Darul Arqam lancar logo baharu Kumpulan Berbilang Negara (MNC), raikan kepelbagaian dalam komuniti Islam SG
SINGAPURA: Logo baharu bagi Kumpulan Berbilang Negara (MNC), 'Bridging Cultures, One Heartbeat' yang menjadi lambang perpaduan merentasi sempadan negara dilancarkan Darul Arqam Singapura (MCAS) pada Ahad (20 Jul).
Ini dilakukan bersempena acara perhimpunan pertengahan tahun MNC yang mengumpulkan sekitar 220 tetamu daripada lebih 10 kewarganegaraan untuk meraikan kepelbagaian budaya yang membentuk masyarakat mualaf Muslim di Singapura.
Diadakan bertepatan dengan Hari Keharmonian Kaum, ia juga selari dengan usaha pembangunan negara sempena SG60 tahun ini, serta ulang tahun yang ke-45 pertubuhan itu.
"Kami mencipta satu ikon baru, yang dipanggil 'Bridging Cultures, One Heartbeat'. Jadi kami telah melancarkan logo baru selaras dengannya untuk memberitahu orang ramai bahawa di Singapura, budaya dan kaum yang berbeza berkumpul bersama dan ini lebih sempurna melakukannya pada Hari Keharmonian Kaum. Ini sebabnya ia sangat relevan dan unggul bagi kami untuk melakukannya dengan cara ini tahun ini," kongsi Presiden MCAS, Muhammad Imran Kuna.
"Darul Arqam sudah mengambil langkah kecil ini untuk memainkan peranan kami dalam memastikan masyarakat kami, dapat hidup bersama dalam persekitaran yang padu secara sosial. Pada masa yang sama, budaya yang kaya ini juga membawa pemahaman yang lebih baik lagi tentang bagaimana negara itu harus menjadi iaitu kebersamaan, jadi ini sangat kritikal bagi kami. Selaras dengan itu, jika anda melihat logo ini, terdapat gabungan warna yang berlainan dan kami tidak menggunakan warna kulit. Itu sahaja menunjukkan bahawa kita sudah bergerak melampaui itu," tambah beliau.
DARUL ARQAM INGIN SATUKAN KUMPULAN BUDAYA BERBEZA
Sebagai sebuah pusat pendidikan, Darul Arqam juga ingin menyatukan pelbagai kumpulan budaya yang sebelum ini beroperasi secara berasingan, untuk bersatu.
"Kami rasa kami berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk menyatukan semua orang dan bekerjasama sebagai satu. Lebih kerap kita bekerjasama sebagai satu, ia menunjukkan betapa padu dan rapatnya kita," menurut Encik Imran.
"Orang di seluruh Asia Tenggara akan memberi reaksi dan berkata, ‘Di Singapura ada satu negara yang benar-benar meraikan kepelbagaian budaya dan membuat orang rasa bersatu’, dan itu sendiri sudah membantu dalam matlamat negara untuk menarik bakat dari seluruh dunia ke Singapura," tambahnya.
RAIKAN KEPELBAGAIAN BUDAYA DALAM KOMUNITI ISLAM SG
Ini selain reruai interaktif daripada kumpulan MNC Cina, Jepun, Indonesia, Myanmar dan Filipina - daripada pakaian tradisional dan juadah unik, hinggalah kraf tangan menarik yang dapat dinikmati semua.
"Kami dapat mengenali budaya lain. Seperti yang anda tahu, Singapura adalah negara yang majmuk. Jadi saya acara sebegini ini baik untuk berkongsi budaya kita sendiri dan juga mengetahui lebih lanjut tentang agama (Islam) lebih-lebih lagi dengan sebilangan anggota kami yang merupakan mualaf baharu," kongsi Cik Shenalyn@Zarinah Celedonio, Penyelaras kumpulan MNC Mabuhay dari Filipina, kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Bagi kumpulan MNC Myanmar pula, acara itu merupakan satu cara untuk mereka berkongsi tentang kepelbagaian kumpulan etnik dari negara mereka juga.
"Dalam acara ini, kami dari Myanmar berkongsi kepelbagaian kumpulan etnik kami daripada rumah kami di Myanmar, serta pakaian budaya dan makanan juga sebab di Myanmar ada lapan kumpulan etnik utama dan pelbagai lagi kumpulan etnik minoriti lain. Apabila kami datang ke Singapura, terdapat juga pelbagai kumpulan termasuk yang beragama Islam. Jadi kami berkongsi latar belakang dan budaya kami," menurut Ketua MNC Myanmar, Encik Mohd Yusof.
Ketua MNC Jepun, Keiko Soeda pula berkata: "Saya dapati bahawa apabila kita menyebut tentang Muslim di Singapura, perkara pertama yang kami fikirkan adalah (masyarakat) Melayu/Muslim kerana sudah tentunya, mereka mewakili Islam di Singapura tetapi saya rasa Singapura sangat unik kerana terdapat begitu banyak kaum yang memeluk Islam dan memang sangat menggalakkan untuk melihat dan menghadiri acara seperti ini serta bertemu dengan pelbagai orang dari latar belakang dan negara yang berbeza tetapi semuanya bersatu dan berhubung melalui agama Islam iaitu agama kita."
Kali ini, reruai kumpulan MNC Jepun itu berkongsi tentang konsep Festival Musim Panas Jepun - juadah seperti 'Dango', minuman 'Matcha' serta permainan tradisional.
Ini selain menampilkan naskhah Al-Quran yang diterjemahkan kepada bahasa Jepun.
"Saya rasa ia sangat menggalakkan untuk meraikan kepelbagaian budaya dan latar belakang berbeza para mualaf di Singapura. Kami, orang Jepun teruja melihat mereka dari Myanmar, Indonesia, Cina dan Filipina yang hadir hari ini semua bergaul mesra. Saya rasa dari situ, kita mempelajari lebih banyak lagi tentang mereka, bukan sahaja tentang agama bahkan juga budaya mereka. Jadi saya rasa ia sangat bermanfaat," ujar Cik Keiko.
TERDAPAT KEPELBAGAIAN DARI SEGI MASYARAKAT ISLAM DI SG
"Inisiatif MNC ini oleh Darul Arqam menunjukkan bahawa dalam masyarakat Islam Singapura, terdapat kepelbagaian bukan sahaja yang lazim seperti masyarakat Melayu/Islam ataupun India/Islam. Terdapat juga dalam kalangan kaum Islam di Singapura ini, mereka yang berbangsa Cina ataupun mereka yang berasal dari negara-negara lain seperti sesetengah negara Eropah ataupun dari Filipina, Myanmar, Jepun dan sebagainya," kongsi Dr Syed Harun.
Acara itu juga tambah beliau dapat memberi peluang kepada masyarakat Melayu/Islam serta masyarakat di Singapura secara amnya untuk saling mengetahui dan mengenali adat, budaya dan agama lain di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.