Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Darul Islah bawa keceriaan kepada seorang ibu tunggal sempena Deepavali

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sambutan perayaan Deepavali kali ini lebih istimewa bagi Cik V Darshini, seorang ibu tunggal yang menetap di sebuah flat sewa satu bilik di Bukit Merah View.

Dia terpilih menjadi penerima bantuan di bawah 'Project Happiness' oleh Rumah Peralihan Jamiyah, Darul Islah.

Projek itu bertujuan untuk membantu dan membawa keceriaan kepada mereka yang memerlukan sempena musim-musim perayaan.

Untuk itu, para penghuni Rumah Peralihan Jamiyah menyingsing lengan untuk membersihkan dan menghias rumah mereka.

--

Bertugas sebagai penghantar makanan Grab, Cik Darshini, 30 tahun adalah penerima bantuan Jamiyah Singapura dan turut memiliki akses kepada beberapa program sokongan Jamiyah Singapura.

Sebelum rumah Cik Darshini menjalani kerja naik taraf, dia diminta menyenaraikan antara kelengkapan rumah yang diinginkannya.

Dia berharap untuk mendapat katil, lampu dan almari bagi rumahnya.

IBU TUNGGAL, ANAKNYA TIDUR DI LANTAI DEK TIADA KATIL

Sebelum ini, Cik Darshini dan anak perempuannya yang berusia tiga tahun hanya tidur di lantai sahaja.

Dia juga berharap masalah serangan pijat-pijat di rumahnya juga dapat diuruskan.

Ia menjejas anaknya kerana sering mengalami alahan dan digigit pijat.

--

Bagi membantu mereka, seramai lima penghuni Darul Islah, seorang bekas penghuni dan dua kakitangan Darul Islah berganding bahu untuk membersihkan, mengecat rumah, memasang beberapa kelengkapan elektronik serta menghadiahkan katil dan almari baru buat mereka.

Mereka juga mendapatkan khidmat sebuah syarikat pakar membasmi serangga untuk membasmi pijat-pijat di rumah Cik Darshini.

"Saya berasa amat gembira kerana rumah saya benar-benar lain sekarang. Anak saya juga tentunya akan suka rumah ini apabila kami sambut Deepavali.

"Ia lebih bersih dan lebih luas sekarang, dan lebih penting lagi sudah tiada pijat," ujar Cik Darshini.

BEKAS PENGHUNI DARUL ISLAH SUMBANG KEMBALI

Secara keseluruhannya, ia menelan belanja sebanyak $2,500 dan ditaja oleh Integrated Property Management Pte Ltd dan sumbangan derma oleh alumni Darul Islah.

"Apa yang menggembirakan adalah adanya bekas penghuni Rumah Peralihan Jamiyah untuk tampil ke hadapan untuk menghulurkan derma dan menyumbang kepada projek ini. Menerusi pelbagai program pemulihan di Rumah Peralihan Jamiyah, mereka sudah berjaya disepadukan semula ke dalam masyarakat dan kini dapat menanggung diri sendiri dengan baik. Menghulurkan derma adalah cara mereka sumbang kembali kepada masyarakat," kata Naib Presiden III Jamiyah Singapura, Siraj Salman.

Bagi para penghuni Darul Islah pula, mereka amat berbesar hati kerana dapat sama-sama membawa keceriaan kepada ibu tunggal itu.

"Saya benar-benar ingin menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi projek ini, terutamanya untuk membantu Cik Darshini dan anaknya meraikan Deepavali. Ia penting bagi saya. Justeru, saya menyertai projek ini kerana mahu membantu golongan yang lebih memerlukan," kata Encik Ahmad (bukan nama sebenar).

Bukan setakat di situ sahaja, Cik Darshini juga dibawa ke Restoran Sakunthala di Dunlop Street untuk makan tengah hari dan membeli-belah di Little India.

'Project Happiness' dimulakan pada tahun 2019 dan ini merupakan pusingan ketiga ia dijalankan.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan