Darul Arqam lancar kelas madrasah hujung minggu percuma, sediakan pengangkutan percuma ke kelas agama
SINGAPURA: Persatuan Darul Arqam Singapura (MCAS) melancarkan kelas madrasah hujung minggu percuma serta khidmat pengangkutan percuma bagi mereka untuk ke kelas agama kendalian persatuan itu.
Ini bagi menyokong pendidikan agama anak-anak golongan mualaf dan Muslim dengan lebih baik lagi.
Ini diumumkan persatuan itu semasa majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2025 yang diadakan pada Sabtu (18 Jan).
Di bawah skim baharu itu, MCAS akan menampung sepenuhnya yuran kursus, tuisyen, buku, makanan, dan pengangkutan bagi memastikan pendidikan madrasah yang percuma untuk semua pelajar yang mendaftar bagi Kelas Kanak-Kanak Darul Arqam (DACCnDAYS) dan Sekolah Belia Darul Arqam, dan ini melibatkan pelajar yang baru mendaftar mahupun pelajar sedia ada.
"Ini (juga) untuk menangani maklum balas yang kita terima. Ada sebilangan yang ingin datang untuk belajar. Namun, mereka mempunyai masalah kewangan. Jadi mesej kita kepada orang awam ialah untuk pendidikan madrasah, tidak seharusnya ada sebarang kekangan sebab ia adalah sesuatu amalan yang wajib dan mulia dan juga untuk membantu tenangkan minda ibu bapa bahawa anak-anak mereka dapat belajar tanpa perlu fikir tentang wang untuk melanjutkan pendidikan mereka," tambahnya.
SEDIA KHIDMAT PENGANGKUTAN PERCUMA UNTUK KANAK-KANAK
Khidmat pengangkutan percuma itu juga menurut Encik Imran dilakarkan mengikut maklum balas yang diterima.
Buat masa ini, kelas DACCnDAYS diadakan di Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah di Lorong 39 Geylang.
"Kita inginkan satu faktor menarik dan kita faham dari maklum balas orang ramai yang berkata bahawa pengangkutan adalah satu isu besar. Kalau jauh, bagaimana untuk anak saya yang tinggal di daerah barat ingin datang ke daerah timur (untuk madrasah). Jadi kita faham dan kita cuba sedaya upaya untuk menghapuskan kekangan ini, untuk menyediakan ruang itu jadi pengangkutan ini merupakan salah satu wadah," ujar Encik Imran.
"Dengan menyediakan kemudahan dan wadah ini, Insya-Allah, kanak-kanak akan lebih bertenaga dan mempunyai motivasi untuk tampil ke hadapan untuk pendidikan Madrasah," tambahnya.
Menurut MCAS, skim itu akan memberi manfaat kepada sehingga 250 pelajar dari Mac 2025.
Para pelajar boleh menaiki khidmat pengangkutan percuma itu dari empat lokasi di kawasan barat, timur, utara dan timur laut.
Ia juga sebahagian daripada Projek SEED kendalian MCAS, untuk menyokong pembangunan dan pendidikan para pelajar yang bakal menjadi generasi pelapis asatizah.
Malah, acara yang sama turut mengiktiraf para pelajar cemerlang dari enam Madrasah tempatan dari inisiatif tersebut.
ASATIZAH MAINKAN PERANAN PENTING
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, Zaqy Mohamad.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan peranan yang dimainkan asatizah, lebih-lebih dengan cabaran hari ini termasuk pendedahan kepada pelbagai bahan di platform media sosial dan radikalisasi.
"Apabila kita bercakap tentang asatizah dan ajaran agama dan pelajar, memberi konteks menjadi salah satu aspek yang mana kita perlu meluangkan lebih banyak masa. Terdapat pelaburan kini dalam ajaran dan lazimnya dalam pendidikan yang diperlukan," ucap Encik Zaqy.
"Alhamdulillah, MCAS terus menjadi antara institusi agama seperti program aLIVE dan yang lain, yang tampil ke hadapan untuk membantu kita memastikan anak-anak kita, belia kita dan generasi seterusnya sudah dipersiapkan dengan betul, dan dididik dengan betul dan insya-Allah, kita akan mempunyai institusi agama yang kukuh dan berdaya tahan dalam tahun-tahun yang akan datang," tambahnya.
PROF MUHD NUR MANUTY DIIKTIRAF DENGAN ANUGERAH 'DIAMOND'; PENGIKTIRAFAN TERTINGGI MCAS
Encik Zaqy turut menyampaikan Anugerah 'Diamond' Kecemerlangan Akademik MCAS kepada Profesor Muhammad Nur Manuty, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Ia merupakan pengiktirafan tertinggi kepada individu yang sudah menyumbang kepada pendidikan dan kemajuan masyarakat yang sudah meninggalkan legasi yang mendalam.
Anugerah itu bagi mengiktiraf sumbangan dan dedikasi beliau serta kepimpinan cemerlang yang meninggalkan kesan kepada MCAS.
Dr Muhammad Nur Manuty berkhidmat di Darul Arqam dari 2000 hingga 2009 sebagai Penasihat Pendidikan Islam di mana kerja beliau antara lain memainkan peranan penting dalam memperhalusi kurikulum pendidikan Islam dan metodologi dakwah.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam membangunkan kursus-kursus khas buat mualaf baharu termasuk subjek-subjek seperti Aqidah, Fiqh dan Sirah.
"Ia telah memberikan satu ruang kepada saya untuk memberi satu suntikan inspirasi kepada saya. Walaupun umur saya sudah 75 tahun tetapi saya masih rasa ada kekuatan-kekuatan yang tersendiri untuk mencari jalan supaya dapat memberi sumbangan kepada Darul Arqam dalam program pendidikan dan juga dalam program Penataran Islam ataupun Dakwah Islam," kongsi Dr Muhammad Nur Manuty kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Daripada program-program (MCAS) yang kita lihat, kelahiran anak-anak dan pemuda-pemuda yang hebat-hebat yang memenangi beberapa anugerah tadi, mereka akan menjadi bakal pimpinan masyarakat Islam Singapura. Oleh demikian, anugerah ini boleh memberikan rangsangan dan banyak lagi inisiatif-inisiatif baharu yang boleh diadakan dalam semua peringkat, bukan sahaja dalam pendidikan, iaitu dalam konteks institusi masjid umpamanya, dalam konteks institusi NGO, wanita, dunia keilmuan dan sebagainya," tambahnya.
Di majlis yang sama, MCAS turut mengiktiraf lebih 70 guru agama yang sudah menyumbang kepada pendidikan mualaf dan Muslim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.