Skip to main content

Singapura

Darul Arqam umum program khusus bagi mualaf tunai umrah sempena ulang tahun ke-45

Anggaran Waktu Membaca:
Darul Arqam umum program khusus bagi mualaf tunai umrah sempena ulang tahun ke-45
Darul Arqam Singapura (MCAS) lancarkan program Umrah 2025 untuk para mualaf. (Gambar: Facebook/MCAS)
Diterbitkan : 23 Nov 2025 07:55PM Dikemas Kini : 23 Nov 2025 10:48PM

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Darul Arqam Singapura (MCAS) melancarkan sebuah program umrah khusus buat mualaf, yang akan berlangsung dari 17 hingga 29 Disember ini.

Program umrah MCAS itu akan dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dengan kerjasama Usrah Travels, dan akan disertai sekitar 80 jemaah.

Kumpulan jemaah umrah itu juga akan disediakan dengan kelengkapan asas seperti ihram, telekung, beg dan aksesori perjalanan.

Mereka yang terpilih akan turut ditaja sepenuhnya oleh MCAS, dan akan diiringi oleh asatizah dalaman sebagai mutawwif, bagi memberi bimbingan rohani peribadi sepanjang perjalanan itu.

Demikian diumumkan oleh Presiden MCAS, Encik Muhammad Imran Kuna Abdullah di jamuan malam gala pada Ahad (23 Nov) sempena ulang tahun MCAS ke-45.

Acara tersebut turut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal berkata: "Sedang kita menghargai pencapaian MCAS sepanjang 45 tahun yang lalu, kita diingatkan bahawa memupuk iman adalah satu tanggungjawab yang berterusan.

"Setiap mualaf berhak mendapat penjagaan, kefahaman dan sebuah masyarakat yang mendampingi mereka. MCAS terus memimpin melalui teladan, menggabungkan bimbingan kerohanian dengan sokongan praktikal, serta memastikan setiap mualaf dapat terus berkembang dalam masyarakat."

Dr Faishal turut menyampaikan penghargaan kepada lembaga pengarah, kakitangan, para sukarelawan dan rakan-rakan MCAS.

"Komitmen anda mengukuhkan masyarakat kita, kemurahan hati anda membolehkan pelaksanaan program yang bermakna, dan khidmat setia anda memastikan perjalanan setiap mualaf disertai dengan maruah dan dorongan," kata beliau.

Acara itu juga disertai anggota delegasi Persidangan Mualaf Silang Budaya Asia Pasifik MCAS (APCCCC) 2025 dari negara-negara jiran termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand, serta Vanuatu dan New Caledonia.

APCCCC diadakan dari Jumaat (21 Nov) hingga Ahad, menghimpunkan para ulama, pengamal, dan pemimpin masyarakat dari seluruh Asia Pasifik untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik, dan meneroka pendekatan inovatif dalam menyokong mualaf.

Persidangan itu juga memberi tumpuan dalam memupuk kerjasama, mengukuhkan rangkaian sokongan, dan menangani cabaran budaya unik dan peribadi, yang dihadapi oleh orang Muslim baharu dalam masyarakat yang pelbagai.

Menerusi inisiatif-inisiatif itu, MCAS berharap dapat terus mengukuhkan peranannya sebagai rangkaian sokongan utama bagi masyarakat mualaf dengan menggabungkan pendidikan, bimbingan, dan pengalaman rohani yang bermakna untuk memupuk keimanan dan keyakinan, dan rasa kekitaan di seluruh Singapura dan rantau Asia Pasifik.

"Sambil kita meraikan pencapaian kita, kita juga menyedari bahawa kerja MCAS masih jauh daripada selesai.

"Setiap mualaf berhak mendapat bimbingan, pemahaman, dan rasa kekitaan. Setiap mualaf berhak berasa bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang prihatin. Melalui sokongan berterusan daripada sukarelawan, penderma, dan aktivis, kita dapat memastikan misi kita bukan sahaja bertahan tetapi menjadi lebih kukuh," menurut Presiden MCAS, Encik Imran dalam ucapannya.

"Kita juga komited untuk merealisasikan impian menubuhkan pusat Islam - satu yang akan berfungsi sebagai hab serantau, menyediakan bimbingan, sumber, dan sokongan untuk pembangunan Mualaf di seluruh rantau ini," tambahnya.

Acara tersebut turut menyaksikan Anugerah Emeritus dan penghormatan diberikan kepada pengasas MCAS, Ridzuan Wu.

Menurut Encik Imran, visi luar biasa beliau lebih 45 tahun lalu membina asas bagi sebuah gerakan yang didedikasikan untuk menyokong mualaf -seperti dirinya dahulu - dalam perjalanan kerohanian mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita