Skip to main content

Singapura

Data peribadi 4,749 pelanggan KrisShop 'mungkin bocor' susuli serangan pancing data

Secara keseluruhannya, data peribadi 4,749 pelanggan KrisShop "mungkin sudah terdedah" menyusuli satu serangan pancing data, menurut peruncit itu pada Khamis (17 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Data peribadi 4,749 pelanggan KrisShop 'mungkin bocor' susuli serangan pancing data

Petikan gambar laman web KrisShop.

Diterbitkan : 17 Mar 2022 07:33PM

SINGAPURA: Secara keseluruhannya, data peribadi 4,749 pelanggan KrisShop "mungkin sudah terdedah" menyusuli satu serangan pancing data, menurut peruncit itu pada Khamis (17 Mac).

Data tersebut berkemungkinan termasuk nama, alamat emel, alamat rumah, nombor telefon dan nombor e-baucar milik individu terjejas, menurut KrisShop dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.

Daripada 4,749 pelanggan, nombor akaun bank sekitar 165 individu serta nombor akaun KrisFlyer seramai 17 orang juga mungkin sudah terdedah.

AKAUN PEKERJA DIAKSES SECARA HARAM

Pada 8 Mac, KrisShop mendapati akaun kerja seorang kakitangannya diakses secara haram oleh sebuah pihak luar akibat serangan pancing data.

Akaun terjejas dikunci sebaik sahaja KrisShop dimaklumkan tentang serangan pancing data itu dan siasatan mula dijalankan.

"Berdasarkan siasatan kami, data itu tidak termasuk sebarang kata laluan atau maklumat kad kredit kerana fail terjejas tidak meliputi maklumat sedemikian," menurut peruncit berkenaan.

Baucar elektronik KrisShop terjejas sudahpun dibatal dan digantikan.

Setelah KrisShop menyemak semula sistem serta prosesnya bersama-sama dengan Singapore Airlines, peruncit itu mendapati bahawa ia adalah "insiden terpencil yang timbul akibat kesilapan manusia" dan tiada pangkalan data mahupun sistem lain yang terjejas.

KrisShop menyatakan ia tidak boleh memberikan butiran lanjut mengenai identiti penyerang kerana siasatan masih dijalankan.

Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dimaklumkan pada 10 Mac selepas maklumat yang diperlukan untuk memfailkan laporan itu disahkan secara dalaman.

"KrisShop ingin memohon maaf kepada semua pelanggan terjejas atas insiden ini dan kesulitan yang menimpa mereka," menurut jurucakapnya.

"Kami dalam proses menghubungi pelanggan yang terjejas dan akan menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan."

Seorang jurucakap PDPC mengesahkan KrisShop sudah memaklumkan suruhanjaya itu tentang insiden tersebut dan menyatakan ia sedang meneliti perkara tersebut.

Pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung insiden itu boleh menghubungi KrisShopCustomerCare [at] krisshop.com.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita