Dasar baharu EC mungkin tingkatkan permintaan jangka pendek, namun harga dijangka sederhana dalam jangka panjang: Penganalisis
Perubahan terhadap kondominium eksekutif (EC) mulai Jumaat (8 Mei) dijangka meredakan bidaan tanah bagi tapak-tapak projek, sekali gus berpotensi meningkatkan kemampuan pembeli rumah kali pertama, menurut para penganalisis.
Orang ramai pada hari pelancaran EC Rivelle Tampines pada 21 Mac 2026. (Gambar: Sim Lian Group)
Namun dalam jangka pendek, projek-projek akan datang yang tidak terjejas oleh perubahan dasar itu mungkin menyaksikan permintaan yang lebih tinggi, tambah mereka.
Perubahan-perubahan tersebut melibatkan tempoh pendudukan minimum (MOP) yang digandakan kepada 10 tahun, pemansuhan Skim Bayaran Yang Ditangguhkan (DPS), serta peningkatan kuota dan tempoh keutamaan bagi pembeli kali pertama.
Ia diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat pada Jumaat dan merupakan sebahagian daripada langkah untuk membantu pembeli rumah kali pertama mendapatkan unit EC.
Langkah baharu itu akan terpakai bagi semua tapak Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi EC dengan tarikh penutupan tender pada atau selepas Jumaat.
Para penganalisis berkata permintaan dijangka meningkat – terutama dalam kalangan pembeli kali kedua – bagi lima pembangunan EC akan datang yang tidak tertakluk kepada langkah baharu tersebut.
Hal tersebut melibatkan projek-projek di Senja Close, Sembawang Road, Miltonia Close dan dua projek di Woodlands Drive 17. Tender bagi kesemua lima lokasi itu ditutup antara Ogos 2025 hingga April 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huttons Asia, Mark Yip, berkata tempoh pendudukan minimum yang lebih lama bagi projek-projek EC akan datang akan meningkatkan daya tarikan projek-projek yang masih belum dilancarkan.
CEO PropNex, Kelvin Fong, bersetuju bahawa meskipun lima projek itu mungkin menyaksikan permintaan yang kukuh, harga EC dalam jangka pendek dijangka kekal stabil atau meningkat sedikit disebabkan oleh harga tanah yang tinggi.
Kadar harga tanah bagi dua tapak di Woodlands Drive 17 dan Senja Close merupakan antara yang tertinggi bagi tapak GLS EC, kata beliau.
Para pembeli EC tertakluk kepada had pendapatan isi rumah bulanan sebanyak S$16,000 dan nisbah ansuran pinjaman sebanyak 30 peratus.
“Ini sedikit sebanyak akan mengehadkan kadar kenaikan harga EC,” kata beliau.
Dalam satu kenyataan kepada media, City Developments Limited menyatakan kemas kini dasar itu tidak akan menjejas dua projek EC akan datangnya di Woodlands Drive 17 dan Senja Close, yang dijadual bakal dilancarkan pada tahun depan.
Harga bagi setiap kaki persegi (PSF) meningkat lebih dua kali ganda sepanjang sedekad lalu. Dari Januari hingga April tahun ini, harga median PSF bagi EC baharu ialah S$1,843, berbanding S$782 pada 2016.
TEMPOH MOP LEBIH LAMA
Di bawah langkah baharu itu, para pembeli EC baharu perlu memenuhi tempoh MOP selama 10 tahun sebelum mereka boleh menyewakan unit secara keseluruhan, membeli hartanah kediaman lain atau menjual unit mereka kepada warga Singapura dan penduduk tetap.
EC akan diswastakan dengan sepenuhnya selepas 15 tahun, meningkat daripada tempoh semasa 10 tahun. Selepas tahun ke-15, ia boleh dijual kepada mana-mana pembeli.
Encik Fong berkata tempoh MOP yang dilanjutkan itu penting bagi bakal pembeli yang sebelum ini merancang untuk membeli dan menjual semula unit EC selepas mencapai tempoh MOP lima tahun.
Namun, ia tidak dijangka menghalang para pembeli yang benar-benar bercadang untuk tinggal di unit berkenaan bagi jangka panjang.
Encik Fong berkata perubahan itu sejajar dengan rangka kerja perumahan awam, di mana flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di bawah model Prime dan Plus juga tertakluk kepada tempoh MOP yang lebih lama.
“Kami tidak menjangkakan sebarang kesan segera terhadap pasaran jualan semula kediaman swasta, tetapi kesan MOP 10 tahun bagi EC baharu mungkin dirasakan pada masa depan dengan pengurangan bekalan EC jualan semula yang lebih baru di pasaran,” kata beliau.
“Ia mungkin mendorong bakal pembeli untuk beralih kepada kondominium jualan semula swasta lain dan pelancaran projek baharu pasaran massa.”
Encik Yip dari Huttons berkata terdapat peningkatan jumlah EC yang dijual semula selepas lima tahun, dengan sesetengahnya dijual semula pada harga lebih S$1 juta berbanding harga pelancaran.
Pada 2025, terdapat 162 urus niaga sedemikian, dengan tempoh pegangan purata selama 9.6 tahun.
Memandangkan tempoh pegangan purata pemilik EC sedia ada hampir mencecah 10 tahun, tempoh MOP baharu yang lebih lama itu dijangka tidak mengurangkan daya tarikan EC.
“Trend ini serupa dengan pasaran jualan semula HDB, di mana para pembeli lebih menggemari flat-flat baharu yang memenuhi MOP tanpa sekatan jualan semula,” tambah beliau.
SKIM BAYARAN YANG DITANGGUH DIMANSUHKAN
Para pakar bersetuju bahawa pemansuhan DPS akan menggalakkan para pembeli untuk menjadi lebih berhemat dalam membeli EC.
Skim itu membolehkan para pembeli membayar 20 peratus daripada harga pembelian terlebih dahulu dan baki 80 peratus apabila projek memperolehi Permit Pendudukan Sementara (TOP).
Dengan pemansuhannya, semua pembeli EC perlu menggunakan Skim Bayaran Biasa, di mana pembeli membuat bayaran secara berperingkat berdasarkan kemajuan pembinaan.
Ketua penyelidik dan strategi Realion (OrangeTee & ETC) Group, Christine Sun, berkata perubahan tersebut berkemungkinan memberi kesan paling besar kepada pasaran.
DPS merupakan skim yang popular dalam kalangan pembeli kali pertama dan kedua, kata beliau.
Lebih 50 peratus pembeli EC ketika ini menggunakan DPS, dengan peratusannya mencecah 60 hingga 70 peratus bagi sesetengah projek, kata beliau.
Ia memberi manfaat kepada para pembeli yang menaik taraf dari flat HDB kerana mereka dapat mengelakkan daripada membuat dua pinjaman secara serentak, selain membantu pembeli muda menangguhkan bayaran sehingga mereka lebih mampu untuk membayar ansuran gadai janji.
“Pemansuhan DPS mungkin merupakan satu keputusan yang bijak memandangkan semakin ramai ibu bapa yang berkemampuan membantu membayar wang pendahuluan untuk anak mereka yang mungkin masih lagi belajar atau baru memulakan kerjaya ketika membeli EC,” tambah beliau.
“Amalan ini boleh dianggap sebagai bersifat spekulatif kerana anak-anak yang bertanggungjawab membayar baki pinjaman mungkin belum mempunyai pekerjaan tetap atau pendapatan yang mencukupi selepas projek memperolehi TOP.
“Risiko ini boleh menjadi lebih besar sekiranya ekonomi merosot atau kadar pengangguran meningkat.”
CEO ERA Singapore, Marcus Chu, berkata pemansuhan DPS dijangka mewujudkan persaingan yang lebih seimbang bagi para pembeli kali pertama.
“Walaupun pembeli kali kedua sebelum ini boleh menggunakan hasil jualan rumah sedia ada untuk membiayai pembelian EC, pembeli kali pertama tidak mempunyai kelebihan kewangan yang sama,” kata beliau.
Ini meningkatkan ambang kewangan yang diperlukan dan berkemungkinan mengecilkan kumpulan pembeli kali kedua yang layak, tambah beliau.
Dalam pengumumannya, Encik Chee berkata kadar pembeli EC kali pertama semakin berkurangan berbanding pembeli kali kedua yang mempunyai belanjawan perumahan lebih besar hasil jualan rumah pertama mereka.
Pada 2020, kira-kira separuh daripada pembeli EC merupakan pembeli kali pertama. Jumlah tersebut merosot kepada antara 30 hingga 40 peratus pada 2024 dan 2025.
LEBIH BANYAK UNIT UNTUK PEMBELI KALI PERTAMA
Di bawah perubahan baharu itu, kuota dan tempoh keutamaan bagi pembeli rumah kali pertama akan dinaikkan daripada 70 kepada 90 peratus, dengan tempoh keutamaan dilanjutkan daripada sebulan kepada dua tahun.
Encik Yip dari Huttons berkata dengan peruntukan lebih kecil iaitu 10 peratus kepada pembeli kali kedua, permintaan daripada golongan itu dijangka menjadi “sangat tinggi” apabila projek EC dilancarkan untuk jualan.
Mereka mungkin mengalihkan perhatian kepada projek-projek EC baharu lain, pelancaran kondominium swasta baharu atau pasaran jualan semula.
Sekiranya lebih ramai pembeli kali kedua memilih untuk membeli rumah swasta baharu, terdapat “kemungkinan besar” mereka akan menjual flat HDB yang sedia ada dan menyewa supaya tidak perlu membayar cukai setem pembeli tambahan.
“Ini akan meningkatkan bekalan flat jualan semula di pasaran dan memberi tekanan ke bawah terhadap harga jualan semula HDB, terutama apabila bekalan flat yang memenuhi MOP meningkat mulai 2026,” tambah beliau.
Sebaliknya, pembeli kali pertama akan mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapatkan unit EC, terutama bagi projek-projek yang menerima permintaan tinggi di lokasi-lokasi popular, kata Encik Fong dari PropNex.
Kuota pembeli kali kedua biasanya dipenuhi pada hari pelancaran, sedangkan permintaan daripada pembeli kali pertama tidak cukup untuk menghabiskan sepenuhnya baki unit EC yang belum terjual, kata beliau.
Dalam pelancaran EC terkini di Rivelle Tampines, semua slot pembeli kali kedua habis ditempah menjelang pukul 2.15 petang pada hari pelancaran pada 21 Mei, meskipun harga purata mencecah S$1,893 PSF.
Di bawah skim semasa, jualan biasanya kembali meningkat sebulan kemudian apabila lebih ramai pembeli kali kedua dibenarkan untuk menempah unit.
“Dengan tempoh keutamaan dilanjutkan kepada dua tahun, ia juga memberi lebih banyak masa kepada pembeli kali pertama untuk merancang dan mempertimbangkan keputusan untuk membeli sebelum lebih ramai pembeli kali kedua mula menempah unit,” kata beliau.
BIDAAN TANAH DILAKUKAN DENGAN LEBIH BERHATI-HATI
Dengan langkah baharu itu, pemaju dijangka menjadi lebih berhati-hati dalam membuat bidaan tanah, sekali gus berpotensi meningkatkan kemampuan untuk membeli unit, kata para penganalisis.
Para pemaju akan mengambil kira dasar baharu itu dan membuat bidaan lebih rendah bagi tender EC akan datang, kata Encik Yip, yang menganggarkan harga bidaan mungkin menjadi sehingga 10 peratus lebih rendah berbanding bidaan sebelum ini.
Memandangkan kumpulan permintaan bagi EC baharu berpotensi berkurangan, projek baharu mungkin mengambil masa lebih lama untuk dijual sepenuhnya, kata beliau.
“Jika tempoh untuk menghabiskan jualan projek EC adalah lebih lama, ia mungkin mengurangkan keperluan mendesak bagi para pemaju untuk membida tanah. Ia berpotensi menyebabkan penyertaan lebih rendah dalam tender GLS dan bidaan tanah yang lebih stabil, sekali gus membawa kepada harga yang stabil,” kata beliau.
Encik Chu dari ERA berkata kesan nyata dan kesan yang boleh dilihat daripada langkah-langkah tersebut hanya akan diketahui dalam tempoh sekitar 1.5 hingga dua tahun, apabila EC pertama di bawah langkah baharu itu dilancarkan.
Ini termasuk dua tapak yang akan dilancarkan untuk tender pada separuh pertama tahun ini di Canberra Drive dan Sembawang Drive.
“Kedua-dua tapak EC itu akan menjadi penanda aras terhadap reaksi pemaju kepada langkah-langkah baharu ini,” kata beliau.
Secara keseluruhan, permintaan bagi unit EC baharu dijangka kekal sihat, kata Encik Fong dari PropNex.
Ini disebabkan oleh kemampuan relatif EC, persepsi kukuh terhadap nilainya, kumpulan pembeli yang besar serta bekalan unit baharu yang agak terhad.
Encik Fong menambah: “Seiring dengan langkah-langkah ini, kami berharap pemerintah akan terus menawarkan jumlah tapak EC yang mencukupi dalam program penjualan tanah pemerintah dua kali setahun bagi memastikan bekalan seiring dengan permintaan asas yang sihat bagi unit EC.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.