Dasar ekonomi digubal jadi lebih dinamik, inklusif & berpandangan jauh di bawah pimpinan PM Lee
Dengan GDP yang tumbuh hampir 2.5 kali ganda sepanjang dua dekad lalu, Singapura lazim disebut sebagai antara keajaiban ekonomi Asia.
(Gambar: iStock)
Para pengamat berkata Perdana Menteri Lee Hsien Loong memainkan peranan besar bagi pencapaian itu, didasari kepimpinan beliau yang bersifat dinamik dan berpandangan jauh.
Pandemik SARS menghancurkan ekonomi pada tahun 2003.
Kurang setahun kemudian, Encik Lee Hsien Loong menjadi Perdana Menteri.
Beliau berikrar untuk menyusun semula ekonomi negara semasa berucap di rapat tahunan politik paling penting.
"Saya tahu sesetengah rakyat Singapura risau bahawa PM baharu, mungkin lebih tegas, mendesak rakyat Singapura agar berusaha lebih pantas.
"Izinkan saya berterus terang dengan anda. Saya tidak boleh janjikan bas berhawa dingin untuk membawa anda dengan selesa.
"Mustahil, tetapi saya rasa kami boleh sediakan setiap orang dengan sepatu dan bimbingan yang baik, kasut lari, air minuman dan kami sediakan titik pertolongan cemas di sepanjang perjalanan, jadi anda boleh berehat.
"Bahkan, bagi mereka yang berkerusi roda, kami akan bawa mereka bersama dan kita akan berlari sebagai sebuah pasukan dan sampai ke garisan penamat bersama-sama," kata PM Lee.
Kini, selepas 'larian maraton' selama 20 tahun, kad laporan Singapura menjadi bukti.
GDP melonjak 2.3 kali lebih tinggi - hampir serupa dengan kuantum pendapatan median.
GDP bagi setiap kapita di paras S$90,000 - 64 peratus lebih tinggi berbanding sebelum Encik Lee menjadi Perdana Menteri.
Antara rancangan untuk meletakkan Singapura di hadapan para pesaingnya adalah menjadikannya sebuah hab kewangan.
Mulanya, dengan pembaharuan semula ekonomi, kemudian melonggarkan pasaran saham, insurans dan perbankan.
Namun, semua itu dicapai tanpa perlu mengorbankan kebajikan pekerja.
PM Lee melaksanakan dasar-dasar seperti skim Daya Kerja, yang menawarkan bayaran tunai kepada pekerja bergaji rendah.
Beliau memastikan semua rakyat Singapura dapat menikmati hasil yang diperolehi daripada kemajuan ekonomi negara.
Bagi memenuhi keperluan generasi masa hadapan pula, PM Lee gigih melindungi dan meningkatkan rizab negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.