Dasar Perkahwinan dan Keibubapaan perlu penyusunan semula, usaha lebih menyeluruh diperlukan: Rahayu Mahzam
Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan, Rahayu Mahzam, berkata kebimbangan yang dibangkitkan ibu bapa mendorong perlunya penyusunan semula dasar Perkahwinan dan Keibubapaan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Menurut Cik Rahayu, langkah-langkah baharu yang diumumkan pemerintah susulan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 merupakan respons kepada kebimbangan yang dibangkitkan ibu bapa, termasuk keperluan mempunyai lebih banyak “waktu yang dilindungi” bersama anak-anak, sokongan kewangan yang lebih mapan, pilihan jagaan anak yang dimampui serta sokongan perumahan apabila keadaan keluarga berubah.
“Kita banyak berbincang dengan ibu bapa, mendengar kerisauan mereka dan ini adalah respons kepada isu-isu yang telah mereka timbulkan,” kata Cik Rahayu dalam wawancara bersama BERITA Mediacorp.
Beliau berkata: “Dengan adanya isu-isu yang ditimbulkan, kita rasa perlu untuk kita merubah, orang kata adakah ‘reset’ dalam polisi Perkahwinan dan Keibupaan, untuk menyokong dan membantu ibu bapa dalam melihat sokongan itu dari jangka waktu yang lebih panjang, membantu mereka sepanjang mereka membesarkan anak-anak mereka.”
Pendekatan itu, menurut Cik Rahayu, bertujuan memastikan sokongan kepada keluarga tidak tertumpu pada peringkat awal sahaja, sebaliknya berterusan dan disesuaikan dengan keperluan mereka sepanjang perjalanan membesarkan anak.
Antara langkah yang diumumkan adalah bilangan Cuti Penjagaan Anak (CCL) yang ditambah, dengan ibu atau bapa bekerja mendapat antara lapan hingga 12 hari bergantung kepada bilangan anak berusia 12 tahun dan ke bawah.
Sokongan kewangan juga akan diberikan secara lebih berpanjangan, termasuk Kredit Anak $2,000 setahun dari usia satu hingga 16 tahun, selain sokongan ketika kelahiran serta tokokan bagi pendidikan anak.
Namun, beliau akur bahawa tiada satu langkah yang mampu menangani kesemua cabaran yang dihadapi keluarga dan perubahan tidak dapat dicapai dalam masa singkat.
"Ini adalah satu usaha yang harus berpanjangan dan harus diteruskan.
"Kita berharap ia dapat mengurangkan tekanan praktikal yang kita lihat yang dihadapi oleh ibu bapa," ujar Cik Rahayu.
SOKONGAN DIPERTINGKAT BERI SEDIKIT KELEGAAN
Bagi pasangan muda Young Firman Young Azman, 31 tahun, dan Nadyrha Mat Ali, 32 tahun, sokongan tambahan itu memberi sedikit kelegaan dalam mengimbangi tuntutan kerja dan menjaga dua anak lelaki mereka yang berusia dua tahun dan enam bulan.
Semasa ditemui BERITA Mediacorp di kediaman mereka di Jurong West, Encik Young berkongsi bahawa cuti yang tersedia selama ini membantu mereka menguruskan sebahagian daripada tuntutan itu.
Ketika setiap anak mereka dilahirkan, Encik Young mengambil empat minggu Cuti Paterniti Berbayar Pemerintah, yang turut dimanfaatkan untuk menyediakan makanan pantang bagi isterinya.
Apabila anak kedua mereka dilahirkan pada Februari lalu, pasangan itu pula membahagikan enam minggu Cuti Ibu Bapa Bersama secara sama rata, masing-masing tiga minggu.
Cuti tambahan CCL yang diumumkan di NDR turut dialu-alukan pasangan itu, terutama apabila kedua-dua anak mereka masih kecil dan diletakkan di pusat jagaan bayi dan kanak-kanak.
“Kami merancang untuk simpan CCL yang belum digunakan kerana anak-anak kami pergi ke pusat jagaan bayi dan sering jatuh sakit.
"Kadang-kadang bila seorang jatuh sakit, seorang lagi pun berjangkit. Jadi amat penting bagi saya untuk ada ‘reserved CCL’ yang boleh digunakan apabila diperlukan," ujar Cik Nadyrha yang bertugas sebagai seorang Pegawai Khidmat Pesakit.
Di bawah pakej sokongan baharu, keluarga itu dijangka menerima lebih $122,000 bagi kedua-dua anak sepanjang 17 tahun akan datang .
Bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2021 itu, sokongan jangka panjang tersebut memberi mereka lebih keyakinan dalam merancang keperluan anak-anak pada masa hadapan.
“Kalau ada lebihan, kami merancang untuk meletakkan dalam akaun simpanan atau ketepikan untuk masa hadapan mereka. Saya rasa kos kehidupan semakin meningkat setiap tahun, jadi adanya simpanan ini baik untuk masa hadapan mereka," ujar Cik Nadyrha.
"Ia bagi saya sedikit keyakinan kerana sekurang-kurangnya saya ada ‘backup plan’ atau ‘backup savings’ untuk anak-anak saya pada masa hadapan,”tambahnya lagi.
Namun apabila ditanya sama ada sokongan tambahan itu akan mempengaruhi keputusan mereka untuk menambah bilangan anak, pertimbangannya tidak terhenti pada soal kewangan.
Bagi Encik Young, jumlah sokongan yang diberikan sudah mencukupi, tetapi pasangan itu masih perlu mengambil kira kemampuan mereka dari segi masa serta keadaan fizikal dan mental.
MASA BERSAMA ANAK MASIH JADI CABARAN
Malah, di sebalik bantuan kewangan dan cuti yang dipertingkat, masa kekal menjadi antara cabaran utama bagi pasangan itu.
Cik Nadyrha berkata waktu kerja yang panjang menyebabkan mereka mempunyai ruang yang terhad untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak pada hari bekerja.
“Sekarang waktu kerja kami sangat panjang. Kami tidak ada ruang untuk meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak," kata Encik Young yang kerjanya sebagai pemandu lori kitar semula menuntut beliau bekerja enam hari seminggu.
PERANAN MAJIKAN TURUT PERLU DIBERI PERHATIAN
Kekangan masa seperti yang dihadapi pasangan itu turut berkait dengan satu lagi aspek yang menurut Cik Rahayu perlu diberi perhatian iaitu sokongan di tempat kerja.
Dalam soal pekerjaan, beliau berkata peranan majikan penting dalam usaha menyokong ibu bapa secara lebih menyeluruh.
“Dengan pekerjaan kita, adalah satu perbualan yang perlu dilakukan untuk memastikan majikan lebih menyokong ibu bapa dalam membantu mereka menjalani kehidupan seharian mereka,” kata Cik Rahayu.
Menurut Cik Rahayu, Pemerintah juga akan terus meneliti aspek lain yang mempengaruhi perjalanan pasangan membina keluarga.
Ini termasuk isu kesuburan serta kos berkaitan kesihatan dan materniti, yang menurutnya turut menjadi antara kebimbangan pasangan.
"Ada lagi aspek-aspek yang akan kita teliti dalam usaha ini dan diharapkan dapat juga menyokong pasangan dan ibu bapa dengan cara yang lebih menyeluruh," tambahnya.
PENDEKATAN TERUKUR BAGI AKSES MEDIA SOSIAL
Dalam wawancara yang sama, Cik Rahayu turut menyentuh tentang penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Mengulas lanjut, beliau berkata Singapura memilih "pendekatan yang lebih terukur dan bersesuaian dengan usia" agar golongan muda dapat dilindungi daripada kesan buruk media sosial.
Menurutnya, usia 13 tahun kekal sebagai had yang sesuai, dengan mereka yang lebih muda tidak sepatutnya mendapat akses kepada platform tertentu.
Bagi mereka yang berusia 13 tahun ke atas pula, perlindungan dan tahap akses boleh diperincikan secara berperingkat mengikut usia.
"Kita mahu melihat pendekatan yang lebih khusus dan terperinci, dengan akses diberikan secara berperingkat mengikut usia. Dengan cara itu, mereka masih dapat belajar, dengan perlindungan tertentu yang bersesuaian dengan usia masing-masing," tambah Cik Rahayu.
Pendekatan itu, menurut beliau, mengambil kira kesan penggunaan media sosial tanpa kawalan terhadap kesihatan mental golongan muda, di samping memastikan mereka masih dapat meraih manfaat daripada maklumat dalam talian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.