Dasar Certis untuk tangani salah guna cuti sakit mungkin hakis kepercayaan, jejaskan kesejahteraan pekerja, kata pakar
Dasar cuti sakit syarikat keselamatan Certis yang menghendaki pegawai yang mengambil cuti sakit untuk duduk di rumah, atau berkongsi lokasi mereka secara "langsung" melalui peranti digital jika tidak berada di rumah, boleh menghakis kepercayaan dan menjejas kesejahteraan pekerja, menurut para pakar.
Logo syarikat keselamatan Cetis. (Gambar: Facebook/Certis)
Demikian ulasan mereka berkenaan kenyataan yang dikeluarkan Certis pada Sabtu (28 Jun) mengenai perkara tersebut.
Mediacorp sudah menghubungi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk mendapatkan maklum balas.
Perunding sumber manusia Christine Chan berkata bahawa dasar Certis menimbulkan kebimbangan serius berhubung privasi pekerja dan memberi gambaran seolah-olah tiada kepercayaan terhadap kejujuran dan tanggungjawab pekerja berkaitan cuti sakit mereka.
“Meminta pekerja berkongsi lokasi mereka secara langsung adalah satu pencerobohan besar, terutamanya apabila mereka sudah berada dalam keadaan lemah kerana sakit.”
Ia boleh merosakkan hubungan antara pekerja dengan majikan serta menjejas semangat dan produktiviti pekerja secara ketara, tambahnya.
Di samping menekankan risiko dasar tersebut boleh di salah guna oleh pihak pengurusan, Cik Chan berkata pekerja juga mungkin berdepan tindakan disiplin yang tidak adil.
Encik Lee Boon Huat, ketua pegawai pertumbuhan Asia-Pasifik di syarikat penyedia huraian isu tenaga kerja Visier, pula berkata dasar sedemikian boleh memupuk atau mengukuhkan budaya "presenteeism", di mana para pekerja tetap hadir di tempat kerja walaupun sedang sakit semata-mata mengelakkan pengawasan. Ini berpotensi menyebarkan penyakit dan mengurangkan kecekapan menyeluruh di tempat kerja.
“Persekitaran dengan tahap kepercayaan yang rendah boleh membawa kepada kurangnya penglibatan, kadar berhenti kerja yang tinggi dan kesukaran untuk menarik bakat,” tambah beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sumber Manusia Singapura, Encik Alvin Goh, berkata walaupun dasar Certis mungkin bertujuan untuk mencegah ketidakhadiran berulang, langkah sebegitu boleh membawa kesan yang tidak diingini.
Apabila pegawai yang berprestasi tinggi dan bertanggungjawab turut tertakluk kepada peraturan tersebut, ia boleh menjejas semangat, mengurangkan kepercayaan dan lama kelamaan mencemar reputasi majikan, tambah Encik Goh.
MENGAPA MELAKSANAKANNYA SAMA SEKALI?
Dalam konteks industri keselamatan, beberapa kebimbangan operasi dapat difahami memandangkan sifat kerjanya yang intensif, kata Encik Goh.
Oleh kerana peranan keselamatan memerlukan ramai tenaga kerja dan para pegawai dijangka untuk kekal berjaga-jaga serta berwaspada, ketidakhadiran yang kerap boleh menyebabkan pelanggaran kontrak dan memberi tekanan kepada rakan sekerja yang lain.
Perubahan dasar Certis mungkin berlaku ekoran cabaran yang dihadapi pertubuhan itu dan mungkin merupakan tindak balas terhadap ketidakhadiran yang berterusan, tambahnya.
“Apabila pertubuhan memilih pemantauan ketat atau taktik seakan-akan pengawasan, ia selalunya mencerminkan cabaran budaya tempat kerja lebih mendalam yang belum dihuraikan.”
ADAKAH IA SAH DARI SEGI UNDANG-UNDANG?
Pengarah firma guaman Fortress Law, Encik Mark Yeo, berkata bahawa syarikat dibenarkan untuk menentukan dasar cuti sakit mereka sendiri dan menguatkuasakannya melalui tindakan disiplin, termasuk pemberhentian kerja, jika pekerja didapati melanggar garis panduan cuti sakit.
Mengenai dasar pengesanan lokasi oleh Certis, Cik Chan mengatakan bahawa kesahihannya bergantung pada Akta Perlindungan Data Peribadi dan undang-undang pekerjaan.
“Persoalan utama adalah sama ada pengesanan lokasi pekerja semasa cuti sakit merupakan langkah yang ‘munasabah’ untuk menguruskan hubungan pekerjaan.”
Dasar itu boleh dicabar sekiranya pekerja merasakan bahawa privasi mereka dicerobohi tanpa alasan yang munasabah atau jika ia digunakan untuk menyasarkan atau menghukum pekerja secara tidak adil, tambah Cik Chan.
SEJAUH MANA AMALAN SEDEMIKIAN DI SINGAPURA?
Amalan yang menghendaki pekerja yang mengambil cuti sakit duduk di rumah atau berkongsi lokasi mereka secara langsung secara amnya jarang berlaku di Singapura, menurut para pakar.
Cik Jaya Dass, pengarah urusan Asia-Pasifik di agensi huraian sumber manusia Randstad Enterprise, berkata bahawa sebaliknya, banyak syarikat kini menawarkan kelonggaran yang lebih besar berkenaan cuti sakit berbayar, seperti tidak mewajibkan sijil perubatan bagi cuti sakit berbayar selama satu hari.
Encik Lee dari Visier mengatakan bahawa beberapa industri dengan keperluan operasi kritikal mungkin mempunyai pemantauan kehadiran yang lebih ketat, tetapi dasar Certis dilihat sebagai satu amalan luar biasa.
“Secara umum, amalan terbaik sumber manusia di Singapura cenderung ke arah membina budaya yang berasaskan kepercayaan dan kebertanggungjawaban, berbanding langkah pemantauan yang mengganggu,” katanya.
“Penekanan biasanya diberikan terhadap komunikasi yang jelas mengenai dasar cuti dan pengurusan prestasi.”
APAKAH LANGKAH LAIN YANG BOLEH DIPERTIMBANGKAN MAJIKAN?
Daripada bergerak ke arah budaya “pantau dan hukum”, syarikat yang bimbang mengenai penyalahgunaan cuti sakit sepatutnya mengamalkan pendekatan yang lebih membina, cadang Encik Goh dari Institut Sumber Manusia Singapura.
Ini termasuk garis panduan ketidakhadiran yang jelas dan latihan yang lebih baik bagi penyelia untuk mengenal pasti corak kebimbangan tanpa menjejaskan maruah atau privasi pekerja.
Encik Lee juga berkata majikan harus memberi tumpuan kepada strategi yang memupuk budaya “kepercayaan tinggi, prestasi tinggi”.
Jika pengurus bimbang mengenai produktiviti, mereka boleh memberi tumpuan kepada pemantauan trend prestasi dan mengkaji semula beban kerja serta inisiatif kesejahteraan, cadangnya.
“Kadar ketidakhadiran yang tinggi kadangkala merupakan gejala isu yang lebih besar seperti keletihan, beban kerja berlebihan atau persekitaran kerja toksik,” tambah Encik Lee. “Menangani punca tersebut boleh menghasilkan kesan yang lebih besar.”
Akhirnya, pengawasan mungkin mendorong pematuhan pada jangka pendek, tetapi penglibatan jangka panjang terbentuk dengan melayani pekerja sebagai penyumbang yang dipercayai, bukan pesalah yang disyaki, nasihat Encik Goh.
“Pada akhirnya, amalan pengurusan yang bertanggungjawab bergantung kepada kepercayaan, kebertanggungjawaban dan empati,” tambahnya.
“Apabila pertubuhan melabur dalam asas-asas ini, kebanyakan pekerja akan membalas kepercayaan itu berkali-kali ganda.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.