Darul Arqam SG bawa 80 mualaf ke umrah, taja 31 jemaah kurang berkemampuan
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Darul Arqam Singapura (MCAS) menganjurkan perjalanan umrah khas untuk golongan mualaf dan keluarga mereka.
Seramai 80 mualaf dan keluarga mereka berkumpul di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pagi tadi (17 Dis) untuk berangkat ke Makkah bagi tunaikan ibadah umrah.
Dalam pakej khas ini, kursus manasik umrah serta bimbingan mutawif di Makkah dan Madinah akan disampaikan dalam Bahasa Inggeris seberapa boleh.
BIMBINGAN DALAM BAHASA INGGERIS, MUDAH DIFAHAMI MUALAF
Ini supaya para jemaah yang kebanyakannya tidak fasih berbahasa Melayu lebuh mudah faham apa yang disampaikan dan diharapkan membantu mereka mendalami ibadah yang mereka kerjakan di sana.
"Secara tradisi dan sejarahnya, MCAS adalah perintis dalam menyediakan pendidikan Islam dalam Bahasa Inggeris dan kami telah mengekalkannya," kata Presiden MCAS, Muhammad Imran Kuna.
"Jadi, tiada cara yang lebih baik. Perjalanan Umrah kami disesuaikan dalam Bahasa Inggeris dan insya-Allah, ini akan menjadi permulaan baharu bagi kami. Kami berharap untuk teruskan usaha ini dengan cara terbaik yang mampu kami lakukan," tambahnya lagi.
Pendekatan ini nyata memberikan kelegaan kepada para peserta termasuk Encik Yusof Abdullah Teo, seorang jemaah berbangsa Cina yang menghargai penyampaian dalam Bahasa Inggeris.
"Seperti yang anda lihat, saya seorang berbangsa Cina, jadi kadang-kadang saya cuba bertutur dalam Bahasa Melayu, ia agak sukar. Bahasa Inggeris pula adalah bahasa yang semua orang tahu. Jadi saya rasa lebih baik belajar dari Bahasa Inggeris dulu. Kemudian, bila semua orang dah faham, itu satu perkara yang baik," kongsinya.
Seorang lagi jemaah, Cik Syahidah Amanda Abdullah turut meluahkan penghargaan kepada MCAS bagi pendekatan sedemikian.
"Sebagai seorang mualaf yang tidak membesar bertutur dalam Bahasa Melayu, memang ada perkara yang kami tidak faham. Jadi, pergi bersama kumpulan yang menggunakan Bahasa Inggeris memang sangat membantu," kata Cik Syahidah.
Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, turut meluangkan masa pagi tadi untuk mengucapkan selamat perjalanan buat para jemaah di Lapangan Terbang Changi.
‘TIKET EMAS’ DAPAT TUNAIKAN UMRAH PERCUMA
Lebih istimewa lagi, Cik Syahidah dan Encik Yusof merupakan antara 31 penerima ‘tiket emas’ yang dapat menunaikan umrah secara percuma.
Setiap pakej umrah yang disediakan oleh MCAS itu dianggarkan bernilai sekitar $4,700.
“Kami jalankan pemeriksaan teliti. Setelah semuanya selesai, kami berikan Tiket Emas dan ia disampaikan semasa acara makan malam kami. Mereka tidak tahu langsung – sesetengahnya pun tak tahu mereka telah memohon. Kami jemput mereka ke acara makan malam tersebut dan berikan kejutan itu,” kata Encik Imran.
Encik Yusof menceritakan keadaan sewaktu beliau menerima kejutan itu.
“Tiket Emas ini merupakan kejutan yang sangat besar bagi saya kerana saya langsung tidak diberitahu sehinggalah menteri datang ke meja saya, barulah saya tahu. Saya sebenarnya tak tahu langsung mengenainya. Saya sangka saya perlu melalui proses untuk memohon diskaun tetapi rupa-rupanya tidak. Ia benar-benar satu kejutan besar untuk saya,” Kongsi Encik Yusof kepada wartawan Hidir Ezat.
Bagi Cik Syahidah pula, ia ibarat sebuah harapan menjadi nyata.
“Saya rasa macam mimpi seperti doa-doa saya telah dimakbulkan selepas bertahun-tahun menanti peluang ini. Dapat mendekatkan diri dengan Allah, memohon keampunan dan memperbaharui iman saya,” kata Cik Syahidah.
Encik Imran menjelaskan inisiatif ‘tiket emas’ ini adalah bentuk bantuan bagi golongan mualaf yang kurang berkemampuan.
"Kami ada pelbagai kategori peserta, dari kategori terbuka hinggalah mereka yang termasuk dalam kategori pendapatan per kapita (PCI) tertentu dan sudah tentu, penerima Tiket Emas adalah mereka yang kurang berkemampuan," jelas Encik Imran kepada para wartawan.
"Kami golongkan mereka sebagai golongan yang kurang berkemampuan. Mereka juga adalah peserta kali pertama dan juga mualaf. Jadi, ketiga-tiga elemen ini memainkan peranan besar. Kami jalankan pemeriksaan teliti. Setelah semuanya selesai, kami berikan Tiket Emas," tambahnya lagi.
Encik Imran juga berkongsi kepada BERITA Mediacorp bahawa MCAS ada rancangan untuk meneruskan inisiatif ini tahun depan dengan lebih banyak tarikh keberangkatan ditawarkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.