Data peribadi lebih 73,000 pesakit terjejas dalam serangan siber Eye & Retina Surgeons
Data peribadi dan maklumat klinikal 73,466 pesakit terjejas dalam satu serangan siber ke atas klinik swasta Eye & Retina Surgeons awal bulan ini, dengan punca insiden itu masih disiasat.
Seorang pesakit di sebuuah klinik mata di Singapura. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)
SINGAPURA: Data peribadi dan maklumat klinikal 73,466 pesakit terjejas dalam satu serangan siber ke atas klinik swasta Eye & Retina Surgeons awal bulan ini, dengan punca insiden itu masih disiasat.
Data terjejas merangkumi nama pesakit, alamat, nombor kad pengenalan, maklumat hubungan dan maklumat klinikal. Tiada maklumat kad kredit atau akaun bank diakses mahupun dikompromi, menurut klinik pakar mata itu dalam satu kenyataan media hari ini (25 Ogos).
"Serangan siber 'ransomware' (menuntut wang tebusan) yang tidak sah dan canggih" itu dilakukan oleh pihak yang tidak dikenali pada 6 Ogos, menurut klinik itu.
Ia menjejas server dan beberapa terminal komputer di cawangan klinik di Camden Medical. Sistem IT cawangan klinik di Pusat Pakar Novena Mount Elizabeth bagaimanapun tidak terjejas.
"Bagi mengoptimumkan keselamatan data, Eye & Retina Surgeons) mengekalkan rangkaian yang terpisah dan rekod perubatan aktif disenggara secara berasingan menggunakan sistem berasaskan awan, lantas tidak diaskes atau dikompromi," tambah klinik itu.
Menurut Eye & Retina Surgeons, tiada operasi klinikalnya terjejas dan sistem-sistem IT sudahpun dipulihkan dengan selamat.
Klinik itu menyatakan belum ada pelepasan data ke dalam ruang awam setakat ini dan ia akan terus memantau keadaan dengan rapi.
"Para pesakit kini dimaklumkan secara bertahap-tahap tentang insiden siber ini," tambahnya.
Insiden itu sudahpun dilaporkan kepada polis, Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan Pasukan Respons Kecemasan Komputer Singapura (SingCERT).
Eye & Retina Surgeons menyatakan pasukan ITnya bekerjasama rapat dengan Agensi Keselamatan Siber Singapura serta Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menyiasat punca insiden itu.
"Semua langkah-langkah wajar untuk mencegah pelanggaran ini daripada berulang sudahpun diambil," menurut klinik itu. Ia menambah pihaknya bekerjasama dengan para pakar keselamatan siber serta pihak berkuasa untuk mengenal pasti sebarang aspek berpotensi dalam sistem ITnya yang boleh dilindungi dengan lebih lanjut.
"(Eye & Retina Surgeons) mengesali pencabulan data ini dan ingin memberi jaminan kepada para pesakitnya bahawa ia mengendalikan maklumat sulit pesakit dengan amat serius," menurut klinik itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.