa untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan dan melindungi keselamatan semua rakyat Singapura, terutama sekali dalam kes sangat serius yang mengancam nyawa," katanya.

"Tidak munasabah bagi kami untuk mengatakan bahawa kelas-kelas data tertentu harus berada di luar jangkauan polis. Namun kuasa yang diberikan di pihak polis untuk memperoleh data harus digunakan secara bijak dan penuh tanggungjawab serta kawal diri."

Dr Balakrishnan menambah bahawa sebaik sahaja pandemik COVID-19 berakhir dan apabila TraceTogether tidak lagi diperlukan, Pemerintah akan dengan "penuh senang hati" menamatkan program itu.

Encik Shanmugam juga berkata bahawa memandangkan CPC memberi kuasa kepada polis, mereka bertanggungjawab menggunakannya dengan memberi contoh kes pembunuhan.

Menurutnya: "Jika berlaku pembunuhan... dan maklumat itu berada dalam token TraceTogether. Jika polis memilih untuk tidak mendapatkan maklumat itu, anda boleh bayangkan bagaimana keluarga mangsa dan tentu sekali seluruh Singapura akan memberi reaksi kepada situasi tersebut."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan