Data peranti 'segelintir' pelajar terjejas insiden Mobile Guardian tidak dapat diperoleh semula: MOE

Para pelajar Menengah 2 menggunakan peranti pembelajaran peribadi dalam kelas Matematik di Sekolah Menengah Jurong West. (Gambar fail: CNA/Raydza Rahman)
"Terdapat segelintir peranti di mana maklumat disimpan tetapi tidak disalin (back up) dan kini tidak dapat diperoleh semula," jelas MOE pada Rabu (7 Ogos).
Kementerian itu sedang bekerjasama dengan sekolah-sekolah untuk menyediakan sokongan tambahan kepada para pelajar terjejas.
Ini antara lain akan dilakukan dengan menyediakan sumber salinan yang dicetak, selain menggalak pelajar untuk berkongsi nota masing-masing dengan mereka yang terjejas.
Kementerian Pendidikan berjaya mendapatkan semula sepenuhnya maklumat dalam peranti pembelajaran peribadi yang terdahulu sudah disalin dalam pangkalan data awan (cloud), tambahnya.
Memberikan kemas kini mengenai insiden yang berlaku pada lewat Ahad, MOE menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerja rapat dengan sekolah-sekolah untuk mendapatkan semula maklumat yang diperlukan dalam peranti-peranti terjejas.
Para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan nasional pada tahun ini diutamakan.
"Kami teruja dapat melihat semangat muhibah dalam kalangan pelajar. Ramai yang bersatu padu dan memberikan sokongan kepada rakan-rakan sedarjah yang terjejas untuk memberikan sokongan emosi dan praktikal, seperti dengan berkongsi nota mereka."
MOE sebelum ini mengumumkan bahawa aplikasi Mobile Guardian akan dipadamkan daripada semua peranti pembelajaran peribadi pelajar, selepas satu pencerobohan keselamatan siber global menjejas sekitar 13,000 pelajar sekolah menengah daripada 26 sekolah menengah di Singapura.
Insiden itu membuat pelajar bimbang akan kehilangan nota masing-masing, apatah lagi peperiksaan bakal berlangsung tidak lama lagi.
Jurutera IT tambahan dikerahkan ke sekolah-sekolah untuk membantu pelajar mendapatkan semula data yang diperlukan pada peranti mereka, menurut MOE pada Rabu (7 Ogos).
"Pelajar yang mahu menghuraikan sendiri isu yang dihadapi pada peranti masing-masing juga sudah disediakan dengan kertas arahan. Kami berharap dapat memperbetulkan baki peranti-peranti terjejas paling lewat hujung minggu depan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.