Skip to main content

Singapura

Dasar gajikan pekerja diperluas, beri rakyat S'pura akses adil kepada pekerjaan, kata Lim Swee Say

Dalam usahanya untuk memberikan rakyat Singapura akses kepada lebih banyak pekerjaan bermutu tinggi, Rangka Kerja Pertimbangan Adil (FCF) akan diluaskan untuk merangkumi lebih ramai majikan dan pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dasar gajikan pekerja diperluas, beri rakyat S'pura akses adil kepada pekerjaan, kata Lim Swee Say

Encik Lim Swee Say di Parlimen.

Diterbitkan : 05 Mar 2018 03:23PM Dikemas Kini : 05 Mar 2018 03:32PM

SINGAPURA: Dalam usahanya untuk memberikan rakyat Singapura akses kepada lebih banyak pekerjaan bermutu tinggi, Rangka Kerja Pertimbangan Adil (FCF) akan diluaskan untuk merangkumi lebih ramai majikan dan pekerjaan.

Demikian menurut Menteri Tenaga Manusia Lim Swee Say di Parlimen hari ini (5 Mac).

"Kami akan memperluas syarat-syarat mengiklankan pekerjaan di Bank Pekerjaan Nasional sebelum membuat permohonan EP (pas kerja) untuk meliputi lebih ramai majikan," kata beliau dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bagi kementeriannya.

Mulai 1 Julai, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan meluaskan syarat-syarat pengiklanan FCF kepada firma yang mempunyai 10 atau lebih kakitangan dan pekerjaan, yang memberikan gaji tetap bulanan kurang daripada $15,000.

"Perubahan-perubahan itu akan memastikan syarat-syarat pengiklanan pekerjaan FCF mengikuti perkembangan perubahan perdapatan dan tenaga kerja tempatan terus dipertimbangkan secara adil bagi peluang-peluang pekerjaan," menurut MOM dalam kenyataan medianya.

500 SYARIKAT DIMASUKKAN DALAM SENARAI FIRMA DIPANTAU

Buat masa ini, firma dengan 10 hingga 25 kakitangan dan pekerjaan yang memberi gaji dari $12,000 hingga bawah $15,000 sebulan dikecualikan daripada syarat-syarat pengiklanan FCF.

FCF mewajibkan para majikan untuk mengiklankan kerja kosong selama 14 hari di portal Jobs Bank, yang dikendalikan oleh Workforce Singapore (WSG), sebelum menyerahkan permohonan EP.

EP adalah untuk para karyawan asing, pengurus dan eksekutif (PMET) dan gaji para calon perlu sekurang-kurangnya $3,600 sebulan serta mempunyai kelayakan akademik yang diterima.

Sementara itu, Encik Lim berkata 500 syarikat dari pelbagai sektor, termasuk agensi-agensi pekerjaan, sudahpun dimasukkan ke dalam senarai firma yang dipantau oleh FCF kerana mempunyai "tanggapan awal bahawa PMET tempatan sama ada tidak boleh atau tidak mahu melakukan satu-satu pekerjaan".

"Maka, syarikat-syarikat itu menolak mereka tanpa membuat pertimbangan adil," kata beliau.

Permohonan EP syarikat-syarikat tersebut tertakluk kepada pemantauan tambahan.

"Ini untuk menghapuskan "sikap berat sebelah berdasarkan kerakyatan" seperti yang disifatkan oleh (AP Buruh) Encik Patrick Tay," tambah beliau.

Untuk mencapainya, MOM sudah menahan atau menolak 1,900 permohonan EP sejak bulan Februari 2016.

Jumlah itu termasuk permohonan yang ditarik balik oleh syarikat-syarikat tersebut.

Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) sudah bekerjasama dengan mereka untuk mempertingkat amalan-amalan sumber manusia atau HR, tambah Encik Lim.

WSG, Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi serta Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) membantu mereka merekrut PMET tempatan yang baru tamat pengajian dan juga yang dalam pertengahan kerjaya.

TIADA PERMOHONAN BARU EP, TIADA PEMBAHARUAN EP

Hasilnya, lebih 2,200 PMET rakyat Singapura diambil bekerja, kata Encik Lim.

Beliau turut merujuk contoh sebuah firma pengurusan harta privet dengan 80 pekerja PMET yang ditempatkan dalam senarai pemantauan FCF pada bulan Februari 2016.

Syarikat itu menggajikan pekerja yang sebahagian besarnya adalah PMET asing untuk berkhidmat kepada klien-klien ekspat, kata beliau.

Sejak itu, Encik Lim berkata syarikat tersebut sudah mengubah tugas pekerjanya untuk berkhidmat kepada klien tempatan dan ekspat serta menggajikan 30 pengurus harta dan PMET rakyat Singapura. Ia juga melatih mereka di sini dan di luar negara.

"Setelah dikeluarkan daripada senarai pemantauan itu, syarikat tersebut terus menggajikan dan membangunkan lebih ramai pengurus harta dan PMET tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka," tambah beliau.

Meskipun sebanyak 150 syarikat sudahpun mempertingkat amalan-amalan HR dan dikeluarkan daripada senarai tersebut, Encik Lim berkata, 60 daripada baki 350 syarikat masih tidak bekerjasama dan tidak menunjukkan tanda-tanda perubahan.

"Kami sudah menyekatkan hak mereka untuk mendapatkan pas kerja: Tiada permohonan baru EP, tiada pembaharuan EP sedia ada sehingga mereka melaksanakan amalan-amalan HR yang adil," tambah beliau.

KEMAS KINI PADA KELAYAKAN S PASS

Untuk memastikan para pemegang S Pass melengkapi tenaga kerja tempatan dan mengikuti perkembangan tangga gaji tempatan, Encik Lim berkata gaji kelayakan minimum bagi S Pass akan dinaikkan dari $2,200 kepada $2,400. S Pass biasanya diberikan kepada kakitangan berkemahiran pertengahan.

Kenaikan itu akan dibuat dalam dua peringkat: Naik $100 mulai awal tahun depan dan lagi $100 mulai awal tahun 2020.

MOM akan menetapkan langkah-langkah peralihannya untuk membantu mereka yang terjejas menangani perubahan tersebut.

Di bawah kenaikan pertama dari $2,200 hingga $2,300, pemegang S Pass sedia ada yang akan tamat tempoh sebelum 1 Januari 2019 dibenarkan memperbaharui pas berdasarkan kriteria sedia ada.

Pemegang pas yang akan tamat tempoh antara 1 Januari 2019 dengan 30 Jun 2019 - termasuk kedua-dua tarikah itu - dibenarkan melakukan perkara sama dalam tempoh sehingga setahun.

Langkah yang sama ditetapkan bagi kenaikan kedua dari $2,300 hingga $2,400.

Selain itu, sebahagian pemegang permit kerja akan dibenarkan menetap lebih lama dengan tambahan empat tahun mulai bulan Mei tahun ini.

Begitu juga bagi para pemegang permit kerja dengan kemahiran R1 dan R2 dari sumber-sumber seperti Malaysia, India dan China dalam semua sektor.

Para majikan juga akan diberikan lebih banyak laluan untuk mempertingkat mutu pekerja asing.

MAHU 'WUJUDKAN KESEIMBANGAN DINAMIK"

Buat masa ini, para pemegang permit dalam sektor pengilangan dan limbungan kapal marin boleh diiktiraf dengan kemahiran lebih tinggi (R1) menerusi ujian kelayakan dan kemahiran.

Mulai bulan September, mereka boleh dinaikkan dari R2 ke R1, jika mereka memenuhi tempoh minimum kerja dan syarat-syarat gaji melalui Rangka Kerja Pengiktirafan Kemahiran Berdasarkan Pasaran.

"Kami yakin ini akan membantu syarikat-syarikat yang mahu menggajikan dan mengekalkan para pemegang pas kerja yang baik," kata Encik Lim.

Meskipun terdapat langkah-langkah itu, Encik Lim menekankan kementeriannya bertujuan menyasarkan untuk "mewujudkan keseimbangan dinamik" antara tenaga kerja tempatan dan asing.

"Secara ringkas, kami berupaya menarik para karyawan asing untuk membantu memenuhi keperluan tenaga manusia dalam industri dan dalam pada itu memperkukuh jumlah pekerja tempatan," kata beliau.

"Tenaga kerja Singapura yang terdiri daripada dua pertiga pekerja tempatan dan sepertiga pekerja asing akan dapat menyokong perubahan industri dalam rentak lebih pesat untuk kita bersaing dengan lebih baik di peringkat global dan juga untuk pelaburan dan pekerjaan yang lebih baik."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita