Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Darul Syifaa lancar projek kebun bunga anggerik; bersiap hadapi kadar penduduk menua yang meningkat

Rumah Penjagaan Jamiyah, Darul Syifaa bertambah seri baru-baru ini sejak dihiasi dengan kebun-kebun anggerik atau orkid di sekitar pekarangan bangunan yang terletak di West Coast.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rumah Penjagaan Jamiyah, Darul Syifaa bertambah seri baru-baru ini sejak dihiasi dengan kebun-kebun anggerik atau orkid di sekitar pekarangan bangunan yang terletak di West Coast.

Inisiatif yang dinamakan 'Let's Grow @ JNH' itu merupakan hasil kerjasama Darul Syifaa dengan sebuah kumpulan penggemar bunga anggerik dari Kelab Masyarakat West Coast. 

Ia dibangunkan tahun lalu, di tengah-tengah pandemik COVID-19 bagi membolehkan sekitar 180 penghuninya kekal aktif dengan berkebun.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Projek itu turut mencerminkan tekad dan usaha berterusan Darul Syifaa untuk atasi pelbagai cabaran mendatang secara bersama-sama.

Ia dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan yang juga merupakan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi West Coast, S Iswaran di majlis meraikan ulang tahun ke-20 Darul Syifaa pada Rabu (9 Jul). 

BERKEBUN BANTU PENGHUNI DALAM PROSES PEMULIHAN

Setakat ini terdapat 300 bunga anggerik atau orkid yang dijaga oleh para penghuni di sini. 

Di samping memberi mereka sedikit keceriaan, aktiviti seperti menyiram pokok bunga misalnya dapat membantu memperbaiki kadar mobiliti mereka.

Encik Iswaran memuji usaha tersebut dan mengalu-alukan masyarakat untuk tampil bantu dalam usaha penjagaan warga emas.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Ia adalah satu peluang untuk warga emas kami terlibat dalam aktiviti secara aktif dari segi sosial, fizikal dan juga mental. Kita perlukan lebih banyak rancangan dan perkhidmatan seperti ini. 

"Saya berharap semua penduduk West Coast dan juga masyarakat secara am akan menyokong rancangan seperti ini dan juga inisiatif lain untuk menjaga warga emas kita," kata Encik Iswaran.

Menurut Darul Syifaa, lebih banyak program berkebun akan dianjurkan buat para penghuni bagi untuk membantu dalam proses pemulihan mereka.

Semasa menyampaikan ucapannya, Ketua rumah jagaan itu, Cik Ling Bee Sian meluahkan penghargaannya kerana menerima sokongan para pemimpin masyarakat dan relawan yang komited untuk meneruskan usaha murni itu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Bunga anggerik sudah terbukti untuk meningkatkan mutu udara, meredakan tekanan dan mempercepatkan proses penyembuhan. Bunga-bunga yang terang dan mekar lama itu juga memberi tenaga positif semasa tempoh muram pandemik COVID-19," kata Cik Ling.

'Let's Grow @ JNH' merupakan antara usaha yang dilakukan Darul Syifaa dalam menghadapi kadar penduduk menua yang semakin meningkat.

JAMIYAH TERUS TINGKATKAN MUTU JAGAAN

Berucap di majlis pelancaran itu, Naib Presiden I dan Ketua Pegawai Operasi, Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin berkongsi, menjelang 2030, 25 peratus penduduk Singapura akan berusia 65 tahun ke atas dan ramai yang dijangka memerlukan rawatan atau penjagaan. 

Dalam menghadapi keperluan masa depan itu, Darul Syifaa mengatur langkah dengan sentiasa membuat penyesuaian dalam prosesnya dan mendakap teknologi.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Wawasan kami adalah untuk terus memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu khidmat penjagaan warga emas Darul Syifaa. 

"Di masa depan pihak Jamiyah, dengan bantuan serta sokongan orang ramai, berharap akan dapat melahirkan dan mengembangkan lagi khidmat penjagaan kami di Singapura untuk masyarakat yang memerlukan," Encik Jaffar, yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Pengurusan Darul Syifaa.

Penghuni di Darul Syifaa terdiri daripada mereka dari pelbagai latar belakang. 

Buat masa ini, sekitar 60 peratus daripada mereka bukan beragama Islam.

Sejak dibuka pada 2002, ia merupakan rumah jagaan kendalian Islam yang pertama dan kekal sehingga ke hari ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan