Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Darul Islah mahu luaskan inisiatif Project Happiness ke lebih banyak estet

Projek Happiness ialah suatu program mendekati masyarakat di mana para penghuni Darul Islah bergotong royong memperbaharui dan membersihkan rumah-rumah golongan memerlukan atau warga tua.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah) kini mahu meluaskan lagi inisiatif Project Happiness ke lebih banyak estet perumahan bagi membantu golongan berpendapatan rendah sempena musim-musim perayaan.

Projek Happiness ialah suatu program mendekati masyarakat di mana para penghuni Darul Islah bergotong royong memperbaharui dan membersihkan rumah-rumah golongan memerlukan atau warga tua.

Program tersebut kini memasuki tahun ketiga di mana ia dijalankan semasa musim-musim perayaan seperti Deepavali, Hari Raya, Krismas dan juga Tahun Baru Cina.

Dalam projek terbarunya sempena musim Tahun Baru Cina ini, para penghuni Darul Islah membantu pula seorang warga emas memerlukan berusia 73 tahun di kawasan Bukit Batok.

jamiyah cny

Sebelum ini, Project Happiness pernah dijalankan di kawasan Telok Blangah, Bedok dan Redhill.

BANTU BERSIHKAN RUMAH BERSELERAK DENGAN PERABOT USANG

Keadaan rumah sewa yang didiami Encik Choh Soo Har selama lapan tahun, sebelum ini agak berselerak dengan perabot yang sudah usang.

jamiyah cny

Encik Choh sebenarnya tinggal sendirian serta mempunyai masalah pergerakan selepas pernah jatuh sekitar 20 tahun lalu. Beliau kini berjalan dengan bertongkat.

Demi membawa sinar baru kepada beliau sempena musim Tahun Baru Cina ini, empat penghuni Darul Islah datang ke rumah Encik Choh bagi membersih, menghias dan memperbaikinya di bawah Project Happiness dari 13 hingga 25 Januari lalu.

KELENGKAPAN BARU BERNILAI $3,600 KESEMUANYA

Hari ini (12 Feb), rumah Encik Choh secara rasmi sudah siap dan diserahkan semula kepada beliau, lengkap dengan pelbagai barangan yang diingininya.

jamiyah cny

Kelengkapan-kelengkapan baru yang disediakan untuk beliau terdiri daripada meja makan kecil, katil sofa, kipas siling berlampu, kabinet dua pintu, mesin basuh, peti sejuk dan skuter elektrik untuk memudahkannya bergerak ke sana ke sini.

Encik Choh sebenarnya ditanya apakah kelengkapan baru yang beliau inginkan dan itulah yang akhirnya diberikan kepada beliau. Barangan-barangan tersebut bernilai $3,600 kesemuanya.

Semua ini dapat menjadi kenyataan hasil sumbangan kewangan dari masyarakat kepada projek ini.

Yang penting menurut Jamiyah, Encik Choh kini mempunyai sekitaran kehidupan yang lebih selamat dan boleh memberi lebih banyak ketenangan kepadanya.

jamiyah cny

Encik Choh yang boleh berbahasa Melayu berkata kepada BERITAmediacorp: "Gembira, sangat gembira. Jalan kaki sangat susah. Pergi sana makan pun susah. Tapi makan (di) bawah, ada makan, boleh tahan sikit. Sediakan sajalah. Tak boleh jalan, saya naik motor."

ALU-ALUKAN LEBIH BANYAK DERMAWAN SOKONG PROJEK HAPPINESS

"Adam", seorang penghuni Darul Islah yang terlibat dalam projek tersebut, bagaimanapun akur usaha itu ada cabarannya tersendiri.

"Cabarannya ialah untuk mengemas, sebab banyak barang dia tak nak buang, jadi ada yang kita kena ketepikan.

"Kalau tengok sekarang, rumah semua dah siap, rasa macam puas hati. Sebab lebih-lebih lagi dia tinggal seorang, kesiankan dia. Rasa macam gembira begitu," kata "Adam".

jamiyah cny

Yang pasti, Project Happiness dijangka diperluaskan ke lebih banyak lagi kawasan demi berkongsi keceriaan sempena musim-musim perayaan.

Ketua Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), Encik Mohamad Faizal Abas berkata: "Kami mengalu-alukan dermawan masyarakat dari segi derma wang ringgit serta keperluan rumah, supaya kita dapat melebarkan lebih banyak projek dalam tahunan kerana pada masa ini kita menumpukan pada empat perayaan – Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali dan Krismas.

"Dan kita juga ingin melakukan lebih banyak estet perumahan yang belum kita terokai sejak ia dilakukan pada 2019."

Bagi menyempurnakan semangat Tahun Baru Cina Encik Choh, beliau turut dibawa makan di sebuah restoran makanan Cina, Le Fuse Café, pada 22 Januari lalu.

Projek tersebut juga merupakan yang ke-10 diadakan sejak Project Happiness dilancarkan pada tahun 2019.

Ia juga adalah kali ketiga ia dijalankan bagi Tahun Baru Cina.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan