Data 70,000 individu terjejas akibat insiden keselamatan siber vendor SLA, persekitaran cloud
Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Jumaat (3 Jul) memaklumkan bahawa ia telah dimaklumkan mengenai satu insiden keselamatan yang melibatkan akses tanpa kebenaran ke atas sistem yang dimiliki oleh salah satu vendornya.
Para pengunjung berjalan melepasi logo IBM di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) di Barcelona, Sepanyol, pada 3 Mac 2026. (Gambar fail: REUTERS/Nacho Doce)
- Penguasa Tanah Singapura (SLA) melaporkan insiden akses tanpa kebenaran ke atas data 70,000 individu dalam sistem vendor yang diuruskan IBM.
- Siasatan awal mendapati data peribadi seperti nama, nombor NRIC dan alamat hartanah terdedah dalam set data pembangunan dan ujian sejak 1998.
- IBM telah membatalkan akses ke persekitaran terjejas, dan SLA sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyiasat serta memulihkan keadaan.
- SLA telah memaklumkan individu terjejas, membuat aduan polis, dan menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap percubaan pancingan data.
Siasatan awal menunjukkan bahawa berlaku akses tanpa kebenaran ke atas persekitaran pengkomputeran cloud yang diuruskan oleh IBM, menurut SLA dalam satu kenyataan media.
IBM adalah vendor yang dilantik untuk menyokong dan menyelenggara Sistem Pendaftaran Automatik Hak Milik Singapura (STARS) dan Sistem eLodgment (ELS), selain menguruskan persekitaran pembangunan serta ujian integrasi sistem kedua-dua platform tersebut.
"Siasatan awal menunjukkan bahawa berlaku akses tanpa kebenaran ke atas satu set data yang diwujudkan khusus bagi tujuan pembangunan dan ujian vendor," menurut SLA.
Set data itu diwujudkan pada 1998 dan dikemas kini secara berkala pada tahun-tahun berikutnya. Ia sepatutnya hanya mengandungi data ujian yang direka cipta dan data yang tidak dapat dikenal pasti sumbernya berdasarkan rekod pemilikan hartanah serta urusan pemfailan.
"Bagaimanapun, SLA kemudian mendapati bahawa ia turut mengandungi nama, nombor NRIC dan alamat hartanah semasa bagi kira-kira 70,000 individu," menurut SLA.
"Maklumat tersebut sepatutnya tidak boleh dikenalpastikan, namun perkara itu tidak sedemikian. Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan bagaimana perkara itu boleh berlaku."
SLA menjelaskan bahawa persekitaran yang terjejas dan diuruskan oleh IBM adalah berasingan daripada sistem operasinya.
"Tiada sebarang hubungan atau pencerobohan melibatkan sistem langsung yang digunakan bagi operasi STARS, ELS atau mana-mana sistem SLA yang lain. Rekod pemilikan hartanah dan urusan pemfailan dalam STARS dan ELS kekal selamat dan tidak terjejas."
IBM telah membatalkan akses yang berkaitan dengan persekitaran pembangunan dan ujian yang terjejas bagi mengelakkan sebarang akses tanpa kebenaran selanjutnya, tambah SLA.
Sebagai langkah berjaga-jaga, SLA telah mengenal pasti para individu yang maklumat mereka terkandung dalam set data berkenaan dan sudah mula memaklumkan mereka serta memberikan panduan mengenai cara-cara untuk mendapatkan maklumat dan bantuan lanjut.
"SLA sedang bekerjasama rapat dengan IBM, Agensi Teknologi Pemerintah Singapura dan Agensi Keselamatan Siber (CSA) bagi menyiasat kejadian ini, mendapatkan gambaran penuh mengenai kejadian tersebut serta memastikan langkah pemulihan yang sewajarnya diambil," menurut pihak berkuasa itu.
SLA turut membuat aduan polis dan memaklumkan kejadian tersebut kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC).
"Memandangkan siasatan masih dijalankan, kami menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap emel, laman web, khidmat pesanan ringkas atau panggilan telefon bersifat pancingan data daripada pihak yang mengaku mewakili agensi pemerintah atau organisasi lain," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.