Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dasar Integrasi Etnik kekal penting bagi kejiranan inklusif, pelbagai: Desmond Lee

Dasar Integrasi Etnik (EIP) kekal sebagai dasar "penting" untuk menangani perkauman sekaligus memastikan keharmonian kaum dan "kejiranan yang inklusif dan pelbagai", tegas Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee di Parlimen pada Isnin (5 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Jul 2021 09:36PM Dikemas Kini : 05 Jul 2021 10:15PM

SINGAPURA: Dasar Integrasi Etnik (EIP) kekal sebagai dasar "penting" untuk menangani perkauman sekaligus memastikan keharmonian kaum dan "kejiranan yang inklusif dan pelbagai", tegas Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee di Parlimen pada Isnin (5 Jul).

"EIP kekal menjadi sebahagian penting dalam usaha ini. Jika diserahkan bulat-bulat kepada permintaan sosial dan pasaran, kelompok etnik akan mula terbentuk lagi di kawasan-kawasan berasingan,”katanya.

Encik Lee berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota-Anggota Parlimen Cheryl Chan (PAP-East Timur) dan Chong Kee Hiong (PAP-Bishan-Toa Payoh) mengenai sejauh mana EIP masih relevan dan diperlukan dalam sekitaran hari ini.

Para AP juga membahaskanisu kaum dan agama, seperti sama ada model CMIO Pemerintah (Cina, Melayu, India, dan Lain-lain) masih relevan, menyusuli perbincangan mengenai EIP.

EIP HARI INI

Tanpa EIP, mungkin akan terbentuk "kelompok etnik" atau tempat-tempat tumpuan berdasarkan kaum, kata Encik Lee.

Ada banyak sebab mengapa ini mungkin berlaku, bahkan di luar "kecenderungan naluri" bahawa seseorang ingin tinggal dekat dengan orang lain dari kumpulan etnik yang sama, katanya.

Beberapa sebab ini termasuk keinginan untuk tinggal dekat dengan anggota keluarga atau penduduk daripada kumpulan etnik tertentu mungkin lebih suka kawasan kejiranan dengan lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan tertentu atau jenis flat yang lebih besar.

Menurut beliau sebab-sebab ini boleh "difahami dan masuk akal" namun ia "secara tidak langsung menyebabkan terbentuk kumpulan-kumpulan yang terpisah antara kaum".

Menurut Encik Lee, hampir sepertiga blok HDB, dan 14 peratus kawasan HDB, sudah mencapai had satu atau lebih di bawah EIP hari ini.

Di beberapa kawasan, seperti Bukit Merah, Pasir Ris dan Woodlands, hadnya secara konsisten dicapai selama bertahun-tahun.

Encik Lee akur bahawa tinggal berdekatan dengan jiran daripada kumpulan etnik, budaya atau agama lain tidak menjamin persefahaman, namun kata beliau EIP kekal "kritikal, kerana sebahagian besar kehidupan kita dan anak-anak kita berkisar sekitar rumah dan kawasan kejiranan kita."

CIRI INTRUSIF EIP

Pun begitu, Encik Lee akur bahawa EIP adalah "dasar sosial yang intrusif" kerana bertindak menongkah "kuasa sosio-ekonomi yang sangat kuat".

Antaranya termasuk " penjual dari kumpulan etnik lain yang tidak dapat menjual flat mereka kepada pembeli dari kumpulan etnik tertentu setelah had EIP dicapai untuk kumpulan itu.

"Dengan jumlah lebih kecil pembeli yang memenuhi syarat, penjual mungkin perlu menurunkan harga mereka atau mengambil masa lebih lama untuk menjual flat mereka," katanya.

Walaupun ini berlaku bagi semua kaum, Encik Lee mendapati bahawa penjual dari kaum minoriti membuat lebih banyak rayuan, kerana pembeli Cina membentuk pasaran yang lebih besar dan kesannya terhadap penjual bukan Cina lebih besar apabila had EIP bagi masyarakat Cina dicapai.

Encik Lee berkata pembeli dari kumpulan minoriti yang layak akan meraih manfaat daripada harga penjualan semula yang lebih rendah, dan akan kurang terjejas jika dan apabila mereka menjual flat mereka pada masa hadapan, namun beliau faham mengapa penjual yang terjejas merasa "terkilan".

Untuk menangani masalah ini, HDB melaksanakan kelonggaran berdasarkan satu-satu kes, katanya.

Beliau menambah bahawa rayuan berkaitan EIP yang diluluskan meningkat daripada 14 peratus pada 2018 kepada 21 peratus pada 2020.

Namun tegas Encik Lee EIP memainkan "peranan penting" untuk melindungi dan menggalak keharmonian kaum, dan penduduk harus sentiasa ingat "matlamat sosial yang lebih besar" di sebalik EIP.

MANSUH EIP DEMI BANGUNAN MASYARAKAT "NEUTRAL KAUM": WP

Memberi respons kepada kenyataan Encik Lee, Ketua Pembangkang Pritam Singh bertanya sama ada Pemerintah mempunyai butiran pecahan tahunan mengikut kumpulan etnik dari semua kawasan HDB yang baru dan lama dari 1989.

Beliau juga ingin tahu jika HDB dapat "lebih fleksibel" di peringkat kejiranan untuk melonggarkan syarat EIP sebagai satu tolak ansur atau menghapuskan kuota kawasan dan blok untuk membantu kumpulan etnik yang terjejas oleh dasar tersebut.

Menjawab keprihatinan Encik Singh, Encik Lee menarik perhatian manifesto Parti Pekerja (WP), yang beliau gambarkan "secara tegas" menyatakan bahawa orang ramai harus boleh tinggal di mana sahaja mereka mahu melalui pemansuhan EIP, kerana keharmonian kaum di Singapura tidak akan terjejas setelah lebih 50 tahun merdeka.

"Kami mengambil pandangan yang sangat berbeza dengan (WP)," kata Encik Lee, sambil menarik perhatian kepada insiden yang berlaku sejak beberapa tahun lalu yang mengingatkan pentingnya kita terus berusaha membaiki keharmonian kaum.

ADAKAH EIP "SATU-SATUNYA DASAR" KEHARMONIAN?: PRITAM SINGH

Encik Lee juga menegaskan bahawa HDB "bertindak adil" dalam menyemak rayuan untuk mengetepikan had EIP bagi kes-kes individu.

Encik Singh menegaskan bahawa seruannya untuk menyemak EIP "berpaksikan kekecewaan anggota etnik minoriti yang tidak dapat menjual flat mereka".

"Adakah EIP satu-satunya dasar dalam banyak-banyak dasar yang diperkenalkan Pemerintah untuk menggalak integrasi kaum?" tanya Encik Singh.

"Ia perlu disemak semula dalam konteks, dan tidak terbatas pada, wacana nasional yang lebih luas mengenai hubungan antara kaum di Singapura hari ini ... dan apa ertinya menjadi seorang warga Singapura.

"Dasar sedia ada, dalam bentuknya sekarang, lebih menjejas masyarakat minoriti, mendenda mereka dari segi kewangan ketika mereka perlu menjual flat mereka ... Ini mungkin memberi kesan sebaliknya terhadap matlamat dasar itu untuk memupuk keharmonian kaum, sehingga menimbulkan rasa marah dalam kalangan mereka yang terjejas."

ADAKAH CMIO MASIH RELEVAN?

Para AP juga mengajukan pertanyaan mengenai aspek lain isu kaum dan agama, dengan Encik Sitoh Yih Pin (PAP-Potong Pasir) bertanya mengenai sama ada model CMIO Pemerintah masih relevan hari ini.

Menjawab, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong menarik perhatian bahawa WP dalam beberapa kesempatan mempersoalkan sama ada model CMIO masih relevan dan menggesa agar ia dimansuhkan.

"Tetapi pada masa yang sama, di hampir setiap sidang parlimen, terdapat banyak PQ (soalan parlimen) yang menumpukan pada kaum tertentu yang melihat program, hasil, bantuan," katanya, merujuk kepada soalan-soalan dari AP WP mengenai kategori kaum tertentu .

"Saya memberi contoh tersebut bukan untuk berkata bahawa soalan-soalan itu tidak patut dijawab," kata Encik Tong, sambil menambah bahawa tujuannya adalah kedua-dua pihak Pemerintah dan pembangkang "sedar hakikat bahawa adalah penting untuk menilai hasil tersebut berdasarkan segmen-segmen berbeza dalam masyarakat."

Encik Singh berkata WP "beroperasi mengikut syarat yang ditentukan oleh Pemerintah yang memenangi mandat pada pilihan raya".

Beliau menambah bahawa WP mahu "meningkatkantaraf semua penduduk supaya tidak ada satu-satu kaum yang merasakan mereka tidak mendapat manfaat daripada dasar pemerintah dengan cara yang membawa kita ke tujuan ... sebuah masyarakat yang neutral kaum"

Meski akur penting untuk mengetahui bahawa dasar pemerintah meningkatkan pencapaian untuk masyarakat tertentu, beliau membayangkan bahawa dasar penghijrahan setelah tahun 1990 telah "mengubah corak masyarakat Singapura".

"Adakah kita hanya melihat CMIO sekarang atau ada sesuatu yang lebih rumit di Singapura yang perlu kita teliti?" katanya.

Beliau menambah: "Saya yakin adanya anjakan dalam masyarakat Singapura, satu peralihan penting, dan amat "berguna" untuk tahu sama ada model CMIO perlu berubah."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan