Skip to main content

Singapura

Dasar keadilan jenayah SG selaras dengan undang-undang antarabangsa, disesuaikan dengan konteks negara: MFA

Dasar keadilan jenayah Singapura selaras dengan undang-undang antarabangsa, berasaskan bukti dan disesuaikan dengan konteks negara bagi melindungi rakyatnya, kata delegasi negara dalam satu sesi di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 May 2026 04:35PM Dikemas Kini : 23 May 2026 11:15PM
  • Delegasi Singapura diketuai Rahayu Mahzam membentangkan dasar keadilan jenayah dan hak asasi manusia di UPR keempat di Geneva.
  • Beberapa negara menggesa Singapura menggantung atau memansuhkan hukuman mati serta menubuhkan institusi hak asasi manusia bebas.
  • Singapura menegaskan pendekatan berasaskan bukti dan konteks negara, serta akan meneliti saranan yang relevan demi kebaikan rakyat.
  • Pemerintah turut melibatkan rakyat dalam perundingan awam untuk memperbaharui kontrak sosial dan memperkukuh perlindungan kumpulan rentan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Dasar keadilan jenayah Singapura selaras dengan undang-undang antarabangsa, berasaskan bukti dan disesuaikan dengan konteks negara bagi melindungi rakyatnya, kata delegasi negara dalam satu sesi di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.

Ini sebagai maklum balas kepada saranan-saranan daripada beberapa negara yang menggesa agar hukuman mati digantung dan dimansuhkan, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura.

Singapura membentangkan pendekatannya pada Selasa (12 Mei) semasa Semakan Berkala Sejagat (UPR) - proses yang menilai rekod hak asasi manusia semua negara anggota PBB setiap lima tahun. Ini merupakan UPR keempat Singapura.

Delegasi Singapura, yang terdiri daripada para pegawai daripada lapan agensi, diketuai Menteri Negara Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam.

“Singapura menghargai UPR sebagai proses unik yang diterajui rakan sejagat dan menggalakkan negara-negara untuk terus memperkukuh perlindungan dan penggalakan hak asasi manusia,” kata MFA dalam kenyataan medianya selepas semakan tersebut.

“Ia juga merupakan satu peluang berguna untuk bertukar-tukar amalan terbaik dan berinteraksi secara membina dengan negara-negara lain, walaupun pendekatan yang diambil mungkin berbeza,” tambahnya.

“Singapura akan meneliti saranan-saranan tersebut dengan teliti, dan bagi yang relevan dengan konteks negara kami, mempertimbangkan bagaimana ia boleh dimajukan dengan cara yang dapat membuahkan hasil yang lebih baik bagi rakyat kami.”

Sebanyak 142 negara berucap semasa UPR Singapura, dengan banyak yang memuji kemajuan besar yang dicapai negara ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata MFA.

“Kami berterima kasih kepada negara-negara yang memuji undang-undang pertama kami bagi antidiskriminasi di tempat kerja; usaha kami memajukan status wanita dan memperkukuh perlindungan serta sokongan bagi kumpulan rentan seperti kanak-kanak dan individu kurang upaya; inisiatif kami untuk mengekalkan keharmonian kaum dan agama; serta kemajuan kami dalam pembangunan mampan,” kata kementerian itu.

“Negara-negara lain juga mengiktiraf usaha berterusan kami untuk meningkatkan perlindungan dan kebajikan pekerja hijrahan.”

Delegasi Singapura turut menyentuh kemajuan yang dicapai sejak UPR terakhirnya, termasuk pelaksanaan Akta Keadilan di Tempat Kerja dan peluasan sokongan bagi kumpulan rentan.

GESAAN MANSUHKAN HUKUMAN MATI

Semasa semakan tersebut, beberapa negara menggesa Singapura supaya menggantung hukuman mati, sebagai langkah ke arah pemansuhannya.

Negara-negara itu termasuk Australia, Luxembourg, Mexico, Norway, New Zealand, Estonia dan Ireland.

Negara lain, termasuk Brazil, Croatia dan Venezuela, menggesa agar hukuman mati dimansuhkan.

Beberapa negara seperti Sweden, Belgium dan Netherlands pula membangkitkan kebimbangan berhubung Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), manakala ada pihak yang menggesa agar kebebasan bersuara diselaraskan dengan hak asasi manusia antarabangsa.

Beberapa negara lain turut menggesa Singapura agar menubuhkan institusi hak asasi manusia yang bebas, bagi memperkukuh perlindungan pekerja hijrahan dan individu kurang upaya, antara lain.

Dalam ucapannya, Cik Rahayu berkata Singapura mengiktiraf bahawa tiada satu pendekatan tunggal yang dapat merealisasikan hak asasi manusia.

“Setiap negara perlu menanganinya dengan mengambil kira konteks negara dan realiti sosial masing-masing. Di seluruh dunia, kita telah melihat bagaimana tekanan global - termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan kesan teknologi - boleh menjejas perpaduan sosial,” kata beliau.

“Oleh itu, walaupun kami membuka ruang bagi pelbagai pandangan dan pendapat di Singapura, kami menekankan pentingnya membina identiti nasional bersama, selain memperkukuhkan empati sosial.”

Singapura berusaha untuk melindungi hak asasi manusia secara “pragmatik dan berpaksikan hasil”, tambah beliau.

“Kami menilai kemajuan berdasarkan kehidupan yang berjaya dipertingkat, dan hasil yang dicapai amat memberangsangkan.”

Hasil tersebut termasuk jangka hayat yang meningkat daripada sekitar 64 tahun ketika Singapura mencapai kemerdekaan, kepada 84 tahun hari ini, serta akses kepada pendidikan yang bertambah baik dengan ketara, tambah Cik Rahayu.

“Usaha kami dalam memajukan dan melindungi hak asasi manusia merupakan perjalanan yang berterusan sedang kami membina negara dan memperbaiki kehidupan rakyat kami,” kata beliau.

“Oleh itu, kami memandang semakan pada hari ini sebagai satu peluang penting untuk berinteraksi secara membina dengan masyarakat antarabangsa, untuk mendengar dan belajar, supaya kami dapat melindungi maruah semua individu dengan lebih baik, serta membina masyarakat inklusif di mana semua orang mempunyai peluang untuk mencapai potensi mereka.”

Beliau menambah bahawa pemerintah akan terus mendampingi rakyat untuk memahami jurang yang wujud dan bagaimana ia boleh diperbaiki.

Pada 2022, pemerintah memulakan perundingan melibatkan seluruh negara selama 18 bulan untuk mengkaji semula dan memperbaharui kontrak sosial negara.

Lebih 200,000 rakyat Singapura mengambil bahagian dan berkongsi pandangan mereka.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita