Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dasar '3K' penting bagi galak masyarakat Melayu/Islam harungi perubahan, dakapi ekonomi pasca COVID-19

Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan masyarakat Melayu/Islam Singapura penting dalam mendakapi perubahan ekonomi baru dalam dunia pasca pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan masyarakat Melayu/Islam Singapura penting dalam mendakapi perubahan ekonomi baru dalam dunia pasca pandemik COVID-19.

Dasar ‘3K’ inilah yang menjadi intipati ‘Dialog Pasca Belanjawan M3 2021 Bersama Pemimpin-Pemimpin Masyarakat Melayu/Islam’ ke-2 yang diadakan pada malam semalam (16 Mac).

Seramai 150 pemimpin akar umbi dan wakil pertubuhan-pertubuhan Melayu menghadiri sesi yang diadakan secara bergabung itu.

(Gambar: M3)

Selama satu jam setengah, mereka bertukar-tukar pandangan dan menanyakan soalan kepada para panelis yang terdiri daripada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli, Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam dan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Rahim.

Dialog Pasca Belanjawan M3 2021 pada 16 Mac 2021. (Gambar: M3)

(Gambar: M3)

Sesi tersebut, antara lain, diadakan bagi mengumpul maklum balas dan memahami sentimen masyarakat Melayu/Islam terhadap Belanjawan 2021.

PERSIAPKAN DIRI HADAPI EKONOMI BARU

Encik Masagos turut menarik perhatian bahawa masyarakat Melayu/Islam perlu menimba kemahiran baru untuk ekonomi masa depan.

Ini termasuk bagi sektor-sektor seperti agritek dan keselamatan siber yang “terjamin” kerana “keperluannya sangat besar”, kata Encik Masagos.

Usaha mencari kemahiran baru ini didorong oleh ketidakpastian pasca pandemik COVID-19, lantaran itu, Encik Masagos menekankan betapa pentingnya untuk masyarakat "membuat persiapan dan jangan kejar yang sementara".

(Gambar: M3)

Beliau juga menekankan pentingnya mengupayakan dan memperkasa individu-individu supaya mereka dapat menyumbang semula kepada masyarakat.

Ini bagi mewujudkan masyarakat teladan yang berupaya menyumbang dan boleh dijadikan sebagai peran contoh bagi masyarakat minoriti lain, kata beliau.

PERANAN BELIA DALAM REALITI DIGITAL

Encik Zhulkarnain pula menekankan pentingnya merubah pemikiran dan memperluaskan minda belia di peringkat sekolah dan posmenengah supaya mereka dapat menerapkan sikap suka belajar dan mendakapi dunia digital bagi ekonomi baru.

“Harapnya belia kita akan menjadi satu penjana idea dan tenaga bagi masyarakat kita untuk terus maju dan mereka akan menggunakan pengalaman ini sebagai satu generasi yang mampu merubah hala tuju kita sebagai satu masyarakat.

“Jadi ini yang dimaksudkan saya sebagai realiti digital yang boleh diperluaskan - belia kita yang boleh memanfaatkan dan merebut peluang ini sebagai satu detik di mana ini akan merubah sebagai satu langkah yang positif,” jelas Encik Zhulkarnain.

Encik Zhulkarnain juga memberi ulasan positif tentang prestasi masyarakat Melayu/Islam dalam menyesuaikan diri semasa pandemik ini.

Ini termasuk berpuasa semasa COVID-19 melanda, serta menyesuaikan diri dengan pekerjaan dan pembelajaran sehingga meraih kejayaan di pelbagai peringkat.

“Ini amat membanggakan dan ini akan menggalakkan mereka untuk terus berubah, mendakapi perubahan ini secara positif.

“Dengan skim-skim Belanjawan, ini juga satu insentif bagi mereka untuk membuat satu langkah yang lebih maju, dan harapnya ia akan menjadi satu batu loncatan bagi mereka terus meraih peluang di ekonomi pasca pandemik ini,” ujar beliau.

Sesi terakhir ‘Dialog Pasca Belanjawan 2021 Bersama Pemimpin-Pemimpin Masyarakat Melayu/Islam’ akan diadakan pada malam ini (17 Mac). 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan